Mimpi buruk agak lazim berlaku kepada anak-anak kita. Di usia begini, mereka belum pandai membezakan kejadian nyata dan mimpi.
Oleh itu, sebagai ibu bapa kita boleh cuba beberapa tips hentikan mimpi buruk anak dan cara menenangkan mereka.
Ayuh, kita bantu anak-anak menghadapi mimpi buruk.
6 Tips Hentikan Mimpi Buruk Anak
#1 Persekitaran Tidur Nyaman
Pastikan bilik tidur anak Mama juga selesa dan nyaman untuk mereka berehat di waktu malam. Antara kaedah yang disarankan ialah lampu malam, katil yang empuk dan suhu bilik yang sesuai.
#2 Tetapkan Waktu Tidur
Kebanyakkan anak-anak yang tidur lewat dan kurang tidur cenderung mengalami mimpi buruk. Jauhkan alat elektronik ketika hampir waktu tidur kerana ia menghalang penghasilan hormon melatonin yang mendorong rasa tenang untuk tidur.
#3 Jangan Jauhkan Ketakutan
Katakan anak Mama takut dengan anak patung, sebaiknya Mama luangkan sedikit masa setiap hari untuk melibatkan anak patung itu ketika bermain dan belajar. Tujuannya adalah untuk memupuk rasa berani anak terhadap ketakutannya itu.
#4 Latih Otak Anak
Sebelum tidur, Mama ajak anak-anak untuk membayangkan hal-hal indah yang pernah dan akan mereka lalui.
Kadang-kala, mimpi buruk boleh menjadi tabiat mereka jadi kerana itulah kita perlu latih semula otak mereka agar tidak terlalu memikirkan tentang hal buruk.
#5 Belajar Rileks
Belajar teknik pernafasan untuk mendorong anak-anak rileks. Contohnya, tarik nafas perlahan-lahan, tahan dan lepaskan.
Guna anak patung jika ia membantu anak menjadi tenang dan membuatkan mereka rasa selamat.
#6 Dapatkan Bantuan Pakar
Apabila semua usaha telah dilakukan, mungkin sudah tiba masanya Mama minta pertolongan orang yang pakar seperti doktor.
Dalam sesi terapi, anak Mama akan belajar cara menenangkan diri dan menghentikan mimpi buruk.
7 Cara Menenangkan Anak Selepas Mimpi Buruk
#1 Jadi Ibu Bapa Yang Memahami
Ketika anak Mama datang mendekat dan beritahu tentang mimpi buruknya yang menakutkan itu, pertama sekali dengarkan dahulu ceritanya.
Akui perasaan takutnya itu dan tunjukkan bahawa Mama benar-benar bimbang dengan keadaan mereka.
#2 Pencahayaan
Jika anak Mama takutkan bilik yang gelap, tidak mengapa untuk menghidupkan lampu. Cara ini membantu mereka rasa selamat dari mimpi buruk.
Jika memerlukan sokongan tambahan, Mama boleh buka sedikit daun pintu bilik anak-anak untuk menyakinkan mereka ibu bapanya sentiasa memerhatikannya.
#3 Sahkan Perasaan Mereka
Ketika mereka katakan takut, jangan sesekali beritahu yang mereka mengada-ada. Sebaliknya, labelkan perasaan takut yang mereka alami.
Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa validasi tentang emosi anak-anak agar mereka selesa untuk berkongsi cerita dengan ahli keluarganya.
#4 Keselesaan
Sebelum tidur, jangan terus tinggalkan mereka di dalam bilik dan tutup lampu. Lebih baik lagi, kalau Mama dan Papa berikan pelukan kepada si anak agak mereka rasa selamat untuk tidur.
#5 Alihkan Perhatian
Kadang-kala mimpi buruk terjadi disebabkan imaginasi ciptaan mereka. Oleh itu, ubah watak antagonis dalam mimpi itu kepada sesuatu yang positif.
Contohnya, anak takut dengan raksasa yang mengejarnya. Ubah perspektif si anak dengan mengatakan bahawa mungkin raksasa itu ingin berkawan dan sedang dalam kesunyian.
#6 Tawarkan Minuman
Anak-anak mungkin bingung samada mereka sudah benar-benar terjaga atau belum. Untuk meyakinkan bahawa mimpi buruknya sudah berlalu, tawarkan mereka air minuman untuk menyegarkan diri.
#7 Teman Anak Tidur
Salah satu kaedah menenangkan anak mimpi buruk adalah dengan berdamping dengannya dalam pelukan sehingga mereka tidur.
Berilah sedikit kelonggaran untuk mereka tidur bersama-sama Mama dan Papa pada hari tertentu untuk meredakan rasa takutnya itu.
Mimpi buruk ialah proses anak-anak membezakan kejadian nyata dan imaginasi. Inilah masa kita berdamping dengan mereka untuk menghentikan mimpi buruk serta menenangkan mereka.
Ianya memerlukan proses dan Mama Siti berharap agar Mama tak putus asa membantu anak-anak ini.
Dapatkan lebih banyak tips keibubapaan di SINI!