KelabMama

Mikroplastik Ditemui dalam Makanan: Inilah Cara Kekal Selamat

Tahukah Mama dan Papa, minuman atau makanan yang disimpan dalam bekas berunsur plastik sebenarnya boleh menyebabkan kita tanpa sengaja memasukkan serpihan plastik itu sendiri ke dalam tubuh?

Kedengaran serious kan Mama? Tapi itulah hakikatnya apabila satu kajian terbaharu mendedahkan penemuan mikroplastik dalam tubuh manusia.

Memetik laporan akhbar Kosmo!, ia bermula apabila sekumpulan saintis di Belanda telah pertama kali menemui mikroplastik atau kepingan plastik halus berdiameter kurang daripada 0.0007 milimeter dalam darah manusia.

Sebulan selepas itu, saintis-saintis di Britain pula menemui mikro­plastik di dalam paru-paru manusia hidup buat pertama kali, sekali gus menjadi kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ancaman kepada kesihatan manusia dan makhluk hidup lain.

#Apa Itu Mikroplastik?

Mikroplastik pada asalnya adalah plastik tak kira sama ada beg pakai buang, bekas simpanan tahan lama, kerusi, meja dan pelbagai lagi.

Bermula daripada plastik yang keras dan kukuh itu, ia kemudiannya hancur menjadi zarah yang lebih kecil daripada lima milime­ter (mm) menjadi mikroplastik.

Mikroplastik akan terus terurai jauh lebih kecil bersaiz nano iaitu kurang daripada 0.1 mi­krometer (µm).

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khairiatul Mardiana Jansar berkata kepada Kosmo!, beliau bersama kumpulan penyelidik di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi UKM telah menjalankan kajian berkaitan mikroplastik.

Hasilnya, mereka berjaya menemui mikroplastik ini di persekitaran manusia iaitu dalam air paip, air minuman botol, garam serta hidupan kerang dan kupang.

Sementara Pegawai Penyelidik Kanan Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mageswari Sangaralingam pula berkata, kajian menunjukkan penggunaan biasa bungkusan plastik untuk makanan akan merembes mikroplastik dan nanoplastik ke dalam makanan dan minuman manusia sendiri.

“Jadi, ini bermaksud kita tak boleh guna plastik untuk isi makanan dan minuman lagi ye?”

Pada dasarnya ya. Namun perlu diingat bahawa mikroplastik bukan semata-mata berpunca daripada penyimpanan makanan dalam bekas plastik jerr.

Kajian oleh seorang pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang pembangunan mampan dari Sunway University, Saraswathy Nalatambi memberitahu bahawa beliau berjaya menemui mikroplastik dalam hidupan lain iaitu dalam isi dan otot ikan serta kerang-kerangan dimana sumber tersebut sememangnya merupakan makanan harian manusia.

Dia yang juga penolong pensyarah di Heriot-Watt Global College Malaysia percaya, inilah menyebabkan kewujudan mikroplastik dalam tubuh manusia.

Mesti tertanya-tanya apakah kesan jika ada sisa plastik halus dalam tubuh ni?

Untuk pengetahuan Mama dan Papa, mikroplastik dalam badan manusia dikatakan boleh menyebabkan kesan radangan, keracunan gen, penyakit kronik dan penyakit autoimun kepada manusia.

Tambah Mageswari, masalah ini berpunca akibat penggunaan plastik yang terlampau tinggi sehingga ia meningkatkan jumlah pembuangannya di sekeliling kita.

“Mikroplastik yang berada di alam sekitar akan mencemari rantaian makanan di daratan dan perairan.

“Bahan bersaiz kecil ini akan memekatkan toksik yang sudah wujud di alam sekitar sehingga mendedahkan haiwan dan manusia secara langsung atau tidak,” katanya.

Justeru, masalah penggunaan plastik ini bukan hanya menganggu kelestarian alam tau Papa dan Mama, namun turut memberikan kesan bahaya kepada kesihatan serta mengancam nyawa kita sendiri.

#Cara Mengelakkan Pengambilan Mikroplastik

1. Kurangkan penggunaan plastik dalam makanan

Secara asasnya, plastik yang membungkus makanan dan minuman berpotensi menyerap mikroplastik dan nanoplastik.

Justeru, mengelakkan penggunaan beg plastik yang membungkus secara direct pada makanan dan minuman berupaya mengurangkan jumlah pengambilan bahan itu untuk masuk ke dalam tubuh.

Mama sekeluarga disarankan menggunakan bekas makanan yang lebih tahan lama, dan pastikan air minuman berasal dari sumber yang bersih. Selain itu, kurangkan penggunaan produk plastik sekali guna

2. Sertai aktiviti kelestarian alam

Aktif menyertai program kelestarian terhadap alam sekitar boleh memupuk kesedaran dan pengetahuan tentang mikroplastik.

Justeru, ia berupaya membantu Mama sekeluarga untuk meningkatkan ilmu tentang bagaimana mengelakkan diri atau mengurangkan risiko pengambilan mikroplastik dalam tubuh manusia.

3. Kurangkan penggunaan produk plastik sekali guna

Tahukah Mama, produk jenis plastik mudah terurai turut berisiko meningkatkan jumlah mikroplastik dalam kehidupan seharian?

Ini kerana rembesan mikroplastik ke udara, tanah dan alam sekitar sebenarnya berpotensi menyebabkan kita menghidu sisa plastik bersaiz zarah ini.

Maka, alternatif terbaik adalah mengurangkan kebergantungan kepada plastik dalam memastikan kualiti hidup lebih sihat.

4. Masak tanpa menggunakan bahan berasaskan plastik

Sudip plastik, sudu plastik dan semua yang seumpamanya kadangkala digunakan sebagai alatan untuk memasak.

Ia lebih meningkatkan risiko pengambilan mikroplastik ke dalam tubuh. Bahaya kan Mama?

5. Minum air yang ditapis daripada sumber yang terjamin

Dah tahu minuman air mineral disimpan dalam botol plastik juga boleh menyebabkan rembesan mikroplastik, maka beralihlah kepada cara memasak air yang lebih sihat.

Sama ada air paip yang dimasak atau air tapis. Pendek kata, ia bukan disimpan dalam bahan berasaskan plastik.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk dapatkan pelbagai info dan tips kesihatan yang lain, Mama dan Papa boleh klik di SINI!