Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan samalah seperti mandi tidak bersabun. Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan. Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya.
Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional. Meminum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.
Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan. Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual.
Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara ini. Perkara yang nyata mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.
Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau dikukus. Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu.
Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu (Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan ibu-ibu di samping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang. Menurut orang tua-tua buah mengkudu (Morinda citrifolia) jika dimakan mentah mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu. Cara makannya, ia perlu dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar.
Sumber: Internet