KelabMama

Pemakanan & Gaya Hidup Untuk Meningkatkan Kesihatan Mata Mama

Artikel ini telah disemak dan disahkan oleh Pakar Pemakanan, Puan Mardhiah Mat Din, dari Hospital Columbia Asia – Puchong.

Pakar Pemakanan, Puan Mardhiah Mat Din, dari Hospital Columbia Asia – Puchong.

“Rasa kepala seperti berdenyut pula lepas tu tengkuk pun lenguh-lenguh.” Mama Siti yakin ini antara senario biasa dihadapi ramai orang selepas berjam-jam lamanya menghadap skrin telefon.

Ia terjadi disebabkan mata yang seperti dipaksa bekerja keras melihat visual bercahaya, berwarna -warni, gambar atau video yang cepat dan bahan bacaan yang mungkin kecil tertera di skrin tadi.

Meskipun mata mampu membaca dan melihat dengan jelas, namun jika keupayaannya yang mungkin terbatas dipaksa terus-menerus untuk meneliti paparan berkenaan, ia mungkin menyebabkan mata cepat letih dan seterusnya boleh terdedah dengan pelbagai masalah berkaitan pancaindera seperti rabun.

Pada asasnya, mata juga memerlukan rehat sama seperti tubuh badan seseorang yang keletihan dan perlu baring atau tidur sebentar.

Tapi perasan tak dunia hari ini segala-galanya memerlukan mata untuk melihat skrin walaupun sebelum masuk tidur. Yang bekerja di depan komputer memperuntukkan lebih banyak masa untuk memandang skrin cahaya.

Namun, tidak kurang juga bagi mereka yang tidak bekerja di depan komputer sekalipun, tapi tetap ralit dengan screen ekoran dunia digital kini memaksa hampir semua inidividu untuk mempunyai handphone dan social media.

Dengan kata mudah, hampir semua orang memperuntukkan matanya untuk melihat handphone, gajet termasuklah televisyen yang menyediakan paparan skrin berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, tak semua orang perasan, skrin yang lebih canggih inilah sebenarnya lebih memberikan risiko untuk sepasang mata kita. Jika dibandingkan dengan telefon bimbit zaman dulu, televisyen lama yang berkotak, paparan seumpama itu tidak terlalu menjejaskan kesihatan mata manusia berbanding teknologi hari ini.

Justeru, adalah penting untuk kita melakukan penjagaan mata dengan betul serta mengetahui cara terbaik dalam memastikan anugerah Allah ini kekal sihat.

Bagaimana kaedah penjagaan yang tepat? Jom baca entri ni! Umumnya, terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian dalam memastikan mata kita kekal sihat. Iaitu daripada sudut pemakanan dan gaya hidup.

Ayuh ketahui bagaimana cara terbaik untuk pastikan mata terus sihat khususnya dalam dunia yang serba canggih ini.

Dari Segi Pemakanan

1. Ikan

Kebanyakan ikan adalah sumber asid lemak omega-3 yang sangat baik. Memilih ikan berminyak boleh memberikan tahap nutrien yang lebih tinggi lagi. Ikan yang memiliki omega-3 tinggi termasuk salmon, trout, dan makarel. 

Beberapa kajian mencadangkan asid lemak omega-3 boleh membantu melindungi mata dewasa daripada degenerasi makula dan sindrom mata kering. 

Asid lemak juga boleh membantu pengaliran cecair intraokular yang betul dari mata, mengurangkan risiko tekanan mata tinggi dan glaukoma. 

Minyak hati ikan kod juga sangat tinggi dalam vitamin A dan D. Vitamin A membantu melindungi permukaan mata (kornea) untuk mendapatkan penglihatan yang baik.

2. Sayur berdaun hijau

Sayur ini kaya dengan zeaxanthin, lutein, beta karotena dan juga vitamin C yang bermanfaat. Bayam, broccoli dan kangkung adalah pilihan yang sangat baik.

3. Kekacang

Makanan ringan yang sihat ini juga mengandungi paras omega-3 yang tinggi. Kacang, mengandungi banyak vitamin E yang boleh membantu melindungi mata anda daripada kerosakan akibat penuaan. Kacang terbaik termasuk walnut mentah, gajus dan lentil yang dimasak.

4. Lobak merah

Paling famous untuk kesihatan mata tentulah lobak merah! Lobak merah mengandungi beta-karotena yang bertukar kepada vitamin A dalam badan. 

Vitamin A adalah penting untuk penglihatan kerana ia adalah komponen rhodopsin iaitu protein yang membantu retina anda menyerap cahaya. Beta-karotena diperlukan badan anda untuk menghasilkan vitamin A.

5. Keledek

Ubi keledek kaya dengan beta-karotena selain sumber vitamin E yang baik.

Dari Segi Gaya Hidup

1. Ikuti saranan screen time yang betul

Pastikan jarak antara gajet dan mata adalah bersesuaian serta elakkan membaca tulisan yang terlalu halus sehingga memaksa mata untuk fokus berlebihan. Ia termasuklah brightness setting yang ditetapkan dalam mood sesuai.

Keletihan pada mata akibat screen time berlaku apabila terdapat cahaya yang berlebihan dari sumber luar dan lampu di dalam rumah atau pejabat. Pastikan pencahayaan di sekeliling gajet atau laptop separuh lebih malap daripada cahaya lampu yang digunakan di rumah dan pejabat.

Selain itu, masalah silau juga boleh berlaku akibat pembalikan cahaya dari permukaan dinding, skrin komputer dan sebagainya. Elakkan penggunaan dinding sekitar yang berwarna terang seperti putih dan gunakan screen protector handphone atau laptop yang mempunyai penapis cahaya.

Cahaya yang mencukupi amat penting ketika membaca. Pastikan pencahayaan yang digunakan tidak terlalu malap atau terlalu terang ketika membaca kerana akan mengganggu keselesaan dan kesihatan mata.

2. Banyakkan melihat kehijauan

Walaupun fakta sains mengatakan mata mempunyai sensitiviti tinggi terhadap warna hijau, tetapi kebanyakan orang yang berbuat demikian berpendapat, mata mereka terasa lebih relaks.

Pandang tumbuh-tumbuhan hijau selalu untuk kesegaran mata.

3. Rehatkan mata dengan bahan tradisional

Antara petua tradisional untuk menjaga kesihatan mata adalah meletakkan timun atau uncang teh di mata. Ambil uncang yang telah digunakan dalam minuman dan letak di dalam peti sejuk selama 10 hingga 20 minit. Seterusnya, letakkan uncang teh pada mata yang tertutup selama 15 hingga 30 minit.

Boleh juga gunakan hujung jari untuk memberi tekanan lembut pada mata anda atau mengurut perlahan kawasan sekitar mata anda. Sekiranya anda menggunakan uncang teh sejuk, cuba tutupnya dengan potongan timun sejuk untuk menambah kelegaan.

Bagaimanapun, bukan semua jenis uncang teh boleh digunakan untuk rawatan ini, hanya terdapat beberapa jenis teh yang boleh digunakan untuk merawat masalah mata. Sebaiknya gunakan teh organik untuk mengelakkan bahan kimia. Teh hitam, putih, dan hijau dapat membantu mengatasi masalah mata.

4. Amalkan senaman mata

Pergi ke luar rumah, lihat satu objek berdekatan anda, kemudian beransur-ansur melihat pula objek yang lebih jauh, sejauh yang mungkin. Selepas itu lihat semula objek yang berdekatan anda. Ulangi proses ini beberapa kali.

Atau satu lagi senaman mudah ialah gerakkan mata anda ke kanan semaksimum mungkin, berhenti sekejap, kemudian ke kiri, berhenti sekejap, seterusnya ke atas, bawah dan tengah. Ulangi proses ini beberapa kali.

5. Memakai pelindung mata

Cermin mata hitam (sunglasses) ialah cermin mata yang memberikan perlindungan sinaran Ultra Violet (UV) daripada cahaya matahari.

Pastikan anda mendapatkan nasihat daripada optometris ketika memilih cermin mata hitam yang sesuai dengan anda.

Cermin mata hitam yang baik adalah yang dapat menapis dan memberi perlindungan sebanyak 99-100% UVA dan UVB daripada cahaya matahari. Sinaran UV boleh menyebabkan katarak.

6. Tidur yang cukup

Apabila tidak cukup rehat, mata akan kelihatan kemerah-merahan. Salur darah yang membawa lebih banyak oksigen ke kornea mata atau tisu yang meliputi mata akan menjadi merah.

Oleh itu pastikan anda mendapat tidur yang cukup sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari bagi mengelak tompok hitam bawah mata.

7. Amalkan kaedah selamat untuk kesihatan mata

“Jarang hadap gajet, tapi saya kerap baca buku dan surat khabar fizikal. Adakah mata saya akan kurang berisiko dengan masalah rabun?”

Meskipun anda jarang melihat skrin, namun untuk memastikan kesihatan mata terus berada di tahap optimum, saranan pakar kesihatan menetapkan beberapa kaedah membaca buku perlulah dipatuhi.

Antaranya menjaga jarak antara 30 hingga 40cm dari buku ke mata. Jarak yang terlalu dekat akan menyebabkan otot-otot mata menegang untuk memfokus. Hal ini boleh mengakibatkan sakit kepala.

Selain itu, posisi badan hendaklah sentiasa tegak. Jangan membaca sambil berbaring. Ini akan menyebabkan otot-otot mata terpaksa bekerja lebih untuk menfokus pada bahan bacaan. Mata akan menjadi cepat letih dan tidak dapat bertahan lama untuk membaca.

Dalam masa sama, elakkan membaca ketika berada di dalam kenderaan bergerak serta keadaan jalan yang bengkang-bengkok dan berbonggol. Ia akan mengundang sakit kepala dan mabuk ekoran keupayaan mata untuk fokus menjadi tidak stabil ketika membaca.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk dapatkan pelbagai info dan tips tentang kesihatan, andai boleh klik di SINI!