KelabMama

Menggugurkan Janin: Daripada Perspektif Agama Dan Moral

Bercerita tentang tindakan menggugurkan janin atau bayi, pasti semua masyarakat tak kira apa juga pegangan agama merasakan ia adalah perkara tidak wajar sama sekali.

Malah, di Malaysia, kes pengguguran janin adalah salah di sisi undang-undang apabila boleh dihadapkan di bawah Seksyen 312-316 Kanun Keseksaan.

Meskipun ia dikira sebagai satu kesalahan, masih ramai wanita mengambil keputusan untuk melakukan jenayah ini.

Buktinya, terdapat ramai individu yang sanggup membeli pil keguguran janin secara atas talian walaupun ia mengundang risiko merbahaya.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 73 juta kes melibatkan cara gugur kandungan berlaku di seluruh dunia setiap tahun.

Dalam jumlah itu, 61 peratus daripada mereka bertindak demikian disebabkan kehamilan yang tidak diingini. 

Pengguguran atau abortion ialah kehamilan ditamatkan supaya ia tidak mengakibatkan kelahiran anak.

Walaupun statistik WHO meliputi seluruh dunia, namun jika dilihat tindakan sengaja mengeluarkan janin daripada rahim kebanyakkannya disebabkan keengganan wanita itu untuk terus hamil.

Namun, bukan semua wanita yang menggugurkan janin itu adalah kerana mereka menolak rezeki. Adakalanya perkara itu dilakukan atas dasar terpaksa.

“Saya pernah dengar katanya kalau nak gugurkan anak, sebaiknya lakukan ketika janin berusia bawah empat bulan. Masa tu roh mereka belum ditiup lagi, jadi ia adalah janin yang belum bernyawa dan tak diumpamakan membunuh.

“Tapi kalau dah lebih empat bulan, tak boleh gugurkan. Itu baru sama macam bunuh seseorang!”

Eh, betul ke macam tu Mama? Bagaimana pula bagi kes menggugurkan janin yang diketahui cacat?

Atau adakah usia janin di bawah empat bulan boleh digugurkan sekiranya pasangan itu belum bersedia memiliki zuriat?

Jom kita kupas isu mengenai keguguran janin dalam perspektif Islam.

Hukum Dari Sisi Islam

Secara asasnya, menggugurkan janin dalam kandungan adalah haram. Tidak kira berapa minggu pun tempohnya.

Memetik laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menggugurkan kandungan sekiranya boleh mendatangkan mudarat kepada ibu adalah harus mengikut Hukum Syarak kerana meraikan maslahah yang lebih besar iaitu keselamatan nyawa ibu.

Dengan syarat hal tersebut mestilah mendapat pengesahan daripada pakar perubatan.

Namun, sekiranya kandungan tersebut tidak merisikokan nyawa si ibu, maka hukumnya adalah haram menggugurkan kandungan.

Keadaan Yang Membolehkan Untuk Gugurkan Janin

Pun begitu, bagi kes darurat, terdapat beberapa situasi berbeza dalam hukum yang membolehkan janin itu digugurkan termasuklah meneliti usia kandungan.

Majoriti ulamak menyatakan keharusan menggugurkan kandungan samada usia kandungan kurang daripada empat bulan atau lebih jika kehamilan tersebut berpotensi besar untuk mengancam nyawa si ibu.

Sebagai contoh, kehamilan di luar rahim, kehamilan bagi pesakit yang menderita penyakit kronik seperti kanser dan HIV.

Pendapat ini adalah berdasarkan kepada prinsip Usul Fiqh yang menyatakan:

إذا تعارضت مفسدتان رُوعي أعظمُهما ضررًا بارتكاب أخفهما

Maksudnya: “Jika terdapat dua jenis mudarat, maka hendaklah diraikan mudarat yang lebih besar dengan mengambil mudarat yang lebih ringan”. (Rujuk: Al-Asybah wa al-Nazair, hlm 87; Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm 203).

Dalam situasi sebegini, nyawa kedua ibu dan anak sama penting dan berharga. Namun, seandainya pilihan terpaksa dibuat di antara nyawa ibu yang sudah jelas hidupnya, maka ia perlu lebih diutamakan berbanding janin yang belum pasti keupayaan hidupnya.

Islam adalah agama yang realistik dan fleksibel. Dalam situasi dimana berlakunya darurat yang sangat mendesak, maka ada kelonggaran diberikan untuk ‘keluar’ daripada prinsip asal yang mungkin tidak membenarkan.

“Tapi bagaimana pula jika janin yang bakal dilahirkan tidak sempurna dan akan merisikokan dirinya jika dia hidup

“Bolehkah digugurkan kandungan yang diyakini tidak sihat atau cacat?”

Bagi kes ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang telah diputuskan pada 7 Mac 1990 ada menyatakan berkaitan persoalan hukum mengugurkan kandungan di atas nasihat doktor disebabkan kecacatan.

Muzakarah telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Fatwa ini juga selari dengan ketetapan daripada Majma’ Fiqh al-Islami yang menyatakan: “Sekiranya kandungan itu berusia 120 hari, maka haram hukumnya menggugurkannya, sekalipun ia didapati terdapat kecacatan, melainkan sekiranya mendapat pengesahan daripada pakar perubatan bahawa kandungan itu boleh menjejaskan nyawa ibu, maka ketika itu harus menggugurkannya kerana memelihara nyawa ibu lebih diutamakan”. (Rujuk: Qarar Majma’ al-Fiqh al-Islami, No 277).

Justeru, mufti cenderung mengatakan bahawa haram hukumnya menggugurkan kandungan tersebut kerana ia tidak berpotensi besar dalam mengancam nyawa ibu.

Hal ini disebabkan pengesahan pakar perubatan yang mengatakan keadaan ibu masih stabil dan selamat untuk meneruskan kehamilan.

Walau bagaimanapun, kami menasihati si ibu supaya mendapatkan kaunseling daripada pakar psikologi dan merujuk kepada pakar perubatan dalam mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan kesihatan ibu dan kandungan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Keburukan Menggugurkan Kandungan

Bagi mereka yang hamil dan tidak mempunya mudarat ke atas diri dan bayinya, maka kesan menggugurkan kandungan adalah lebih buruk untuk wanita berkenaan iaitu:

1. Mengancam nyawa si ibu

Pengguguran adalah sesuatu yang memudaratkan janin kerana tindakan tersebut adalah bertujuan mematikannya.

Ia juga boleh memudaratkan nyawa si ibu kerana dalam beberapa keadaan, perbuatan menggugurkan janin boleh menyebabkan pendarahan yang teruk pada ibu  dan seterusnya mengancam nyawanya.

Memetik laporan Sinar Harian, terdapat kaedah pengguguran janin menggunakan pil. Namun awas, risikonya sangat besar jika diambil tanpa nasihat doktor.

Pakar penyelidik farmasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Mohamed Azmi Hassali berkata, misoprostol, mifepristone dan cytolog merupakan antara pil yang sering digunakan untuk tujuan rawatan keguguran kandungan, namun kesannya yang sangat kuat menyebabkan hanya doktor pakar layak mengeluarkan preskripsi untuk pesakit.

Kata beliau, ia boleh digunakan secara sendirian (vaginal insert) atau pun kombinasi oral (misoprostol dan mifepristone).

Namun, sekiranya penggunaan ubat tersebut digunakan tanpa pengawasan yang sepatutnya, ia boleh membawa kesan sampingan seperti kekejangan, rahim terkoyak, pendarahan tidak normal, masalah jantung dan mandul. Sekiranya tidak dirawat segera boleh membawa kepada maut.

2. Melakukan dosa besar

Memetik laporan Berita Harian, haram dan berdosa menggugurkan kandungan dengan sengaja tanpa sebarang sebab dibenarkan syarak. Lebih-lebih lagi apabila umur kandungan telah melebihi empat bulan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu membunuh anak kamu hanya kerana takut miskin. Sesungguhnya kami yang memberikan rezeki kepada anak itu dan termasuklah kamu juga. Ingatlah perbuatan membunuh mereka itu adalah satu jenayah yang sangat besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)

3. Disabitkan kesalahan jenayah

Tindakan menggugurkan janin di Malaysia boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 312-316:

4. Hilangnya rasa empati sesama manusia

Dengan haiwan pun perlu ada rasa kasih, apatah lagi manusia. Jika seseorang itu mempunyai rasa empati sesama manusia, menggugurkan janin di dalam rahim semestinya satu keputusan yang diaggap teruk.

Janin itu adalah permulaan sebelum ia terbentuk menjadi manusia, justeru, melakukan pengguguran seolah sama dengan tindakan menamatkan riwayat seorang manusia.

Apatah lagi ia adalah manusia kecil yang masih suci. Tidakkah terjentik perasaan keibuan tatkala membuang anak sendiri?

5. Masalah sosial berleluasa

Seandainya tindakan untuk menggugurkan janin dilakukan tanpa rasa belas kasihan, maka lama kelamaan, masalah sosial ini semakin berleluasa.

Hilangnya perasaan kasih sesama manusia serta mendorong pula kepada masalah sosial sebenarnya memberikan kesan yang sangat buruk dan negatif dalam kehidupan bermasyarakat.

Tiada rasa malu dan bangga dalam melakukan aktiviti tidak bermoral. Ini semua menjerumus kepada masalah adab, tingkah laku dan sifat kemanusiaan.

Mungkin kedengaran biasa tatkala bercerita mengenai masalah sosial yang semakin berleluasa, namun ia sebenarnya mendekatkan kita dengan pelbagai cabaran dunia termasuklah tekanan hidup, suicide dan macam-macam lagi gejala negatif.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Anda nak dapatkan macam-macam info dan tips tentang kehamilan, boleh rujuk di SINI tau!