Adakalanya kita melihat kanak-kanak terkedek-kedek berjalan dengan kaki yang kengkang. Bagi kanak-kanak yang baru belajar berjalan, ini boleh dikatakan comel tetapi apabila usia semakin dewasa, ibu bapa mula risau jika anak mereka masih berjalan kengkang.
Jalan kengkang atau bowed-leg ialah keadaan apabila lutut dan tulang keting kanak-kanak membengkok dan kelihatan seperti busur panah. Keadaan ini boleh terjadi sama ada pada kedua-dua belah kaki dan adakalanya hanya melibatkan sebelah kaki sahaja. Kanak-kanak yang menghidap masalah ini biasanya hanya disedari oleh ibu bapa mereka apabila anak mereka mula berdiri dan bertatih pada peringkat awal belajar berjalan.
USIA
- Kedua lutut mereka kelihatan melengkung dan jarak antara kedua-dua belah lutut adalah jauh berbanding kanak-kanak yang sebaya dengan mereka. Kebiasaannya mereka tidak berasa sakit atau kebas. Apa yang ketara ialah cara mereka berjalan kelihatan mengangkang.
- Jalan kengkang boleh berlaku pada sebarang usia bergantung kepada masalah perubatan yang berlaku. Secara fisiologi, masalah ini menjadi satu perkara yang normal bagi kanak-kanak yang berusia kurang daripada dua tahun untuk mempunyai kaki yang sedikit bengkok.
- Keadaan ini akan menjadi betul dengan sendirinya apabila kanak-kanak membesar dan berusia empat tahun ke atas. Kebanyakan pesakit dirujuk ke klinik ortopedik pada usia 12 hingga 18 bulan.
PUNCA-PUNCA
- Terdapat beberapa punca utama yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Punca paling biasa berlaku ialah masalah fisiologi, bermakna kebengkokkan ini akan pulih secara sendiri sejajar dengan pembesaran kanak-kanak.
- Mungkin juga berpunca daripada sebab-sebab lain seperti Blount’s Disease, ketumbuhan tulang, kepatahan tulang, masalah genetik atau kekurangan zat mineral. Setiap masalah ini perlu disiasat secara terperinci melalui pemeriksaan fizikal, pemeriksaan makmal dan juga x-ray.
- Blount’s Disease, ialah keadaan apabila berlaku kerosakan pada bahagian pertumbuhan tulang keting yang dikenali sebagai epiphyseal plate. Sebab sebenar perkara berkenaan berlaku masih lagi belum diketahui.
- Namun, mengikut statistik, penyakit ini kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan serta pada kanak-kanak yang berjalan awal (early walker). Kerosakan ini menyebabkan pemanjangan tulang menjadi tidak sekata dan sendi lutut menbengkok.
SUMBER ZAT MAKANAN
Menyentuh jenis zat makanan atau mineral yang boleh mengelakkan jalan kengkang dalam kalangan kanak-kanak, tiga zat makanan dan mineral yang penting bagi pertumbuhan tulang yang sihat iaitu kalsium, fosforus dan vitamin D. Kekurangan zat galian ini boleh menyebabkan penyakit Ricket yang boleh menyebabkan bowed-leg berlaku. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka melakukan aktiviti luar pada siang hari bagi mendapat sinaran matahari pagi. Sinaran ultraviolet matahari pagi ini amat penting bagi membolehkan proses metabolisme vitamin D dan kalsium berlaku di dalam badan anak-anak.
Sumber: Utusan & Menurut Pakar Ortopedik, Malaysian Integrated Medical Professionals Association (MIMPA), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Pahang, Dr. Ahmad Mahyuddin Mohamed