KelabMama

Apa Kata Pakar: Mengapa Derma Darah Penting untuk Kesihatan

penting derma darah

Setiap tahun, bulan Januari disambut sebagai National Blood Donor Month, iaitu waktu untuk menghargai sumbangan para penderma darah dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan derma darah.

Dr. Muhammad Bin Shahruddin,
seorang Pakar Perunding Perubatan Dalaman

Derma darah secara ringkasnya, Mama Papa dengan sukarela memberikan sedikit darah untuk membantu pesakit yang memerlukan, sama ada selepas kemalangan, pembedahan, atau rawatan penyakit tertentu.

Setiap beg darah yang didermakan membawa harapan, kehidupan, dan peluang kedua kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

Namun, walaupun kesedaran semakin meningkat, keperluan untuk bekalan darah sentiasa tinggi.

Menurut pakar perubatan, menderma darah bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga kepada penderma melalui proses regenerasi sel darah yang lebih sihat.

Kali ini, Mama Siti berkesempatan untuk berkongsi pandangan daripada Dr. Muhammad Bin Shahruddin, seorang Pakar Perunding Perubatan Dalaman dari Hospital Columbia Asia – Puchong, yang akan memberikan penjelasan mendalam mengenai kepentingan dan manfaat amalan menderma darah.

Sempena sambutan ini, marilah kita memahami peranan besar darah dalam perubatan, kepentingan menjadi penderma, dan bagaimana sumbangan kecil kita boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan orang lain.

1. Apa itu derma darah, dan kenapa ia penting dalam bidang perubatan?

Ia adalah keperluan penting dalam rawatan kesihatan dan hanya boleh didapati dengan pendermaan sesama manusia. Setakat ini belum ada pengganti darah dari bahan sintetik 

Darah diperlukan antara lain untuk pesakit yang menjalani pembedahan, mangsa kemalangan dan merawat penyakit seperti barah, leukemia dan penyakit jantung atau hati.

2. Doktor, berapa banyak nyawa yang boleh diselamatkan dengan satu beg darah?

Satu beg dapat membantu sekurang-kurangnya tiga orang pesakit. Di Pusat Darah Negara memerlukan purata 15 hingga 17 ribu beg darah dalam SEBULAN.

3. Siapakah yang layak untuk menderma darah, dan apakah syarat utamanya sebelum menderma darah?

Penderma hendaklah sihat tubuh badan dan berumur diantara 17-70 tahun.

Mempunyai berat 45kg keatas dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti hubungan sejenis, biseksual atau pekerja seks komersial dan juga tidak mengambil dadah.

4. Bagaimana proses derma darah dijalankan, dan berapa lama ia mengambil masa?

Penderma boleh menderma sama ada sel darah merah atau aferesis (plasma dan platlet).

Proses menderma darah akan mengambil masa 7 hingga 10 minit.  Tetapi dinasihatkan untuk berada di tempat pendermaan darah lebih kurang satu jam untuk pemeriksaan sebelum dan pemerhatian selepas menderma.

5. Berapa banyak darah sebenarnya diambil semasa derma – satu beg, dua beg, atau lebih? Adakah jumlah ini bergantung pada berat badan atau faktor lain?

Ia bergantung kepada berat badan dimana untuk penderma dengan berat diantara 45 hingga 55 kg akan menderma lebih kurang 350ml dan jika berat lebih 55 kg mampu menderma sebanyak 450ml darah.

6. Apakah persediaan yang perlu dilakukan sebelum dan selepas menderma darah?

Penderma perlu memastikan tidur sekurang-kurangnya 5 jam, meminum air secukupnya dan mengambil makanan dalam masa 4 jam sebelum menderma.

Selepas menderma perlu memastikan minum lebih banyak air, mengelakkan minuman beralkohol. Penderma juga dinasihatkan untuk tidak mengangkat barang berat atau terlibat aktiviti berat dalam 6 hingga 8 jam selepas menderma.

7. Adakah derma darah ini menyakitkan atau membawa risiko juga kepada penderma selepas menjalani proses menderma darah?

Penderma akan diberikan ubat tahan sakit bagi menghilangkan rasa sakit.

Di antara kesan sampingan yang boleh berlaku adalah termasuk lebam di bahagian pendermaan dan tindak balas vasovagal ataupun pitam ringan. Kesan sampingan ini jarang berlaku dan risikonya adalah minima.

8. Berapa kerap seseorang boleh menderma darahnya dalam setahun?

Penderma boleh menderma setiap tiga bulan bersamaan dengan empat kali setahun.

9. Adakah terdapat manfaat kesihatan untuk mereka yang menderma darah secara berkala?

Pendermaan darah mampu memelihara kesihatan dan merangsang badan untuk penghasilan sel sel darah baharu. Ini dapat mengekalkan kecergasan badan dan menjadikan penderma lebih produktif

Penderma juga akan dapat mengetahui kumpulan darah, bacaan tekanan darah dan tahap hemoglobin sebelum proses menderma darah.

10. Apakah keadaan kesihatan yang boleh menghalang seseorang daripada menderma darah?

Bakal penderma tidak dapat menderma jika mempunyai berat kurang dari 45kg dan mempunyai paras hemoglobin yang rendah.

Untuk perderma wanita tidak boleh menderma ketika mengandung atau menyusukan anak dan tiada haid (dibolehkan menderma selepas hari ketiga jika sedang haid).

Pesakit menghidap penyakit berjangkit seperti sifilis, AIDS and jangkitan virus hepatitis juga tidak dibenarkan menderma. 

11. Apakah jenis darah yang paling banyak diperlukan di hospital?

Majoriti manusia mempunyai darah jenis kumpulan O dan diikuti dengan A atau B. Jenis darah yang paling sedikit adalah jenis AB.

Jadi jenis darah yang diperlukan juga mengikut turutan berkenaan di mana yang paling banyak diperlukan adalah jenis darah O. Darah jenis O adalah penderma universal dan jenis kumpulan AB adalah penerima universal.

12. Berapa lama darah yang didermakan boleh disimpan dan digunakan di hospital?

13. Berapa lama masa yang diperlukan oleh tubuh seseorang untuk menggantikan darah yang telah didermakan?

Badan mampu menggantikan plasma dalam masa 24 jam dan penggantian darah merah pula memerlukan jangka masa dalam empat hingga lapan minggu. 


Apa simptom awal yang Mama Papa perlu tahu tentang penyakit asma? Klik di SINI.