KelabMama

Membasuh Pad Sebelum Dibuang: Kepercayaan Lama atau Saranan Menurut Agama?

hukum mencuci tuala wanita atau pad

Membasuh pad atau tuala wanita adalah amalan yang biasa dilakukan oleh sesetengah Mama, termasuklah Mama Siti.

Haid adalah sesuatu yang normal, tetapi tempoh ini sering menjadi cabaran, terutama dari segi menjaga kebersihan diri dan memastikan keselesaan sepanjang hari.

Dalam usaha memastikan tubuh kita kekal bersih sepanjang haid, kita juga perlu berhadapan dengan pelbagai situasi, termasuk masalah bau yang kurang menyenangkan.

Salah satu perkara utama ialah memastikan cara membuang atau mencuci pad dilakukan dengan betul untuk mengekalkan kebersihan sepanjang masa.

Baru-baru ini, Mama Siti sendiri mengalami situasi yang kurang menyenangkan di tandas awam. Ada individu yang terus membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas, menyebabkan Mama Siti dan pengguna lain tidak boleh menggunakan tandas tersebut.

Selain tandas tersumbat ia menyebabkan ada bau yang kurang menyenangkan juga. Situasi seperti ini sebenarnya boleh dielakkan jika kita semua mengamalkan cara pelupusan yang betul dan menjaga kebersihan bersama.

Membasuh pad sebelum membuangnya mungkin dianggap sebagai langkah yang lebih bersih dan sopan oleh sesetengah orang.

Namun, hakikatnya, ia bukanlah suatu keperluan yang wajib dilakukan, asalkan pad dibuang dengan cara yang betul dan sesuai untuk menjaga kebersihan persekitaran.

Perlu Dibasuh Dahulu atau Tidak?

Hakikatnya, dalam ajaran Islam, tiada dalil atau hadis yang menunjukkan bahawa pad yang telah digunakan perlu dibasuh sebelum dibuang. Tiada riwayat daripada mana-mana sahabat wanita Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan mereka membasuh tuala wanita sebelum membuangnya.

Nabi S.A.W sendiri tidak pernah mengeluarkan arahan khusus berkaitan hal ini. Baginda hanya menekankan pentingnya membersihkan darah haid yang terkena pakaian, tetapi tidak menyentuh tentang keperluan membasuh pad yang digunakan.

Secara jelas, tiada sebarang dalil, hadis, atau riwayat daripada para sahabat yang menunjukkan bahawa pad yang telah digunakan perlu dibasuh sebelum dibuang. Bahkan, tidak ada riwayat daripada sahabat wanita Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan mereka membasuh tuala haid sebelum membuangnya.

Hadis yang sering dirujuk berkaitan darah haid hanya menyebut tentang keperluan membasuh pakaian yang terkena darah haid, seperti dalam riwayat Asma’ Binti Abu Bakar:

“Aku bertanya kepada Nabi S.A.W tentang darah haid yang terkena pada pakaian. Nabi S.A.W bersabda: basuhlah ia dan gosoklah dengan air serta siramlah ia (setelah digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian tersebut.”

(Riwayat al-Tirmizi, 138 dan Abu Daud, 362)

Arahan ini jelas merujuk kepada pembersihan pakaian yang digunakan semasa haid, bukan membasuh tuala wanita sebelum dibuang.

Sebagai wanita Muslim, Mama mungkin pernah mendengar kepercayaan bahawa pad yang digunakan semasa haid perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum dibuang untuk mengelakkan ia “dijilat” oleh makhluk halus. Namun, sejauh manakah kebenaran dakwaan ini?

Kepercayaan bahawa pad yang tidak dibasuh akan menjadi makanan jin tidak mempunyai asas dalam hadis. Walau bagaimanapun, syaitan sememangnya diketahui menyukai perkara kotor dan najis. Ini berdasarkan doa Rasulullah S.A.W ketika masuk ke dalam tandas:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
Maksudnya :” Ya Allah aku berlindung dengan Engkau dari al-Khubuth dan al-Khabaith.

Riwayat al-Bukhari (6322)

Adakah Selamat Membasuh Pad Sebelum Membuangnya?

1. Cuci Pad dengan Bersih

Jika Mama memutuskan untuk mencuci pad, langkah pertama ialah memastikan pad tersebut dibersihkan sepenuhnya untuk menghilangkan darah yang terkandung.

Gunakan air bersih dan sabun yang sesuai untuk memastikan kotoran dapat dihapuskan sepenuhnya. Mama boleh memilih sabun antibakteria untuk memberikan perlindungan tambahan daripada kuman dan bakteria.

Penting untuk mengambil masa mencuci dengan teliti agar tidak ada sisa darah yang tertinggal pada pad sebelum ia dibuang.

2. Jaga Kebersihan Tangan

Sebaik sahaja selesai mencuci pad, pastikan Mama mencuci tangan dengan bersih menggunakan sabun dan air mengalir.

Ini adalah langkah penting untuk memastikan tiada bakteria atau kuman yang melekat pada tangan Mama selepas menyentuh pad.

Jika Mama ingin lebih yakin, penggunaan sanitizer selepas mencuci tangan juga disarankan.

3. Cuci Lantai dengan Teliti

Setelah mencuci pad, perhatikan kawasan sekitar tandas, terutamanya lantai. Pastikan Mama menyiram lantai tandas sehingga tiada air yang tercemar dengan darah tertinggal.

Ini penting untuk mengelakkan lantai menjadi kotor dan berpotensi mendatangkan bau yang kurang menyenangkan atau mengundang kuman.

Gunakan berus atau mop kecil untuk memastikan kawasan lantai dibersihkan sepenuhnya.

4. Gunakan Pewangi atau Penyegar Udara

Kadangkala, bau hanyir yang tertinggal selepas mencuci pad boleh mengganggu. Untuk memastikan ruang tandas kekal segar dan wangi, Mama boleh menggunakan pewangi atau penyegar udara.

Penyegar udara semula jadi seperti semburan lemon atau lavender juga boleh digunakan untuk memberikan aroma yang menyenangkan.

Selain menyegarkan ruang, langkah ini juga membantu memastikan tandas sentiasa bersih dan selesa untuk digunakan oleh keluarga Mama yang lain.

5. Bungkus Pad Sebelum Membuangnya

Selepas pad dicuci bersih, jangan terus buang tanpa membungkusnya terlebih dahulu.

Gunakan kertas surat khabar, tisu, atau beg plastik kecil untuk membungkus pad tersebut sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Ini adalah langkah tambahan untuk memastikan tong sampah kekal bersih dan mengurangkan risiko bau yang tidak menyenangkan.

Cara Buang Pad di Tandas Awam

  1. Pastikan pad yang telah digunakan dibungkus dengan kertas, tisu, atau plastik agar ia tidak terdedah. Langkah ini juga membantu mengurangkan bau dan mengekalkan kebersihan persekitaran.
  2. Jangan buang pad ke dalam mangkuk tandas kerana ia boleh menyebabkan saluran tersumbat. Sebaiknya, masukkan ke dalam tong sampah yang mempunyai penutup untuk mengelakkan pencemaran atau bau yang tidak menyenangkan.
  3. Setelah membuang pad, basuh tangan dengan sabun dan air bersih untuk memastikan kebersihan terjamin.

Sebagai wanita, kita perlu lebih peka terhadap keperluan diri dan sesama wanita semasa haid. Mama nak membuang terus atau membasuh pad dahulu tidak salah, tetapi Mama perlu memastikan kebersihan sekeliling.

Kebersihan adalah tanggungjawab bersama, dan dengan memberi sokongan serta memahami sensitiviti yang ada, kita dapat menjalani tempoh haid ini dengan lebih selesa dan dihargai.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan pelbagai koleksi doa yang Mama boleh amalkan selepas solat. Klik di SINI.