Kehadiran cahaya mata sudah pasti menjadi idaman semua pasangan untuk melengkapkan lagi hubungan kekeluargaan yang mereka bina.
Walau bagaimanapun proses kehamilan ini tidaklah begitu mudah bagi sesetengah wanita. Malah, sering kali dijadikan penyebab kerana tidak dapat mengandung.
Namun, masihkah ada jalan untuk menyelesaikan masalah kesuburan ini.
Terutamanya kepada Mama yang inginkan untuk mengandung seperti Mama yang lain.
Mama Siti berjaya menemu bual dengan Dr Ashley Chung Soo Bee yang merupakan seorang Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV).
Jom, kita baca hasil perkongsian yang Mama Siti dapat daripada Dr Ashley Chung Soo Bee tentang masalah kesuburan wanita.
1. Wanita yang sudah berkahwin disarankan untuk melakukan pemeriksaan kesuburan bagi mendapatkan rawatan dengan lebih awal.
Apakah kepentingan pemeriksaan kesuburan? Boleh Doktor terangkan langkah-langkah pemeriksaan kesuburan yang bakal mereka lakukan dan adakah ia sama di setiap pusat perubatan?
Masalah ketidaksuburan boleh dialami oleh pasangan suami isteri yang aktif melakukan hubungan seks tanpa sebarang kontrasepsi namun tidak berjaya hamil.
Wanita yang sudah berkahwin dan berumur 35 tahun ke bawah disarankan untuk membuat pemeriksaan kesuburan jika telah merancang kehamilan selama satu tahun atau lebih dari satu tahun.
Jikalau wanita berumur 35 tahun ke atas, mereka disarankan untuk membuat pemeriksaan kesuburan jika telah mencuba selama enam bulan atau lebih lama.
Kepentingan pemeriksaan kesuburan adalah untuk mencari punca masalah ketidaksuburan. Ketidaksuburan tidak semestinya berpunca dari wanita sahaja.
Ketidaksuburan wanita boleh perpunca dari kilang telur yang tidak menghasilkan telur yang matang pada masa yang teratur seperti wanita yang mengalami penyakit sindrom ovari polisistik atau PCOS, ketumbuhan pada kilang telur seperti endometriosis ataupun sista (cyst), tiub fallopio tersumbat, ketubuhan di rahim seperti fibroid atau adenomyosis.
Namun begitu, masalah ketidaksuburan juga boleh berlaku di kalangan lelaki di mana bilangan sperma (kuantiti) dan struktur (kualiti) tidak normal.
Ini boleh menyebabkan peluang persenyawaan berkurangan. Walau bagaimanapun, terdapat 30% pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan dengan tiada punca ketara.
Kedua-dua suami dan isteri disarankan untuk hadir berkonsultasi dengan pakar perubatan kesuburan untuk menjalani pemeriksaan yang lebih teliti.
Doktor akan menjalankan ujian darah untuk pemeriksaan paras hormon, imbasan (scan) dalaman dari faraj untuk pemeriksaan rahim dan kilang telur, ujian patensi tiub fallopio seperti hysterosalphingogram dan untuk para lelaki, ujian air mani.
2. Kehamilan bukanlah sesuatu yang mudah untuk sesetengah wanita. Masalah kesuburan di kalangan kaum wanita menjadi punca wanita itu susah untuk hamil.
Apakah faktor seperti pemakanan dan gaya hidup boleh menjejaskan kesuburan wanita?
Faktor-faktor yang boleh menjejaskan kesuburan termasuklah merokok, pengambilan alkohol, pengambilan kafein yang berlebihan, obesiti, stress dan pemakanan.
Memandangkan pemakanan turut boleh menjejaskan kesuburan, mereka yang sedang merancang kehamilan turut disarankan untuk mengambil makanan yang seimbang, makanan yang kaya dengan antioksidan termasuk biji-bijiran ,sayur-sayuran dan buah buahan. Makanan ringgan patut dielakkan sama sekali.
3. Kebanyakan wanita hanya menyedari tentang masalah kesuburan ini selepas mereka berkahwin dan tidak dikurniakan zuriat dalam jangka masa yang pendek.
Apakah punca ketidaksuburan yang boleh dikenal pasti bagi seorang wanita yang mengalami masalah kesuburan? Dan adakah genetik juga merupakan salah satu penyebab berlakunya masalah kesuburan?
Punca ketidaksuburan yang boleh di alami oleh para wanita adalah seperti tiub fallopio (kiri atau kanan atau kedua-dua belah) yang tersumbat, sekaligus menghalang sperma daripada bertemu dengan ovum (telur). Selain itu, ovari juga boleh menjadi punca ketidaksuburan jika ia mengalami nyahfungsi ovulasi.
Faktor umur juga mengakibatkan kemerosotan dalam kualiti dan kuantiti telur (ovum) yang dihasilkan, namun ini juga menjejaskan peratusan kejayaan untuk hamil.
Ketidaksuburan sekunder juga boleh berlaku, ini bermaksud ketidaksuburan berlaku selepas mempunyai anak sebelum itu tetapi mengalami kesukaran untuk mengadung lagi.
Ketidaksuburan sekunder boleh berlaku kepada wanita yang pernah menjalani pembedahan pada kehamilan sebelumnya, atau wanita yang pernah menagalami jangkitan kuman berikutan kelahiran anak sebelum itu.
Kedua-dua keadaan ini boleh menyebabkan penghasilan parut di rahim akibat pembedahan ataupun jangkitan kuman sebelumnya yang turut menyumbang kepada masalah ketidaksuburan.
4. Wanita yang menginginkan zuriat tidak akan berputus asa meskipun mereka tahu akan masalah kesuburan yang dihadapi.
Adakah mereka masih berpeluang untuk mendapatkan anak? Menurut Doktor, apakah rawatan yang boleh dilakukan bagi membantu mereka untuk mendapatkan anak?
Setiap wanita berhak menjadi seorang ibu.
Rawatan yang boleh membantu mereka untuk mengandung bergantung kepada punca ketidaksuburan dan rawatan yang diperlukan oleh setiap pasangan.
Antara rawatan kesuburan yang ditawarkan di Pusat Perubatan Sunway Velocity adalah seperti inseminasi intrauterin (intrauterine insemination) – di mana sperma lelaki akan diproses di makmal untuk mengasingkan sperma yang aktif daripada sperma yang tidak bergerak atau perlahan.
Sperma yang aktif kemudian akan di salurkan ke dalam rahim wanita melalui pintu rahim atau serviks dengan menggunakan kateter yang halus. Jikalau kaedah rawatan ini dicadangkan, wanita perlu melalui ujian pemeriksaan tiub fallopio untuk memastikan tiub fallopio mereka berfungsi.
Rawatan lain seperti rawatan persenyawaan in-vitro atau IVF (in-vitro fertilization) dan lebih dikenali sebagai bayi tabung uji juga di tawarkan di pusat kesuburan kami. Semasa proses persenyawaan in-vitro, telur akan dikeluarkan dari kedua-dua ovari selepas ransangan ovari dilakukan dengan suntikan hormon.
Seterusnya, telur-telur dan sperma akan disenyawakan di dalam makmal untuk membentuk embrio. Embrio tersebut kemudian akan dipindah ke dalam rahim wanita untuk implantasi dan pembesaran dengan matlamat untuk mencapai kehamilan.
Melalui kaedah IVF juga, ujian genetik boleh dilakukan kepada embrio pada usia hari ke-5 untuk menyaring embrio yang sihat sebelum embrio tersebut dipindahkan ke dalam rahim wanita untuk meningkatkan lagi peratusan kehamilan.
5. Masalah kesuburan wanita masih boleh dirawat. Apakah ujian-ujian kesuburan untuk wanita?
Doktor akan menjalankan ujian darah untuk pemeriksaan paras hormon, imbasan (scan) dalaman dari faraj untuk pemeriksaan rahim dan kilang telur, ujian patensi tiub fallopio seperti hysterosalphingogram.
6. Gaya hidup dan pemakanan yang bebas pada era kini antara faktor kepada berlakunya masalah kesuburan kepada golongan wanita.
Jadi, boleh Doktor kongsikan gaya pemakanan dan aktiviti yang sihat perlu diamalkan untuk kesihatan dalaman yang baik?
Kedua-dua suami dan isteri disarankan untuk hadir berkonsultasi dengan pakar perubatan kesuburan untuk menjalani pemeriksaan yang lebih teliti.
Doktor akan menjalankan ujian darah untuk pemeriksaan paras hormon, imbasan (scan) dalaman dari faraj untuk pemeriksaan rahim dan kilang telur, ujian patensi tiub fallopio seperti hysterosalphingogram.
Wanita yang sedang merancang kehamilan digalakkan untuk mengambil suplemen dan vitamin seperti asid folik, antioksidan, omega 3, vitamin D, zink, selenium dan CoQ10 enzyme untuk meningkatkan peluang kehamilan.
Gaya hidup yang sihat seperti senaman yang kerap dan sederhana terbukti dapat membantu pelbagai fungsi badan termasuk perancangan kehamilan.
7. Penjagaan diri sangat penting bagi wanita yang mengalami masalah kesuburan. Pada pendapat Doktor, bagaimanakah cara bagi meningkatkan kadar kesuburan wanita?
Apakah nasihat atau tips yang boleh Doktor sarankan kepada wanita, bagi mengurangkan masalah kesuburan serta pencegahan yang boleh dilakukan?
Amalan gaya hidup yang sihat adalah penting untuk meningkatkan kadar kehamilan. Kekalkan berat badan yang ideal, lakukan senaman, berhenti merokok, elakkan tekanan/stress, kurangkan pengambilan alkohol.
Lakukan hubungan seks pada waktu subur untuk meningkatkan kadar kehamilan. Lelaki elakkan daripada memakai seluar yang terlalu ketat atau berendam dalam air panas atau sauna.
Wanita yang mengalami masalah kitaran haid digalakkan untuk mendapat rawatan awal. Pasangan digalakkan untuk saling berkomunikasi, kongsi perasaan dan emosi serta saling menyokong antara pasangan.
Mama Papa jangan risau dengan kecanggihan teknologi sekarang sudah ramai pasangan yang mempunyai masalah kesuburan ini mampu mendapatkan cahaya mata sendiri.
Jangan malu untuk dapatkan konsultasi bersama doktor tau. Ini untuk kesihatan Mama jugak.
Bukan perempuan je tapi lelaki pun ada masalah kesuburan, nak tahu lebih lanjut? Klik di SINI.