Jika Mama ataupun keluarga Mama adalah warganegara dan berkelainan upaya, jom mohon kad OKU untuk mendapat faedah-faedah yang dapat mengurangkan beban anda!
Mama Siti nak share macam mana nak berdaftar, faedah yang hanya OKU berdaftar sahaja dapat, kategori mana yang layak untuk mendaftar, dan macam-macam lagi di sini. Jom baca dengan lebih lanjut.
Terdapat beberapa cara untuk merdaftar, antaranya:
- Berdaftar di pejabat JKM
- Dalam talian di MyDaftar
Pendaftaran OKU Di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Untuk pengetahuan Mama, pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) harus dibuat secara sukarela. Agensi yang Mama boleh daftar bersama adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kepada warga OKU yang belum mendaftar, pendaftaran boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/ Bahagian yang berdekatan.
Dengan berdaftar, ia membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka berdasarkan tahap ketidakupayaan dan juga menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan, NGO dan badan-badan kebajikan.
Kategori OKU Yang Boleh Memohon
Terdapat 7 Kategori OKU yang boleh dipertimbangkan bagi pendaftaran OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti berikut:
- Kurang Upaya Pendengaran
- Kurang Upaya Penglihatan
- Kurang Upaya Pertuturan
- Kurang Upaya Fizikal
- Kurang Upaya Pembelajaran (termasuk Sindrom Down, ADHD, Disleksia, Autisme dan sebagainya)
- Kurang Upaya Mental
- Kurang Upaya Pelbagai (bermaksud mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan.)
Sekarang, OKU masalah pembelajaran juga dikenali sebagai OKU Pembelajaran. Terdapat 6 sub kategori di bawah kategori OKU Pembelajaran iaitu:
- Global Developmental Delay (GDD)
- Sindrom Down
- Intelektual
- Autisme (Autism Spectrum Disorder)
- Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)
- Masalah pembelajaran spesifik (Spesific LD) seperti dyslexia, dyscalculia dan dysgraphia
Jika Mama dan keluarga Mama adalah dalam kalangan kategori tersebut, boleh daftar sekarang.
Cara Mendaftar Dengan JKM
A. Pendaftaran Baharu
Pendaftaran baharu adalah permohonan pendaftaran OKU yang dibuat untuk kali pertama.
Permohonan pendaftaran memerlukan dokumen seperti berikut:
- Borang Permohonan Pendaftaran Orang Kurang Upaya Pindaan 2019 (BPPOKU Pindaan 2019) yang lengkap ditandatangani dan dicop oleh Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) sahaja atau Pakar Perubatan yang berdaftar dengan National Specialist Register of Malaysia (NSR) sahaja samada dari hospital/klinik kerajaan atau hospital/ klinik swasta;
- Satu (1) salinan sijil kelahiran/ MyKid/ MyKad;
- Satu (1) keping gambar berukuran pasport bagi pemegang Sijil Kelahiran/ MyKid.
B. Pendaftaran Semula
Pendaftaran semula adalah pendaftaran yang dibuat semula bagi pemegang Kad OKU lama yang berdaftar sebelum tahun 2011. Pemohon perlu melengkapkan BPPOKU Pindaan 2019.
Pengesahan Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan/ Pakar Perubatan adalah diperlukan bagi kes-kes seperti berikut sahaja:
- Semua kategori OKU yang tidak dinyatakan sub kategori di mana-mana laporan bertulis. Maklumat diperlukan bagi tujuan mengemaskini sub kategori dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU).
- OKU fizikal yang mempunyai ketidakupayaan yang tidak jelas.
C. Perubahan Kategori / Sub Kategori OKU
Bagi perubahan kategori / sub kategori OKU pemohon perlu mengisi Borang Permohonan Pendaftaran OKU (BPPOKU Pindaan 2019) yang lengkap ditandatangani dan dicop oleh Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan yang berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) atau Pakar Perubatan yang berdaftar dengan National Specialist Register (NSR) dari Hospital/Klinik Kerajaan atau Hospital/ Klinik Swasta.
D. Penggantian Kad
Permohonan penggantian Kad OKU adalah untuk keadaan seperti berikut:
- Kad OKU rosak/ hilang.
- Perubahan alamat di mana pemohon perlu menguruskan pertukaran alamat dalam Kad Pengenalan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan pertukaran pada Kad OKU.
- Cetakan sub kategori pembelajaran pada Kad OKU bagi OKU pembelajaran yang telah dinyatakan sub kategori dalam SMOKU atau di mana-mana laporan bertulis.
- Penggantian Kad tidak memerlukan pengesahan Pegawai Perubatan/ Pengamal Perubatan/ Pakar Perubatan.
Selain itu, Mama juga boleh berdaftar secara dalam talian di Mydaftar OKU.
Cara Daftar Online di MyDaftarOKU
MyDaftar OKU merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya proses pendaftaran lebih lancar.
Sistem ini akan menjadi lebih cekap untuk penyampaikan perkhidmatan kepada OKU dalam urusan pendaftaran selari dengan Teras Strategik 8: Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang menggariskan tentang keperluan mewujudkan pangkalan data OKU dan sistem maklumat yang komprehensif bagi meningkatkan pendaftaran OKU.
Dengan adanya sistem MyDaftar OKU ini, ia boleh menolong pihak Kerajaan membuat perancangan teliti secara holistik dan dapat menggubal dasar yang bersesuaian dengan keperluan OKU berdasarkan data-data yang tepat.
Selain itu, inisiatif ini juga bagi memastikan tiada golongan OKU yang ketinggalan daripada perhatian Kerajaan serta mendapat kesaksamaan dan peluang penyertaan golongan OKU ke dalam masyarakat.
Mama boleh CETAK dan MUAT TURUN Borang Permohonan Pendaftaran OKU (Orang Kurang Upaya) di SINI.
Kenapa nak kena daftarkan mereka yang kekurangan upaya ni Mama Siti?
Kenapa OKU Perlu Didaftarkan
Tujuan pendaftaran OKU adalah:
- Untuk Kerajaan tahu bilangan, taburan dan kategori OKU di negara kita bagi merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan untuk mereka.
- Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
- Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian/ketidakupayaan mereka.
Manfaat Kepada OKU Yang Berdaftar Dengan JKM
Antara manfaat OKU berdaftar termasuklah:
- Bantuan Kewangan (Bantuan Am) -bayaran bulanan berbeza mengikut negeri
- Elaun Pekerja Cacat (EPC)
- Bantuan bagi OKU yang tidak berupaya bekerja
- Bantuan penjagaan OKU Terlantar
- Geran Pelancaran
- Bantuan Alat Tiruan/Alat sokongan
- Pengurangan Lesen Kenderaan Motor kepada Kadar RM2.00 bagi Kenderaan Nasional Tanpa Ubahsuai dan RM1.00 bagi Kenderaan yang Diubahsuai
- Potongan harga sebanyak 50% diberikan kepada OKU dan warga tua yang berumur 60 tahun ke atas bagi semua pengangkutan awam dan potongan 50% penerbangan domestik bagi Malaysia Airline (MAS) (tidak termasuk pembelian secara online)
- Program Pendidikan Nasional
- Bantuan Kewangan Pelajar OKU di Sekolah
- Bantuan Kewangan Pelajar OKU di IPT
- Bantuan Kewangan Program Pendidikan Khas
- (PPK) di Politeknik/Kolej Komuniti
- Saluran Khas Bagi Pengambilan OKU Di IPTA
- Peluang Pemulihan/Latihan di Institusi Pemulihan/Latihan kepada OKU
- Pengecualian Bayaran dan Pembaharuan Daftar Syarikat di SSM
- Kemudahan dan Galakan Pelepasan Cukai Pendapatan
- Kadar Sewa Rumah yang Rendah (DBKL)
- Potongan Harga 20% Pembelian Rumah daripada SPNB
- Pengecualian Bayaran Rawatan Perubatan
- Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan (Pasport)
- Pengecualian Bayaran Membuat MyKad, Carian Sijil Kelahiran atau Sijil Kematian
Rujuk terma dan syarat dan cara memohon bantuan OKU di SINI.
Sekarang Mama dah tahu tentang cara berdaftar, prosedur, manfaat jika berdaftar OKU. Jom daftar sekarang atau war-warkan kepada mereka yang berkenaan.
Untuk dapatkan maklumat lanjut tentang tips lain untuk Mama dan Papa, klik SINI!