KelabMama

12 Manfaat Bengkung Bersalin Dan Tips Memilihnya

Sumber: mamaway.com

Menurut orang tua-tua, pemakaian bengkung atau barut selepas bersalin adalah wajib ya. Kebiasaannya, bidan kampung atau ahli keluarga yang terdekat akan tolong pakaikan untuk ibu yang baru sahaja bersalin.

Ini kerana pada zaman dahulu masih tidak ada bengkung moden seperti yang menggunakan cangkuk. Tapi sekarang, perubahan teknologi telah memudahkan para ibu untuk mengamalkan pemakaian bengkung selepas bersalin.

Apa Itu Bengkung Bersalin?

Berdasarkan kajian Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia, bengkung bersalin adalah kain panjang dalam ukuran 3 hingga 5 ela yang dipakai pada bahagian pinggul hingga ke bawah payudara bertujuan untuk membantu proses penyembuhan badan ibu selepas bersalin.

Kain ini kebiasaannya berwarna putih, kuning, coklat atau hitam. Ia juga dipanggil sebagai barut, digunakan untuk melangsingkan badan ibu kembali seperti sebelum mengandung.

Namun kebanyakkan para ibu sekarang sudah tidak lagi menggunakan kain ela yang panjang tetapi lebih memilih bengkung moden kerana penggunaannya lebih mudah.

12 Kebaikan Guna Bengkung Bersalin

Sumber: istockphoto

Setelah ramai ibu bersalin mengalami banyak perubahan positif hasil dari penggunaan bengkung, semakin ramai para wanita masa kini memilih untuk menggunakannya.

Antara kebaikan penggunaan bengkung selepas bersalin ialah:

1. Mengempiskan perut

Pemampatan kain bengkung pada perut dipercayai dapat mengempiskan perut ibu yang menggeleber selepas bersalin. Sudah ramai ibu bersalin di luar sana yang mendapat manfaat ini selepas memakai bengkung ya.

2. Melangsingkan badan

Jenis bengkung yang membalut bukan sahaja di perut dan pinggang tetapi kawasan lain seperti pinggul dan bawah payudara dapat melangsingkan badan ibu secara menyeluruh. Payudara, pinggang dan pinggul ibu akan terbentuk cantik.

3. Melurus dan menyokong tulang belakang

Biasalah, bila bersalin ni, memang badan rasa tak berdaya dan sakit-sakit kan. Nak bergerak pun rasa tak larat. Pemakaian bengkung dapat membantu meluruskan dan menyokong tulang belakang anda tau.

Ini seterusnya akan memudahkan pergerakan anda untuk membuat kerja dan sebagainya.

4. Memudahkan proses penyusuan

Proses penyusuan juga akan lebih mudah apabila memakai bengkung kerana abdomen anda kini telah disokong dan terasa kemas dek balutan bengkung.

5. Mengurangkan sakit dan tekanan pada belakang badan dan kaki

Pemakaian bengkung selepas bersalin dapat mengurangkan tekanan pada belakang badan dan kaki ibu. Perut yang dibalut kemas dan pinggul yang disokong akan mengurangkan beban pada badan anda. Itulah yang dialami jurulatih peribadi, Sia Copper ketika berpantang.

Sakit pada belakang badan terutama di kawasan pinggang juga dapat dikurangkan.

6. Mempercepatkan proses pemulihan badan

Ibarat terputus beribu urat, badan ibu selepas bersalin memang lemah. Ia memerlukan berbulan untuk pulih seperti sediakala.

Ada ibu yang berpendapat bahawa pemakaian bengkung dapat mempercepatkan proses pemulihan badan selepas bersalin. Betul ke?

7. Mengawal pertambahan saiz sel lemak

Selain itu, pemakaian bengkung juga dapat mengawal sel lemak ibu dari membesar. Ini sudah tentu antara impian para ibu kan?

8. Membantu pengecutan rahim

Pemampatan balutan bengkung di kawasan perut juga akan membantu rahim untuk mengecut kembali ke saiz asal. Melalui pemakaiannya yang betul, ia membantu mengeluarkan cecair berlebihan dan mengurangkan bengkak di peranakan sekaligus.

9. Mengurangkan sakit di bahagian perut

Sumber: istockphoto

Terutamanya bengkung yang mempunyai nilai perubatan, pemampatannya dapat membantu mengurangkan bengkak dan lebam di perut akibat bersalin. Kesannya, sakit di kawasan perut dan rahim akan berkurangan.

Kadang tu, bila batuk atau bersin, terasa sakit di kawasan perut kan? Pemakaian bengkung dikatakan dapat mengurangkan sakit ini tau.

10. Menyeimbangkan tulang pelvis

Maklumlah, ketika bersalin, ibu memberi tekanan besar pada kawasan pelvis. Setelah itu, tentunya ia tidak kuat dan lemah untuk menampung badan anda.

Dengan memakai bengkung, tulang pelvis ibu akan lebih seimbang dan terasa kemas.

11. Memudahkan pergerakan senaman

Sesudah bersalin, tentulah para ibu akan melakukan senaman untuk mendapatkan kembali bentuk badan. Menurut Debra Rose Wilson, pemakaian bengkung akan memudahkan pergerakan anda ketika bersenam dan membuatkan anda lebih selesa.

12. Mengeluarkan angin dalam badan

Badan yang dibalut dengan bengkung juga akan kurang berangin kerana pemampatan balutan bengkung membantu badan mengeluarkan angin dan menghalang ia daripada masuk. Jika ditepek pula pes herba di perut, kesannya adalah lebih baik.

Cara Memilih Bengkung Yang Sesuai

Sumber: istockphoto

Di pasaran, terdapat pelbagai jenis bengkung untuk ibu bersalin. Ada yang menggunakan cangkuk, zip, ikat menggunakan tali panjang, lilit dengan kain panjang dan yang menggunakan pelekat velcro.

Untuk memilih bengkung yang sesuai dengan anda, terdapat beberapa kriteria yang para ibu harus perhatikan:

1. Fabrik bengkung

Pertama sekali, pilihlah bengkung yang diperbuat daripada kain yang memeri dan serap peluh. Ini untuk memudahkan pergerakan badan dan peredaran darah ya.

2. Jenis bengkung

Pemilihan bengkung bergantung kepada bentuk badan anda juga sebenarnya. Ada sesetengah wanita lebih sesuai memakai bengkung yang diikat dengan tali berbanding yang lain. Manakala ada juga yang tidak sesuai menggunakan bengkung yang diikat dengan tali dan lebih selesa memakai bengkung yang menggunakan cangkuk.

Ini subjektif ya. Ia bergantung kepada kesesuaian bentuk badan anda dan jenis bengkung itu. Yang penting, anda selesa dan mendapat manfaat darinya.

3. Saiz bengkung

Boleh jadi, anda rasa bengkung jenis A tidak sesuai dengan anda tetapi sebenarnya anda tersalah memilih saiz. Oleh itu, pastikan ukuran badan anda dengan saiz bengkung adalah sesuai. Dapatkan nasihat dari mereka yang pernah guna dan juga daripada penjual ya.

4. Harga bengkung

Harga bengkung moden biasanya bermula dari RM50 hingga ratusan ringgit harganya. Pilihlah yang mana sesuai dengan bajet anda ya. Bengkung yang mahal tidak semestinya sesuai untuk anda tau.

5. Cadangan dari mereka yang berpengalaman

Memang menjadi kebiasaan kan untuk kita bertanya pendapat mereka yang di sekeliling kita apabila kita tidak tahu atau keliru? Sama ada ibu, ibu mentua ataupun rakan-rakan dan adik-beradik, dapatkanlah pandangan mereka tentang bengkung yang terbaik untuk anda.

Berbengkung Dengan Betul

Sumber: istockphoto

Sebenarnya, banyak cara yang disarankan untuk pemakaian bengkung ya. Jika bengkung yang membalut kawasan bawah payudara, perut dan pinggul, orang tua-tua dahulu memakai bengkung jenis begitu dengan 3 kaedah iaitu:

Cara berbengkung ini bergantung ya kepada pelbagai aspek seperti bentuk badan anda dan jenis bengkung. Cubalah mana-mana cara yang anda rasa berkesan dan sesuai. Tapi pastikan ia tidak terlalu longgar ataupun ketat ya.

Jika bengkung jenis berzip, berpelekat velcro atau bercangkuk, kebiasaannya cara pemakaiannya mudah sahaja. Selalunya bengkung yang dijual di pasaran akan disertakan sekali tutorial cara pemakaiannya. Janganlah risau ya!

Jom Dapatkan Manfaat Berbengkung Selepas Bersalin

Kebiasaannya, ibu bersalin disarankan untuk memakai bengkung sepanjang tempoh berpantang iaitu selama 40 hingga 44 hari. Tetapi adalah lebih baik jika diteruskan sehingga 100 hari. Kesannya akan lebih optimal tau. Semoga berjaya para ibu!