Kejadian wanita menjadi sasaran “punching bag” suami panas baran nyata masih tiada kesudahan. Ketika negara sedang membincangkan untuk menjadi negara maju, sebilangan masyarakat masih berfikiran dan bertindak seperti warga negara dunia ketiga. Namun, isu keganasan rumah tangga atau domestik sebenarnya tidak sangat berkaitan dengan negara maju atau negara mundur, sebaliknya lebih kepada soal tingkah laku serta bagaimana masyarakatnya meletakkan nilai-nilai menghormati sesama insan terutama golongan wanita, yang sepatutnya dipupuk sejak usia muda lagi. Keganasan rumah tangga juga dilihat umpama api dalam sekam, yang marak namun tidak nampak apatah lagi apabila membabitkan pasangan (lazimnya lelaki atau suami) yang mempunyai sifat-sifat panas baran. Keganasan yang berlaku ‘tersembunyi’ kerana mangsa (lazimnya wanita atau isteri) tidak mahu ke depan atas alasan masih sayang dan tidak mahu melihat rumah tangga berakhir dengan perceraian.
Bangkai yang busuk tidak mungkin mampu ditutup selama-lamanya, akhirnya terhidu juga, namun biasanya berlaku terlalu lewat apabila mangsa sudah teruk dibelasah malah sesetengahnya membawa maut. Ini secara tidak langsung menggambarkan harapan murni setiap ibu bapa ketika melepaskan anak perempuan masing-masing, agar suami menjadi pelindung kepada anak mereka sudah menjadi sebaliknya. Suami sudah tidak lagi boleh diharap sebagai pelindung, silap perkiraan anak perempuan pulang ke rumah ibu bapa dengan badan dipenuhi luka dan lebam, atau terlantar di katil hospital akibat cedera parah. Lebih menyayat hati, apabila anak perempuan yang dijaga dan ditatang sejak kecil akhirnya keras kaku menemui ajal. Kebiasaannya berlaku kes keganasan ini disebabkan oleh sikap panas baran suami yang menjadikan isterinya sebagai tempat untuk melepaskan perasaan geram, marah dan tekanan yang dihadapi.
Sebenarnya, terdapat dua sisi panas baran yang perlu dikenal pasti oleh isteri, jika keadaan itu ada pada suami masing-masing.
- Jika panas baran itu berbentuk menghempas pintu atau menumbuk objek lain misalnya, ia adalah keadaan lazim yang dilakukan seseorang bertujuan bagi melepaskan kemarahan, kekecewaan atau kegeraman terhadap sesuatu keadaan.
- Satu lagi sisi jenis panas baran ialah apabila menjadikan seseorang sebagai sasaran, yang mana dalam kes ini, individu paling hampir sama ada isteri atau anak menjadi sasarannya.Sehubungan itu, seorang isteri harus mengenal pasti apakah faktor yang boleh mencetuskan panas baran suami.
Kemungkinan disebabkan oleh masalah kewangan mahupun tarikh-tarikh yang mana mempunyai kaitan emosi oleh suami seperti kematian insan tersayang dalam hidupnya.Jika isu ini yang bermain pada kepala suami sehingga membawa kepada punca kemarahan, bermakna isteri yang telah dapat membawa jawapan kepada corak kemarahan itu haruslah memahami keadaan ini. Ini sangat penting bagi mengelak perkelahian yang boleh merebak kepada keadaan yang lebih kritikal terhadap keselamatan diri isteri atau anak-anak.
Isteri yang berhadapan dengan sikap panas baran suami, dinasihatkan memaklumkan perkara ini kepada keluarga terdekat untuk mendapatkan pandangan. Ini adalah kerana intervensi awal pada peringkat keluarga boleh menjadi pemboleh ubah kepada situasi yang dihadapi. Jika malu atau pun tidak berapa pasti siapa yang hendak ditanyakan, pilihan lain adalah Talian Kasih 15999. Ada juga keadaan yang mana panas baran berpunca daripada pengambilan alkohol atau penyalahgunaan dadah. Kebangkitan marah itu juga boleh berpunca dari tumor di dalam otak. Pemeriksaan lanjut oleh pakar neurologi atau onkologi diperlukan bagi mendapatkan kepastian bagi mengelak berlaku keganasan di dalam rumah tangga.
Tips berhadapan suami mudah marah:
- Menjadi sahabat suami
Menjadi wanita memang cenderung cerewet. Cuba kurangkan sifat cerewet itu, mulakan bersahabat dengan suami. Dengarkan saja apa yang membuatkan dia marah. Kalau si dia marah, anda tak boleh diam buat-buat tidak faham, ini malah menyebabkan keadaan semakin buruk.
- Beri suami waktu
Kalau anda tetap bersikap keras untuk bertengkar dan perang mulut, keadaan tidak akan pernah berubah. Cara terbaik untuk mengawal emosi suami ialah memberinya waktu untuk bersendirian sehingga dia kembali tenang.
- Cuba ambil tahu
Maksudnya, kalau dia marah kerana sebab yang sama, cuba yakinkan padanya bahawa apa yang dia fikirkan itu tak benar. Namun kalau dia terus saja marah, jangan dihiraukan terlebih dahulu.
- Berbincang pada waktu tepat
Kalau suami sedang marah, jangan terus diajak berbincang terutama dalam hal untuk mengambil keputusan tertentu. Bicarakan masalah pada waktu yang tepat ketika dia sudah mula tenang.
Kredit: Kamal Affendi Hashim, Utusan Malaysia