Pertelingkahan antara pasangan suami isteri boleh menjejaskan sesebuah rumah tangga. Bukan sekadar hubungan antara suami sahaja yang boleh jadi rosak, malah keseimbangan emosi si anak juga boleh jadi terjejas. Rumah tangga aman menjanjikan hubungan yang erat antara suami isteri dan anak. Pun begitu, rumah tangga yang kacau-bilau boleh menyebabkan pelbagai kecelaruan bakal berlaku sehingga akhirnya rumah tangga porak-peranda. Justeru, sekiranya berlaku perselisihan faham antara anda dan pasangan, anda perlulah bijak mengawal keadaan.
Jangan sampai perselisihan faham anda itu dapat dikesan oleh anak-anak. Jiwa anak-anak perlu dijaga sebaik mungkin supaya tidak menjejaskan emosi mereka. Kesimpulannya, usahlah bertengkar di hadapan anak-anak anda. Elakkan mereka berprasangka buruk terhadap anda dan pasangan. Biar anak-anak anda hanya melihat kemanisan dan kemesraan ibu bapa mereka dan menjadikan anda sebagai contoh kepada keharmonian keluarga.
FIKIR ANAK-ANAK
- Bergaduh atau bertegang urat sesama pasangan memang berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Walaupun cuba dielak, namun emosi kita pasti akan pernah berasa tidak puas hati dengan pasangan. Pun begitu, anda dinasihatkan supaya bijak mengawal emosi.
- Jangan sesekali bertelingkah di hadapan anak-anak. Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka bertengkar, pasti akan wujud emosi negatif di dalam fikiran mereka. Ia akan memberi kesan buruk kepada anak-anak.
- Tidak mustahil anak anda akan menyimpan emosi yang negatif terhadap anda. Ini boleh menyebabkan anak berasa kurang dihargai kerana ibu bapanya sanggup bertengkar di hadapannya.
- Sebagai ibu bapa, cubalah tonjolkan suasana harmoni dalam rumah tangga di hadapan anak-anak walaupun sebenarnya antara anda dan pasangan sedang bertarung dengan emosi amarah. Fikirkan kestabilan emosi anak-anak anda terlebih dahulu.
BERKOMUNIKASI VS BERTENGKAR
- Sebenarnya, perkara yang paling elok diperkatakan kala berlaku perselisihan faham antara suami isteri ialah berkomunikasi. Elakkan penggunaan perkataan bertengkar. Ini kerana bertengkar selalunya membabitkan percampuran emosi kala berkata-kata.
- Berkomunikasi pula lebih kepada perbincangan dan kita lebih fokus kepada mencari jalan penyelesaian; bukannya mencari salah siapa. Justeru, jika berlaku perselisihan faham antara anda dengan pasangan, bincangkan mengenainya. Jangan bertengkar!
ELAK BERMASAM MUKA
- Anak-anak pasti dapat meneka dan tertanya-tanya di dalam hati apabila melihat anda dan pasangan asyik bermasam muka sesama sendiri. Sememangnya sukar untuk kita menyembunyikan perasaan kala sedang berselisih faham. Lebih-lebih lagi jika perselisihan faham disebabkan oleh isu besar seperti isu curang, kewangan berpuluh ribu ataupun campur tangan orang ketiga.
- Justeru apa yang perlu diambil berat di sini ialah walau apa-apa juga yang berlaku dalam rumah tangga, anda perlu faham bahawa peranan ibu bapa sangat penting. Sorokkan perbalahan anda daripada pengetahuan anak-anak.
- Anak-anak selalunya sedih apabila mendapat tahu bahawa ibu bapa mereka bertengkar. Mereka akan cuba memerhati dan memilih siapa yang benar dan siapa yang bersalah. Kesannya mereka akan berdendam dengan ibu atau bapa yang dirasakan bersalah.