Mengurut seluruh badan bayi membolehkan mereka mengetahui mengenai tubuh badan dalam suasana yang selesa apatah lagi otot dan urat mereka masih belum berkembang sepenuhnya. Mengurut juga mensimulasikan sistem imunisasi dan meningkatkan sistem pernafasan. Apabila anda mengurut si kecil, satu hormon dikenali sebagai oxytocin akan dibebaskan oleh ibu dan anak. Hormon yang juga dipanggil ‘the love hormone’ (hormon cinta) ini menguatkan lagi ikatan antara si ibu dan anak meningkatkan lagi ikatan kasih sayang.
Bukan sahaja pada si kecil, malah anda juga dapat mengurangkan stress sewaktu mengurut bayi perlahan-lahan. Bukan itu sahaja, bayi akan mudah terlena selepas sesi mengurut setiap malam. Jika bayi menghadapi masalah seperti sembelit atau kembung perut, mengurut juga dapat mengatasi masalah itu. Apabila anda kerap mengurut si kecil, anda akan dapati perubahan yang ketara di mana anak lebih relaks dan kurang meragam. Ini kerana sentuhan ibu memberi keselesaan di samping membantu bayi merasa selamat sepanjang masa.
Lalukan sesi mengurut bayi setiap hari pada waktu yang sama sebelum tidur. Aktiviti ini akan menggalakkan bayi tidur lebih awal dan menikmati tidur yang lena. Pilihlah minyak aromaterapi yang sesuai dan menyamankan. Apabila dibiasakan dengan rutin yang sama setiap hari, bayi mudah mengadaptasikan jadual tidur mereka. Jadi, tidur malam anda tidak akan lagi terganggu dengan tangisan anak.
Apabila anda sering memberi sentuhan pada si kecil, dia akan merasa disayangi. Lebih baik lagi, bayi akan sering menyatakan kegembiraannya dengan berkomunikasi pada anda, sama ada memberi senyuman manja atau membuat bunyi ‘mengujakan’ pada anda setiap kali mengurutnya. Jika dilakukan kerap, anda boleh mengetahui perubahan tubuh badan si kecil. Manakan tidak, setiap inci badan akan dibelai dan disapu manja. Jadi, kalau ada yang tidak kena, andalah orang pertama yang mengenalpasti perubahannya.
URUT DENGAN KASIH SAYANG
- URUTAN MUKA – Urut perlahan kening bayi, hidung dengan menghala ke bawah, pipi dan dagu secara lembut dan secara menaik.
- URUTAN DADA – Usap dada bayi dengan kedua-dua tangan ala kupu-kupu beberapa kali, juga urut di bahagian perut bayi secara bulatan (pusing arah jam) dengan perlahan.
- URUTAN TANGAN – Bahagian tangan, genggam sambil mengurut sepanjang tangan bayi, perlahan-lahan luruskan tangan bayi.
- URUTAN KAKI – Bahagian kaki, genggam dari peha sehingga turun ke betis dan pergelangan kaki sambil urut perlahan.
- URUTAN TAPAK KAKI – Urut perlahan tapak kaki menggunakan ibu jari.
- URUTAN BELAKANG BADAN – Telangkupkan bayi, buat kuak rama-rama menggunakan kedua tapak tangan di belakang bayi. Urut daripada pangkal leher sehinggalah ke punggung bayi dan ulang beberapa kali.
NOTA UNTUK MAMA
- Pilih masa apabila bayi anda tidak tidur dan sedar sepenuhnya, tidak terlalu lapar atau terlalu kenyang
- Pastikan bilik hangat dan lampu tidak terlalu terang
- Pastikan semua keperluan anda ada tersedia: minyak, tuala, lampin yang bersih dan pakaian
- Basuh tangan anda dan tanggalkan barang kemas
- Gunakan tempat yang selamat dan selesa untuk melakukan urutan dan baringkan bayi dalam kedudukan yang membolehkan dia melihat wajah anda dengan jelas
- Sebelum bermula, luangkan sedikit masa untuk menenangkan fikiran dengan menarik nafas yang dalam beberapa kali – ini turut boleh membantu bayi anda berasa tenang
- Setiap bayi adalah berbeza dan mereka berubah setiap masa. Sebagai contoh, bayi yang masih kecil mungkin berasa lebih selamat jika memakai pakaian yang lengkap dan jika mereka berasa dekat dengan badan ibu
Sumber: Internet