Di waktu begini kanak-kanak lain sedang seronok membuat persiapan baju raya bersama ibu bapa masing-masing tapi tidak bagi kembar ini. Mereka ditinggalkan oleh si ibu tanpa khabar berita sehingga kini.
Pasangan kembar ini menjadi bualan hangat netizen selepas kemunculan mereka di program Malaysia Hari Ini (MHI) menimbulkan rasa sebak netizen yang mendengar rayuan mereka agar ibu mereka muncul dan bawa mereka pulang.
Bapa hilangkan diri, ibu tinggalkan anak sejak usia 9 tahun
Dua beradik ini, Mohd Khairul Danish dan Mohd Khairul Danial, 11, tak pernah bertemu dengan bapa mereka dan terpisah dengan ibu, Siti Norazimah binti Mohd Mazlan sejak mereka berusia 9 tahun lagi. Apa yang lebih menyedihkan, mereka ditinggalkan dengan datuk dan nenek tapi belum puas nak merasa kasih sayang datuk dan neneknya telah meninggal dunia dan mereka pula dihantar ke rumah anak yatim, Dar Asnaf Al-Fateeh Al-Idrisiah, Ulu Yam. Selangor.
Menurut pengasas rumah anak yatim tersebut, Mohd Fadzil, berkata, sejak kecil Danish dan Danial tidak pernah bertemu dengan bapanya dan terpisah dengan ibunya.
“Anak-anak yang lain juga sebegitu. Ada yang mak tak nak mengaku anak pun ada. Ada mak, bila kita bawa anak pergi jumpa mak dia, mak dia pula tak mengaku anak. Allahuakbar. Anak pula mengharap kasih sayang ibu bapa. Kebanyakan anak-anak di situ semua kurang kasih sayang.
“Walaupun mereka tidak pernah berjumpa dengan ibu dan ayah, rasa rindu itu tetap ada. Ada yang hantar anak, terus menghilang begitu sahaja.”
katanya.
Suasana pilu
Dalam rancangan itu, pengacara telah meminta dua beradik kembar itu memberikan pesanan kepada ibu mereka sekiranya ibu mendengar dan menonton rancangan itu. Namun belum sempat membuka mulut, dilihat air mata kembar itu terlebih dahulu mengalir. Allahu.
Hati anak mana yang tak sebak, menahan rindu sejak bertahun lamanya. Sehingga kini mereka tetap menanti kedatangan ibu mereka tanpa jemu.
“Nak jumpa mak. Mak datanglah sini jumpa abang dan adik,”
kata Danial
“Mama ambillah adik dengan abang, bawa balik,”
kata Danish
Suasana di studio menjadi pilu dan ternyata salah seorang dari pengacara juga tak dapat menahan airmata selepas mendengar kata-kata kembar itu.
Di penghujung rancangan, pasangan kembar ini juga sempat menitip doa kesejahteraan ibu mereka yang sangat mereka rindui dan berharap ibunya kembali mengambil mereka semula.
Video Malaysia Hari Ini https://www.youtube.com/watch?v=kW-zpPQE0Qg
Sumber : Malaysia Hari Ini
Pesan Mama Siti
Apalah salah si anak sampai si ibu tergamak meninggalkan mereka tanpa khabar berita? Mama Siti harap si ibu kepada kembar ini membuka mata dan membuka hati untuk pulang ke pangkuan anak-anak ini. Kesian mereka. Menanti, menanggung rindu terlalu lama. Semoga ada sinar kebahagiaan untuk pasangan kembar ini. Amin.