KelabMama

Jangan Suap Anak Makanan Kisar Guna Botol Susu Kerana Berisiko Maut

Pasti ramai mama yang tahu bagi anak makan makanan kisar guna botol memang tak sesuai dan mengundang bahaya. Tapi masih ada yang buat. Senang katanya tak perlu nak suap-suap guna sudu. Tapi kalau anak tersedak dan sesuatu yang buruk terjadi nak salahkan siapa ya? Jom kita baca kisah yang dikongsi oleh Bel Nawhen sebagai peringatan kepada mama semua.

Diberi makanan kisar dalam botol, puting siap dipotong

Semalam, saya baca posting yang mana anak berusia 6 bulan (dari posting terkini beliau) diberi makanan yang dikisar di dalam botol (puting siap di potong).

Ada juga komen mengatakan pemberian melalui sudu ada risiko pembiakan kuman sedangkan puting botol susu merupakan tempat pembiakan kuman berkali ganda terutama apabila tidak dibersihkan/dinyahkumankan (sterile) dengan sempurna.

Jangan jadi ibu bongkak apabila ditegur.

Risiko tersedak, sukar bernafas

Pemberian makanan melalui botol begini ada risiko anak boleh tersedak makanan sebab tak boleh mengawal jumlah aliran keluar makanan itu (usia 6 bulan baru nak kenal makanan bukan?). Kalau dah sekat salur pernafasan, boleh sebabkan anak sukar bernafas. Dalam 4 minit jika oksigen tak masuk dalam otak boleh sebabkan brain hypoxia dan brain death. Masuk paru-paru pun ceritanya sama juga.

‘Ini kalau emergency!’
Kita sebagai ibu, selalu ada beg khas, dalam kereta pun pasti sudah ada extra botol, extra pampers, takkan extra sudu untuk anak tak boleh disediakan?

Bukan setakat mahu anak tidur

Ada sebab KKM mengeluarkan garis panduan pemberian makanan pada usia sekian sekian supaya sensori dan perkembangan si anak boleh dimulakan sedikit demi sedikit bermula dari deria rasa, mengunyah, menelan dan mengaktifkan sistem penghadaman dalam menerima solid food. Bonding antara ibu dan anak juga boleh diperoleh dengan cara ibu menyuap makanan kepada anak.

Pemberian makanan bukan setakat mahu anak tidur lena atau kekenyangan tetapi memberikan nutrisi berkhasiat untuk perkembangan bayi bersesuaian dengan usia bayi yang semakin aktif.

Makanan pelengkap akan membekalkan satu pertiga (32%) daripada tenaga yang diperlukan oleh bayi bila bayi mencapai usia 6bulan-8bulan dan meningkat ke 44% apabila berusia 9bulan ke 12 bulan (hampir separuh) kemudian terus meningkat lebih dari 60% apabila bayi berusia lebih setahun.

‘Bapa saya beri adik beradik makan begini, elok je dia membesar hingga boleh ke luar negara’

Tuan puan, didikan ibu bapa lah yang membuatkan si anak berjaya hingga ke menara gading termasuk usaha si anak itu sendiri. Pemberian makanan berkhasiat membantu dalam perkembangan otak bayi dan pengenalan kepada beberapa elemen dan stimulasi terhadap ransangan tertentu juga membantu dalam perkembangan otak bayi.

Tidak ada mana-mana ibu bapa mahukan anak-anaknya tidak cemerlang malahan doa ibu bapa mengiring kejayaan si anak.

Kita tidak benarkan perkongsian yang memudaratkan bukan kerana cemburu posting yang semakin tular, apetah lagi mendoakan anak puan lembab ataupun apa, tetapi kita bimbang jika ada ibu-ibu yang terikut dan memberi mudarat kepada anaknya kelak.

Tanda bayi dah boleh mula makan

** Diingatkan sekali lagi, perkenalkan makanan pelengkap apabila bayi berusia 6BULAN, bukannya sebelum itu.

Kekerapan pemberian makanan pelengkap.

6-8 bulan = Makanan 2-3kali sehari. Susu ibu 5-6 kali. Tidak perlu SNEK. Boleh beri jika bayi boleh terima.
9-11bulan = Makanan utama 3-4kali sehari. Susu ibu ikut permintaan. Snek 1-2 kali.
1-2 tahun = Makanan utama 4-5kali sehari. Susu ibu ikut permintaan. Snek 1-2 kali.

** Snek berkhasiat bermaksud buah-buahan seperti pisang/betik/biskut mengikut umur dan pertumbuhan gigi. Bukannya jajan.

Sumber : Bel Nawhen

BACA JUGA : PERSEDIAAN SEBELUM INTRO SI MANJA SOLID FOOD. INI PERALATAN YANG KENA ADA

Pesan Mama Siti

Sebagai mama, jangan fikir senang kita je. Fikir juga keselamatan anak. Kita rasa senang suap anak makanan kisar guna botol tapi kita lupa bahaya yang menanti anak kita bila-bila masa je. Kalau emergency sekalipun bukan berat sangat nak bawa sudu anak tu. Jangan disebabkan rasa malas tu mama yang menyesal nanti ye.