Makanan ibu untuk bayi kuning memainkan peranan penting dalam membantu menstabilkan tahap bilirubin bayi.
Bayi yang mengalami jaundis memerlukan pemantauan rapi, terutamanya bagi yang menyusukan bayi, boleh memberi kesan terhadap proses pemulihan.
Dengan memilih makanan yang sesuai, Mama juga dapat membantu meningkatkan kualiti susu dan menyokong fungsi hati bayi dalam menyingkirkan bilirubin dengan lebih efektif.
Jadi, penting untuk Mama tahu jenis makanan yang boleh membantu serta mengelakkan makanan yang mungkin melambatkan proses penyembuhan bayi kuning.
Mama jangan terlalu risau ya! Bayi kuning adalah perkara biasa, dan dengan pemantauan serta penjagaan yang betul, si kecil Mama akan kembali sihat seperti biasa semula.
Kenapa Bayi Kuning (Demam Kuning)?

Bayi kuning atau jaundice pada bayi berlaku apabila terdapat pengumpulan bilirubin yang berlebihan dalam darah. Bilirubin ialah pigmen kuning yang terhasil daripada pemecahan sel darah merah yang mati.
Biasanya, hati berfungsi untuk menyingkirkan bilirubin daripada darah sebelum ia dikeluarkan melalui najis.
Namun, dalam kes bayi baru lahir, hati mereka masih belum matang sepenuhnya untuk memproses bilirubin dengan efisien, menyebabkan pigmen ini berkumpul dalam darah dan mengakibatkan warna kekuningan pada kulit serta mata bayi.
Mama jangan risau, kebanyakan kes bayi kuning adalah normal dan akan hilang dalam masa dua hingga tiga minggu tanpa rawatan khas.
Tetapi sekiranya doktor mendapati tahap bilirubin terlalu tinggi, bayi mungkin perlu menjalani rawatan di bawah lampu biru atau, dalam kes yang lebih serius, pemindahan darah.
Makanan yang Baik untuk Mama Menyusu Bayi Kuning
1. Makanan Kaya Antioksidan

Antioksidan membantu melindungi hati bayi dan menyokong pemulihan jaundis dengan mengurangkan teknan oksidatif dalam badan.
Makanan yang kaya dengan antioksidan boleh membantu hati bayi memproses bilirubin dengan lebih baik. Contohnya buah beri, anggur, epal, tomato, lobak merah, bayam, dan sayuran hijau.
2. Makanan Tinggi Serat

Serat membantu sistem pencernaan Mama dan membantu menyingkirkan toksin dalam badan, termasuk bilirubin yang boleh dipindahkan melalui susu Mama.
Makanan tinggi serat juga membantu mengekalkan keseimbangan bakteria usus yang baik, penting untuk kesihatan bayi.
Mama boleh cuba makan oat, beras perang, sayur berdaun hijau, kekacang, dan buah-buahan segar.
3. Makanan Kaya Protein Berkualiti

Protein penting untuk pertumbuhan bayi dan menyokong fungsi hati. Pemilihan protein yang berkualiti membantu ibu menghasilkan susu yang lebih bernutrisi.
Protein yang Mama boleh makan seperti salmon dan tenggiri, ayam, daging tanpa lemak, telur, tauhu, dan tempe. Cuma Mama perlu pastikan sumber protein yang dipilih rendah lemak dan mudah dihadam.
4. Minuman dan Makanan Kaya Air

Penghidratan yang mencukupi sangat penting untuk Mama menyusu kerana dapat membantu mengekalkan pengeluaran susu Mama yang lancar.
Pengambilan air yang mencukupi juga membantu menyingkirkan bilirudin dari badan bayi melalui najis dan air kencing.
Air kosong sekurang-kurangnya 8-10 gelas sehari, sup sayur, jus buah tanpa gula tambahan, air kelapa muda, dan teh herba yang selamat untuk Mama menyusu.
5. Lemak Sihat

Lemak sihat membantu penyerapan vitamin yang penting untuk Mama dan bayi, serta menyokong perkembangan otak bayi.
Pastikan pengambilan lemak sihat dalam jumlah sederhana untuk memastikan keseimbangan nutrisi. Mama boleh ambil minyak zaitun, minyak kelapa, kekacang, dan avocado.
Makanan yang Perlu Mama Elakkan!
1. Karbohidrat yang Diproses

Makanan tinggi karbohidrat yang telah diproses seperti roti putih, kek, biskut, pasta, dan minuman bergas mengandungi gula halus yang tinggi.
Pengambilan gula berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan kenaikan berat badan, tetapi juga boleh membebankan hati kerana ia perlu bekerja lebih keras untuk memproses gula dalam darah.
Selain itu, gula yang tinggi dalam makanan ini boleh meningkatkan risiko keradangan dan mengurangkan keberkesanan sistem imun badan.
2. Makanan Dalam Tin, Berbungkus & Salai

Makanan yang diproses seperti makanan dalam tin, makanan berbungkus dan makanan salai biasanya mengandungi bahan pengawet yang tinggi seperti nitrat dan sulfat.
Bahan ini sering digunakan untuk mengekalkan kesegaran makanan, tetapi boleh memberi tekanan kepada sistem pencernaan dan hati.
Pengawet ini juga sering hadir dalam bentuk garam tersembunyi yang boleh menyebabkan dehidrasi, menjadikan pencernaan lebih sukar, dan mengganggu metabolisme tubuh.
Untuk bayi kuning, hati mereka masih belum cukup kuat untuk menapis toksin dengan berkesan, jadi elakkan makanan sebegini bagi memastikan tubuh bayi dapat memproses bilirubin dengan lebih baik.
3. Lemak Tepu & Lemak Trans

Makanan bergoreng, makanan segera, dan makanan tinggi lemak seperti kentang goreng, ayam goreng, burger, dan pastri sering mengandungi lemak tepu dan lemak trans yang tinggi.
Lemak jenis ini bukan sahaja sukar dihadam, tetapi juga boleh menyebabkan hati bekerja lebih keras untuk mencernakannya.
Terlalu banyak makanan tinggi lemak tepu, boleh memberi kesan kepada kualiti susu Mama dan seterusnya menyukarkan bayi untuk pulih dengan cepat.
4. Ikan & Makanan Laut Mentah atau Kurang Masak

Makanan laut mentah atau kurang masak seperti sushi, tiram, dan kepah mungkin mengandungi bakteria, virus, atau parasit yang boleh menjangkiti hati dan sistem pencernaan.
Makanan ini boleh meningkatkan risiko jangkitan dan toksin dalam tubuh, yang boleh disalurkan kepada bayi melalui susu Mama. Selain itu, beberapa jenis ikan seperti tuna dan ikan todak mengandungi merkuri yang tinggi.
Lebih baik Mama memilih ikan yang rendah kandungan merkuri seperti salmon dan sardin, serta pastikan ia dimasak sepenuhnya sebelum dimakan.
5. Daging Merah

Daging merah seperti daging lembu, kambing, dan daging proses (seperti sosej dan daging burger) mengandungi kadar lemak haiwan dan asid amino yang tinggi.
Makanan ini memerlukan usaha lebih dari hati untuk mencernakannya, yang boleh menyebabkan hati bekerja lebih keras daripada sepatutnya.
Sebagai alternatif, Mama boleh mendapatkan protein daripada sumber yang lebih mudah dihadam seperti ayam tanpa kulit, ikan rendah merkuri, telur, dan kekacang.
Pemakanan Mama yang menyusu bayi kuning memainkan peranan penting dalam menyokong kesihatan bayi dan mempercepatkan pemulihannya.
Selain memastikan pemakanan yang seimbang, Mama juga perlu kerap menyusu kerana susu Mama adalah cara terbaik untuk membantu bayi menyingkirkan bilirubin melalui najis.
Jika bacaan kuning bayi semakin tinggi, segera dapatkan pemeriksaan doktor untuk rawatan lanjut.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Aoa lagi kesihatan bayi yang Mama Papa perlu tahu? Klik di SINI.