KelabMama

Mama, Tolong Elak Makanan-Makanan Ini Ketika Berpantang!

Kenapa nak kena berpantang makan dan minum selepas bersalin? Kenapa ada makanan berpantang yang tak boleh dimakan?

Itu antara soalan biasa yang ibu lepas bersalin sering bertanya. Jawapannya, ini kerana makanan ketika berpantang ini ada yang bersifat tajam dan berbisa. Malah buah-buahan yang berasa masam dan sayur yang menjalar pula selalunya bersifat angin.

Kekacang pula boleh mendatangkan tindak balas seperti alahan dan kegatalan di kawasan jahitan. Benda-benda yang diperam seperti pekasam dan ikan kering pula akan menyebabkan darah nifas tidak lancar keluarnya dan akan berbau hanyir serta punca keputihan.

Ibu yang melanggar pantang makanan, kesannya kita dapat lihat sangat berbeza berbanding ibu yang menjaga pantang. Ibu yang menjaga pantang mempunyai stamina yang kuat dan cergas uruskan urusan rumahtangga, anak-anak dan kerjaya.

Stamina mereka kuat, dan susah mendapat sakit urat dan sendi kerana dalaman mereka sihat kesan dari pemakanan herba dan sajian harian yang sangat menyihatkan. 

Manakala, ibu yang melanggar pantang pula sering kelihatan sentiasa penat, senang rasa mengantuk dan rasa letih itu membuatkan mereka cepat marah dan moody. Mereka juga senang mendapat sakit sendi dan sakit urat, badan mudah masuk angina, ketumbuhan jerawat dan senang gemuk serta berisiko untuk fibroid kerana rahim mereka tidak bersih daripada darah kotor dan ketidakseimbangan hormone.

Seorang ibu itu benar-benar sihat mengambil masa selama 6 bulan selepas bersalin. Ini kerana 6 bulan pertama selepas bersalin sistem hormon ibu masih tidak stabil. Jadi perpantanglah dengan tekun supaya hormon kembali seimbang dan barulah badan benar-benar sihat.

Elakkan makan makanan seperti:

Nenas, jambu air, pear, duku, langsat, dokong, manga, pisang, nangka, cempedak,petai, jagung, rambutan, tembikai, durian, sengkuang, manggis, isi kelapa, ubi kayu, ubi keledek, ubi bit dan buah berangan.

Labu, timun, terung, cili, bayam, kubis, kangkung, keladi, pucuk ubi, pucuk paku, rebung, kacang botol.

Kacang soya, tempe, tauhu, taufufah, barli, kacang kuda, kacang tanah, kacang merah, kacang hijau dan taugeh.

Ayam suntik, telur, organ dalaman dan daging lembu (kecuali hiris nipis / bakar kering).

Ikan tongkol, pari, sotong, udang, kembung, sardine, cencaru, pekasam, ikan masin dan tamban. Ikan masin bukan sahaja kurang berkhasiat buat ibu berpantang, ia juga boleh melemahkan urat saraf, punca keputihan dan darah nifas hanyir dari biasa. Manakala ikan yang bias dan boleh menyebabkan ibu turun darah dan bentan ialah ikan parang, sembilang, pari, duri, terubuk, bawal hitam dan keli. Udang, sotong, kerang dan ketam juga boleh menyebabkan alahan kegatalan kulit terutama di kawasan jahitan.

Air yang sejuk, berais, berkarbonat (gas) dan kafein.

Laksa, mee kuning, keju, budu, jeruk dan nasi dingin.

Makanan Berpantang Yang Sesuai & Harus Dielakkan

Mama nak dapatkan kembali badan yang langsing dan bertenaga seperti anak dara bukan? Sebab tu kena berpantang. Paling minima 44 hari mengikut adat berpantang Melayu. Awal-awal mungkin tak biasa, tapi nanti lama-lama okay lah. Untuk kesihatan diri sendiri pada masa hadapan juga bukan ;). Selamat berpantang Mama!