Mama ada perasan tak sekarang ini bayi macam sukar nak membuang, kadang-kadang sampai berkerut dahinya dan menangis? Kalau ada, Mama kena tahu tau kadang-kadang bayi sembelit disebabkan oleh menu makanan bayi 9 bulan yang Mama bagi tak cukup serat yang sepatutnya.
Disebabkan itulah bayi susah untuk buang air besar atau menjadi sembelit dan kerap buat perangai kerana perutnya yang tidak selesa. Oleh itu, untuk mengelakkan bayi selalu sembelit, di bawah ini Mama Siti kongsikan beberapa jenis makanan dan juga menu yang boleh Mama cuba berikan kepada bayi yang kerap menghadapi masalah sembelit ini.
InsyaAllah, ia dapat membantu. Jom lihat!
Senarai Resepi Makanan Bayi 9 Bulan
#1. Resepi Roti Susu Bakar + Buah Kiwi
Bahan-bahan:
- Roti wholemeal
- Susu fullcream
- Buah kiwi dipotong kecil
- telur 1 biji
Cara-cara:
- Potong roti wholemeal kepada dua bahagian.
- Rendam di dalam susu fullcream yang telah dikacau bersama telur.
- Kemudian Mommy boleh bakar atau goreng mengikut kesukaan. Siap dihidang bersama buah kiwi yang siap dipotong.
#2. Makanan Bayi 9 Bulan: Egg Muffin
Bahan-bahan:
- 1 biji telur
- Lobak merah yang telah diparut
- Ayam yang telah dicincang
- Serbuk cheese
- Potongan buah epal
Cara-cara:
- Satukan kesemua bahan di atas. Kacau sebati di dalam bekas.
- Bakar pada suhu 170 darjah celcius selama 7 minit.
- Siap dihidang bersama dengan potongan buah epal.
#3. Makanan Bayi 9 Bulan: Resepi Bergedil Daging
Bahan-bahan:
- 2 biji ubi kentang (rebus atau kukus)
- Sayur sawi pak choy
- Bawang besar
- Daging
- Unsalted butter
- 1 sb Cream cheese
- Tepung gandum
- Telur
Cara-cara:
- Rebus atau kukus kentang sampai empuk.
- Tumis bawang dengan unsalted butter. Masukkan daging dan tunggu sampai masak.
- Masukkan sayur hijau. Goreng sampai masak.
- Lenyekkan kentang yang telah masak.
- Campur kentang dengan daging tadi. Masukkan juga cream cheese.
- Masukkan sikit saja tepung sehingga boleh diuli.
- Celup yang diuli dengan telur dan goreng dengan minyak zaitun.
#4. Resepi Curly Pumpkin
Bahan-bahan:
- Labu
- Tepung jagung
Cara-cara:
- Kukus potongan buah labu sehingga ia menjadi empuk.
- Kemudian lenyekkan sehingga ia menjadi lumat.
- Setelah itu, campurkan dengan sedikit tepung jagung dan kacau sebati.
- Masukkan semua bahan yang dikacau tadi ke dalam plastik, buatkan lubang kecil di bahagian hujung dan picit keluar sebatian tadi terus ke dalam minyak yang panas.
- Goreng sehingga ia masak.
#5. Makanan Bayi 9 Bulan: Resepi Kari Ikan Merah
Bahan-bahan:
- Ikan Merah
- Bawang merah
- Bawang putih
- Serbuk kari ikan
- Daun kari
- Santan fresh
- Serbuk bilis
Cara-cara:
- Tumiskan bawang sehingga garing
- Masukkan serbuk kari ikan.
- Tumis sehingga pecah minyak kemudian baru masukkan ikan & daun kari.
- Kemudian masukkan santan, jangan lupa sentiasa kacau supaya santan tak berketul.
- Masukkan serbuk perasa ikan bilis untuk menggantikan garam.
Nota: untuk bayi yang baru nak diperkenalkan dengan makanan berempah atau sedikit pedas, Mama boleh cuba dengan kuantiti sedikit dahulu ya.
#6. Nugget Ayam Homemade
Bahan-bahan:
- 400gm isi ayam/dada ayam yang dicincang
- 1-2 biji bawang merah
- 1-2 biji bawang putih
- 1/2 cawan carrot
- 1/2 cawan seleri (sekiranya mahu)
- daun bawang (optional juga untuk rasa dan aroma)
- 3 sudu tepung jagung
- 2 sudu serbuk ayam
- 2 biji telur
Cara-cara:
- Blender isi ayam dengan telur dan serbuk ayam. Boleh tambah air dalam 1/4 cawan untuk mudahkan bahan diblender.
- Campurkan bahan blender tadi dengan tepung jagung.
- Gaul rata adunan. Tambah air atau tepung untuk adunan yang tidak terlalu pekat/cair.
- Sapu minyak pada loyang dan kukuskan adunan sehingga masak. Sekejap saja dah masak, sekitar 10-20 minit.
- Sejukkan adunan yang telah dikukus dan potong nugget ikut kesukaan petak atau jejari.
- Celup dalam telur dan golek-golek dalam serbuk roti.
- Simpan untuk goreng hari lain/ buat stok dalam peti ais. Lapik plastik supaya tidak melekat bila keras nanti dan senang nak dikeluarkan.
- Goreng tak perlu lama sebab isi sudah sedia masak.
- Hanya bagi garing sahaja.
#7. Makanan Bayi 9 Bulan: Resepi Bubur Sumsum
Bahan-bahan:
- 3 sb tepung beras
- 1 cawan fresh milk
- Topping buah buahan pilihan
Cara-cara:
- Satukan tepung beras dan juga fresh milk di dalam periuk. Kacau sebati.
- Masak di atas dapur menggunakan api sederhana kecil sehingga adunan menjadi likat. Pastikan tepung telah benar benar masak. Tutupkan api.
- Tuangkan adunan ke dalam bekas yang bersesuaian. Biarkan adunan sejuk seketika sebelum diletakkan topping buah buahan kegemaran.
- Sejukkan di dalam peti sebelum dihidangkan.
#8. Resepi Biskut Susu
Bahan-bahan:
- 1 cup tepung jagung *
- 1 cup susu tepung *
- susu tepung yang dibancuh/freshmilk
Cara-cara:
- Masukkan bahan-bahan bertanda *. Kemudian masukkan pula freshmilk dan gaul sehingga menjadi satu adunan.
- Uli sehingga adunan tidak melekat ditangan.
- Panaskan oven suhu 180 darjah celcius selama 10 minit.
- Bakar adunan pada suhu 180 darjah celcius selama 15 minit atau sehingga masak atau mengikut kesesuaian oven masing-masing.
#9. Makanan Bayi 9 Bulan: Resepi Nugget Nasi
Bahan-bahan:
- Nasi panas (baru masak)
- Ayam cincang
- Serbuk bilis
- Telur dan serbuk roti (untuk salutan luar)
Cara-cara:
- Pertama sekali, gaulkan kesemua bahan-bahan yang disenaraikan di atas hingga sebati.
- Seterusnya, lenyekkan bahan supaya ia melekat antara satu sama lain dan tidak mudah berderai.
- Kemudian, kepal-kepalkan dan tekankan supaya leper.
- Bila dah jadi bentuk-bentuk yang diinginkan, langkah seterusnya adalah buat lapisan luarnya yang rangup.
- Bila dah siap disalut, kena bekukan dulu dalam peti sejuk bahagian freezer. Lepas bentuknya dah mengeras, bolehlah digoreng.
#10. Makanan Bayi 9 Bulan: Resepi Bubur Ayam Ala MCD
Bahan-bahan:
- 60 gram isi ayam
- Daun bawang/daun sup
- Carrot
- Saderi
- 2 sb beras
- 1 sb minyak bijan
- 1 ulas bawang putih
- 1 inci halia
Cara-cara:
- Masukkan beras, isi ayam, halia, bawang putih, lobak dan saderi ke dalam periuk nasi dan masak nasi macam biasa.
- Apabila air dah kering, bubur kembang cantik, sayur semua dah lembut termasuklah ayam, Mama masukkan hirisan daun bawang, bawang goreng homemade dan minyak bijan.
- Gaul rata dan biarkan seketika sebelum tutup api atau matikan suis.
- Sejukkan dan siap untuk dimakan.
Jenis Makanan Yang Bagus Untuk Bayi Yang Ada Masalah Sembelit
1. Epal
Pectin dalam epal dapat membantu memperbaiki keseimbangan bakteria di usus, seterusnya berupaya untuk memudahkan pergerakan najis di usus.
2. Pir
Buah pir mempunyai kandungan fruktosa dan sorbitol semulajadi yang boleh menjadi pelawas untuk mudahkan pembuangan air besar.
3. Kiwi
Buah kiwi pula mengandungi enzim actinidin yang memain peranan dalam pergerakan usus supaya najis bayi dapat lawas dengan baik.
4. Buah tin
Buah tin pula mempunyai kandungan enzim fisin, yang beri kesan baik pada usus untuk melancarkan pembuangan.
5. Buahan citrus
Serat pektin dan antioksida naringenin dalam buahan citrus berupaya untuk membantu perjalanan usus menjadi lebih baik dan mengelakkan sembelit berpanjangan.
6. Bayam dan Sayuran Hijau
Manakala sayuran hijau pula mempunyai serat yang mudah larut di mana ia penting untuk membuatkan najis menjadi lembut.
7. Brokoli
Brokoli membuatkan najis menjadi lebih berat di mana ia akan memudahkan serta melancarkan pembuangan najis.
Semoga dengan perkongsian ini, Mama Siti sangat berharap Mama berpuas hati dengan hasilnya nanti. Semoga membantu!
Lihat pelbagai tips pemakanan dan resepi untuk si manja di SINI.