Selain mudah dan cepat disediakan, mi segera juga enak dimakan sekali gus menjadi hidangan kegemaran kebanyakan individu tanpa mengira usia. Pelbagai mitos yang mengatakan mengenai bahaya mi segera seperti mengandungi bahan kimia dan penyebab kanser. Namun, jika dilihat dari segi fakta pastinya negara mempunyai standard kawalan keselamatan makanan dan tidak akan mengambil mudah untuk melepaskan produk yang mempunyai bahan terlarang serta berbahaya dijual di pasaran. Menikmati mi segera adalah selamat namun yang menjadi isu apabila membicarakan mengenai aspek kesihatan.
Perlu kita ketahui, mi segera sejenis mi dalam kumpulan bijirin, nasi, mi dan roti dalam piramid makanan yang perlu dimakan secukupnya. Tiada bahan bahaya dalam mi segera kerana secara umumnya ia mengandungi karbohidrat sepenuhnya. Sama seperti nasi dan roti, mi ini dihadam di dalam perut dalam tempoh antara tiga hingga empat jam. Kebiasaannya, mi segera dibuat kering dan agak keras.
KESAN MI SEGERA
- Jika individu itu mempunyai berat badan berlebihan dan kurang aktif, ia bukanlah pilihan makanan yang baik untuk dimakan dengan kerap. Ini kerana kebanyakan orang mengambil mi ini sebagai snek tambahan dan ia boleh menggemukkan. Tidak kurang juga ada orang menjadikannya sebagai hidangan utama.
- Disebabkan mi ini juga menyebabkan lambat kenyang, dikhuatiri menyebabkan kita berasa tidak puas dan mengambil hidangan lain selepas itu.
- Tinggi kalori dan lemak melainkan ia tidak dikeringkan, tapi masih mengandungi karbohidrat semata-mata.
- Jika dimakan sebagai makanan tambahan, ia tidak membahayakan bagi individu yang tiada masalah kesihatan seperti obesiti serta aktif bergerak.
- Hidangan ini menjadi masalah jika ia dimakan sebagai menu utama setiap hari dan dimasak bersama serbuk perisanya. Ia juga menjadi kurang sihat apabila sajian ini tidak dicampur bersama tambahan nutrien lain seperti sayur dan ayam (protein).
- Perkara yang perlu diambil perhatian ketika mahu menikmati hidangan mi segera ialah paket serbuk perisa yang disertakan dalam setiap bungkusan. Ini kerana sodium yang terkandung dalam serbuk perisa mengandungi hampir 1,000 miligram setiap hidangan, jika kuahnya dimakan habis. Jumlah berkenaan memenuhi 50 peratus keperluan sodium yang disarankan setiap hari. Kebanyakan orang, ada yang tidak menggunakan serbuk perisa dan pastinya kurang sodium.
KANAK-KANAK DAN MI SEGERA
- Bukan hanya orang dewasa, malah kanak-kanak juga menggemari mi segera. Tidak menjadi masalah jika sesekali mereka mahu menikmati mi segera. Namun, jangan makan mi segera setiap hari bersama campuran serbuk perisa yang disertakan di dalam bungkusan. Jika mahukan hidangan yang lebih menyihatkan untuk anak, lebih baik sediakan perencah sendiri dan masukkan sayur serta protein seperti ayam dan telur bagi melengkapkan nutrien diperlukan si kecil.
- Elakkan pengambilan mi segera yang kerap kerana ia tidak mengandungi nutrien lain selain karbohidrat semata-mata. Ini kerana makanan yang tidak berbahaya ini boleh menjadi kurang sihat jika anak tidak mahu menjamah hidangan lengkap yang lain.
- Pada masa sama, ibu bapa juga perlu lebih prihatin mengenai masalah kesihatan anak seperti obesiti dan kurang aktif agar mengurangkan pengambilan mi segera secara kerap.
- Jika anak mempunyai masalah berat badan sebaiknya ambil makanan seimbang dan elakkan pengambilan snek tambahan seperti mi segera ketika lapar terutama waktu malam.
- Kurangkan pengambilan sodium atau serbuk perisa jika anak mahu menikmatinya dan pastikan ia ditambah dengan nutrien lain ke dalam hidangan.
PILIHAN MAKANAN SIHAT
- Jika mahu menikmati hidangan sihat, kita sepatutnya tahu cara membaca label produk makanan yang ingin dibeli. Elakkan membeli makanan mengikut selera sebaliknya berdasarkan piramid makanan untuk memenuhi keperluan nutrien badan.
- Sebaik-baiknya, beli beras, bijirin atau roti mil penuh kerana bahagian luar yang diproses itu tidak dibuang dan kebanyakan vitamin serta mineral ada di bahagian luarnya. Selain itu, boleh cuba amalkan pengambilan beras perang. Jika kurang gemar menikmati beras perang boleh campur dengan oat ketika dimasak bagi mengubah rasa yang lebih enak dalam sajian. Malah, cara berkenaan juga boleh meningkatkan kandungan serat yang membantu mempercepatkan rasa kenyang. Pada masa sama, ia juga mengandungi mineral dan vitamin selain membantu melancarkan pergerakan usus bagi mengelakkan masalah sembelit.
- Pengambilan makanan tinggi serat sangat penting bagi membantu mengurangkan risiko mendapat masalah diabetes, obesiti dan kanser.
- Ketika makan pastikan hidangan perlu lengkap mengikut panduan piramid makanan Malaysia yang mengandungi kombinasi pelbagai jenis makanan untuk memberi semua zat makanan yang diperlukan oleh tubuh.
- Tiada satu pun makanan tunggal yang dapat membekalkan semua zat yang diperlukan. Tubuh memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang berbeza untuk memelihara kesihatan. Sebaiknya, kurangkan pengambilan snek tambahan terutama bagi ahli keluarga yang mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti dan diabetes.
GAYA HIDUP SIHAT
Apabila pelbagai jenis makanan dapat dibeli dengan mudah tanpa mengira masa, ia menyebabkan ada sesetengah daripada kita kurang mengambil berat mengenai hidangan yang dimakan. Disiplin menjaga kesihatan dan memilih makanan yang sihat sangat penting untuk menjaga kesejahteraan tubuh. Ambil masa untuk bersenam biarpun sibuk dengan tugasan di pejabat. Jika berkesempatan, banyakkan bergerak ketika di pejabat atau melakukan aktiviti fizikal bersama keluarga di hujung minggu.
Sumber : Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Dr Winnie Chee Siew Swee & Harian Metro