Tahukah anda, ketika mandi, anak-anaklah yang paling bahagia dan gembira. Mandi merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan bagi mereka. Anda boleh lihat mereka begitu seronok bermain dengan buih-buih sabun, permainan plastik yang mereka ada, dan juga bau syampu buah-buahan yang wangi dan menarik perhatian mereka.
Bermain permainan yang menggunakan air adalah mudah, menyenangkan dan juga murah. Ia boleh dilakukan dimana-mana sahaja sama ada di dalam ataupun di luar rumah. Sungguh pun begitu, bermainlah secara berhati-hati, jangan sekali-kali anda biarkan anak kecil anda bermain berseorangan ketika dia berhampiran dengan kolamnya ataupun baldi. Jadi, di sini ada beberapa cara bermain air yang sesuai dengan peringkat anak anda yang masih kecil:
- Rendam Dalam Kolam – Jika mempunyai kolam sendiri, biarkan anak dalam keadaan posisi tidur terlentang, angkat mereka dan rendamkan ke dalam kolam yang cetek, dan ada peningkatan sekiranya dia sudah mula mahu menyelam.
- Menyiram Tanaman – Biarkan anak anda membiasakan diri mereka menggunakan bekas penyiram air yang kecil untuk disiram ke rumput dan pokok-pokok. Isi bekas tersebut dengan air kira-kira separuh ukuran bekas tersebut, dan tunjukkan contoh bagaimana hendak melakukannya.
- Main Masak-Masak – Letakkan anak anda berhampiran dengan baldi kecil yang berisi air dan biarkan dia bermain mencelup dan mencedok bekas yang berada di tangannya. Boleh juga sekiranya anda menyediakan satu sudu atau pengacau plastik untuk dia bermain masak-masak. Baik anak lelaki mahupun perempuan pasti suka permainan ini.
- Imaginasi Kreatif – Di sini peranan si papa menjadikan aktiviti bermain air sungguh menyeronokkan. Beri kebenaran anak anda membawa mainan kegemaran mereka dalam sesi ini. Namun, pastikan barang mainan itu bukan dari jenis menyerap air, menggunakan elektrik atau bateri. Cipta imaginasi seperti bermain perang-perang, atau sedang dalam misi pengembaraan. Mama juga boleh turut serta.
- Didik Kerja Rumah – Selain bermain, mama dan papa juga boleh mendidik anak-anak untuk membantu membuat kerja rumah sambil bermain air. Ajak anak anda mencuci kereta, basikalnya sendiri atau membasuh kasut dan membersihkan persekitaran kawasan rumah.