Bila seorang wanita mengandung, mereka mungkin mengidapi anemia. Dalam keadaan ini,ibu hamil mungkin merasa penat dan anak dalam kandungan mungkin akan jadi kecil dan dilahirkan sebelum waktunya. Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin. Sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan dengan cukup, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan. Bila jangkamasa kandungan semakin meningkat isipadu darah makin bertambah dan ini menyebabkan pencairan darah berlaku. Walaupun sel darah merah makin bertambah, namun penghasilan plasma darah lagi bertambah dan menyebabkan keadaan yang kita panggil anemia relative atau fisiologi.Di kalangan populasi yang cukup zat besi, seseorang itu dikatakan mengidapi anemia bila tahap hemoglobin kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.
PENYEBAB-PENYEBAB ANEMIA SEMASA MENGANDUNG
KEKURANGAN ZAT BESI
Terdapat 75-95% wanita yang mengandung mengidap anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi. Wanita yang mengandung sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung. Wanita yang mengandung disarankan agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian mereka. Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Nilai MCV kurang dari 80 fL dan MCH kurang dari 27 pg menunjukkan kemungkinan anemia dengan saiz darah merah yang kecil dan pucat. Tahap hemoglobin yang kurang dari 7g/dl mesti dirujuk untuk siasatan lanjut dan rawatan susulan. Siasatan lanjut seperti kajian tentang zat besi dan analisa haemoglobin perlu dijalankan untuk memastikan kekurangan zat besi atau Talasemia.
- Gejala-gejala anemia adalah seperti letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas.
- Anemia boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pra matang, kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran. Kesan pada bayi pula boleh menyebabkan tumbesaran yang terbantut, kerencatan perkembangan akal dan psikomotor.
- Rawatan zat besi secara rutin adalah disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya, ibu-ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka disarankan pengambilan suntikan zat besi yang akan dilakukan di klinik atau hospital. Ada beberapa jenis penyediaan suntikan zat besi yang pihak doktor akan berbincang dengan pesakit sebelum terapi dijalankan.
- Ada lagi cara lain yang kita boleh lakukan untuk meningkat paras haemoglobin iaitu dengan pemindahan darah.
ANEMIA KERANA KEKURANGAN FOLATE DAN VITAMIN B12
Kekurangan vitamin B dan folat lebih jarang ditemui berbanding dengan kukurangan zat besi. Walau bagaimana pun, pemberian folat disarankan untuk semua ibu mengandung untuk mengurangkan risiko kecacatan saraf tunjang (neural tube defect) pada bayi. Kekurangan vitamin-vitamin ini akan menyebabkan anemia ‘non-pernicious megaloblastic’ dengan MCV lebih dari 100 fL. Sekiranya anemia yang berlaku kerana kekurangan ketiga-tiga zat ini, zat besi, folat dan B12, MCV akan menunjukkan bacaan yang normal (normocytic anaemia). Sekiranya pesakit mempunyai paras folat yng rendah, beliau perlu mengambil dose yang lebih tinggi.
Pesakit yang mengalami kekurangan vitamin B12 memerlukan siasatan lanjut untuk memastikan tahap ‘intrinsic factor’ (yang diperlukan untuk penyerapan vitamim B12). Keadaan di mana berlakunya kekurangan ‘intrinsic factor’ ini dipanggil ‘pernicious anaemia’.Tetapi setengah ujian contoh nya Schilling test hanya dapat dijalankan selepas kelahiran bayi kerana ianya melibatkan penggunaan bahan-bahan radioaktif.
ANEMIA KERANA INFEKSI
Anemia jenis ini sering berlaku di negara-negara bukan idustri. Antara jangkitan infeksi yang boleh menyebabkan anemia adalah HIV, malaria, cacing, hepatitis, TB dan sebagainya. Sekiranya sejarah pesakit menunjukan terdapatnya pendedahan kepada jangkitan ini,maka perlu dijalankan siasatan yang berpatutan.
TALASEMIA
Talassemia adalah penyakit yang biasa kita jumpai. Penyakit ini terdapat di mana-mana diseluruh dunia, terutamanya di kawasan yang endemik kepada jangkitan malaria, di mana, penyakit ini membolehkan pengidap talasemia dilindungi dari malaria. Kawasan tersebut termasuklah kawasan Mediterranean, Afrika Tengah dan sebahagian benua Asia.
- Ianya adalah disebabkan oleh pembentukan tidak normal rantai peptid globin yang terdapat dalam haemoglobin. Orang dewasa yang sihat patut mempunyai lebih dari 95% haemoglobin A yang mempunyai 2 rantai ‘alpha’ dan 2 rantai beta peptid.
- Terdapat dua jenis utama talasemia, iaitu talasemia ‘alpha’ dan talasemia ‘beta’. Kedua-dua jenis talasemia ini terbentuk kerana pengurangan pembentukan rantai-rantai tersebut di atas. Bila berlaku kekurangan Hb A yang normal ini, maka pembentukan sel darah merah yang tidak sempurna, pemecahan darah merah dan kekurangan darah merah akan berlaku.
- Pembawa gen talasemia biasanya tidak mempunyai masalah dan hanya akan dapat dikesan apabila mereka melakukan ujian saringan FBC.
- Pewarisan adalah secara resesif autosomal, iaitu anak lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mewarisinya. Dan jika anak-anak mewarisi satu gen talasemia dari ayah dan satu lagi dari ibu, maka anak itu akan mendapat dua gen talasemia. Keadaan ini menyebabkan anak itu adalah pesakit talasemia, berbanding dengan ayah dan ibu yang hanya seorang pembawa.
- Kedua-dua jenis talasemia ini boleh dibahagi kepada beberapa peringkat lagi berdasarkan kepada keterukan pesakit dan kekerapan transfusi darah; talasemia minor, talasemia intermedia and talassemia major. Yang paling teruk yang boleh dialami adalah ‘ hydrop foetalis’ di mana janin akan mati dalam rahim atau meninggal semasa dilahirkan.
- Pesakit talasemia major akan memerlukan pemindahan darah pada umur setahun ke atas bila mana haemoglobin fetus ditukarkan ke haemoglobin dewasa yang tidak normal.
- Manakala pesakit talasemia intermedia pula, mereka akan memerlukan pemindahan darah kemudian bila mana mereka semakin dewasa atau semasa jangkitan kuman, mengandung atau semasa pembedahan. Keadaan seperti ini akan mempercepatkan kadar perpecahan darah merah (haemolysis) dan menyebabkan anemia menjadi bertambah teruk. Pada masa yang sama, kelenjar limpa makin membesar kerana terpaksa bekerja keras untuk memusnahkan sel-sel darah yang kurang sempurna ini. Keperluan pemindahan darah meningkat disebabkan kelenjar limpa semakin membesar dan semakin banyak sel-sel darah berkumpul dalam kelenjar limpa.
- Bagi mereka yang mengidap talasemia minor, biasanya mereka tidak mempunyai masalah kesihatan yang serious dan boleh hidup secara normal. Tapi keadaan mereka boleh menjadi teruk sekiranya mereka mengalami kekurangan zat besi atau gabungan bersama kekurangan folat dan Vitamin B12 yang diperlukan untuk pembentukan sel-sel darah semasa mengandung, jangkitan kuman atau sebarang kondisi yang mungkin mempercepatkat kadar pemecahan sel darah merah.
- Walaupun pemindahan darah boleh memperpanjangkan jangka hayat, bila mana digabungkan dengan perawatan mengeluarkan zat besi, ramai wanita boleh mengalami kemandulan pada masa-masa yang lampau. Namun akhir-akhir ini, makin ramai wanita pengidap talasemia boleh mengandung tanpa masalah sekiranya transfusi darah dapat dijalankan dengan teratur.
JENIS-JENIS ANEMIA YANG LAIN
Anemia ‘Diamond-Blackfan’ dan penyakit ‘sickle cells’ jarang dijumpai di kalangan wanita Malaysia. Walau bgaimana pun, dengan bertambahnya rakyat-rakyat dari Africa yang bermastautin di Malaysia, maka tidak mustahil akan berlaku peningkatan anemia ‘sickle cells’ ini.
PEMINDAHAN DARAH PADA MASA MENGANDUNG
Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk di kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin. Tahap haemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah di kalangan mereka yang mempunyai anemia yang kronik berbanding dengan mereka yang megalami hemolisis akut. Adalah sukar untuk memberi paras hemoglobulin yang sesuai untuk pemindahan darah. Tetapi adalah penting untuk memberi darah kepada wanita mengandung 34 minggu ke atas yang mempunyai haemoglobin kurang dari 7g/dl. Dan seboleh-bolehnya, anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca dari pendarahan semasa kelahiran.
SARANAN
Ibu mengandung hendaklah datang mengikut jadual kedatangan yang disediakan di klinik ibu mengandung. Ini adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.
Sumber: myhealth.gov.my