Mama Papa, ada berita penting untuk anak-anak yang bersekolah! Mulai 21 April 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan pemakaian Lencana Jalur Gemilang sebagai sebahagian daripada pakaian seragam sekolah bagi semua murid di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Langkah ini bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara sejak usia muda.
Siapa yang Perlu Memakainya?
Menurut kenyataan rasmi KPM, pemakaian lencana ini akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Ini bermakna bukan hanya murid je, tetapi guru serta kakitangan sekolah juga digalakkan untuk memakainya bagi menyemarakkan semangat kebangsaan di sekolah.
Setiap pelajar akan menerima dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma pada sesi persekolahan 2025/2026.
Jadi, Mama Papa tak perlu risau nak beli sendiri, KPM akan pastikan semua murid mendapat lencana mereka untuk dipakai ke sekolah.
Bagaimana Cara Pemakaian yang Betul?
Mungkin ada Mama Papa yang masih keliru bagaimana cara yang betul untuk memakaikan lencana ini pada baju anak-anak. Jangan risau, Mama Siti kongsikan panduan mudah untuk Mama Papa.
Panduan pemakaian lencana Jalur Gemilang KPM:
- Murid lelaki: lencana dipakai di bahagian kanan poket baju sekolah, selari dengan tanda nama murid.
- Murid perempuan: bagi yang memakai baju kurung, lencana hendaklah disematkan di bahagian kanan baju atau tudung.
- Pelajar sekolah berasrama penuh: pemakaian adalah mengikut peraturan sekolah masing-masing tetapi tetap pada bahagian kanan.
- Guru dan kakitangan: pemakaian adalah pilihan tetapi digalakkan diletakkan di bahagian kanan dada.
Kenapa Pemakaian Lencana Ini Penting?
Mungkin ada Mama Papa yang tertanya-tanya, kenapa tiba-tiba kena pakai lencana ini? Ini sebabnya:
- Pupuk semangat patriotisme – Biar anak-anak Mama Papa lebih kenal dan bangga dengan Malaysia.
- Bina identiti sebagai rakyat Malaysia – Setiap kali mereka tengok lencana ini, mereka akan lebih menghargai negara sendiri.
- Satukan pelajar dari pelbagai latar belakang – Ini simbol kebangsaan yang menyatukan kita semua tak kira bangsa dan agama.
- Bantu tingkatkan kesedaran tentang kedaulatan negara – Anak-anak akan lebih faham kenapa pentingnya menjaga perpaduan dan keamanan negara.
Tips Mama Siti untuk Pastikan Anak Pakai Lencana
Kadang-kadang anak-anak ni mudah lupa, jadi Mama Papa boleh cuba cara ini:
- Jahit atau tampal lencana dengan pin kuat – supaya tak mudah tertanggal.
- Letak dalam beg sekolah sebagai backup – kalau hilang, ada extra dalam beg.
- Ingatkan setiap pagi sebelum ke sekolah – jadikan rutin, lama-lama mereka akan terbiasa.
Pemakaian Lencana Jalur Gemilang KPM ini adalah satu langkah positif untuk melahirkan generasi yang lebih berjiwa patriotik.
Mama Siti suka idea ini sebab ia bukan sekadar aksesori, tapi simbol kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia.
Jadi, jangan lupa ya Mama Papa, pastikan anak-anak bersedia untuk pakai lencana ini mulai 21 April 2025.
Ketahui lebih banyak berita yang trending sekarang di SINI.