Hai Mama dan Papa! Mama dan Papa tahu tak apa itu penyakit lelah atau asma pada kanak-kanak? Sebenarnya, penyakit lelah atau asma ini merupakan penyakit kronik pada saluran pernafasan yang menjadi sempit.
Tidak seperti kanak-kanak normal yang lain, bagi sesiapa yang mempunyai penyakit ini, ia akan menyebabkan anak-anak Mama dan Papa sukar untuk bernafas dengan baik.
Selain itu, penderita penyakit lelah ini juga akan merasakan sakit di bahagian dada terutama setiap kali mereka diserang asma.
Oleh sebab itu, bagi membantu Mama dan Papa membuat persediaan sebagai langkah penjagaan dan rawatan ketika kecemasan, artikel kali ini Mama Siti ingin kongsikan mengenai penyakit lelah dalam kalangan kanak-kanak dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Mama dan Papa perlu teruskan pembacaan artikel ini!
Tanda-Tanda Kanak-Kanak Mempunyai Penyakit Lelah
Bagaimana nak tahu anak Mama mempunyai penyakit lelah atau tidak? Berikut adalah beberapa tanda-tanda apabila kanak-kanak mempunyai penyakit lelah. Mama boleh beri perhatian sekiranya anak Mama mempunyai ciri-ciri seperti di bawah:
- Mudah berasa letih walaupun tidak aktif.
- Selalu mengadu sakit di bahagian dada.
- Batuk yang berulang atau tidak berhenti ketika menangis dan ketawa.
- Terdengar bunyi seakan siulan semasa bernafas.
Faktor Atau Punca Penyakit Lelah Pada Kanak-Kanak
Mengapa lelah boleh terjadi? Apa puncanya? Berikut adalah faktor atau punca yang boleh menyebabkan anak Mama dan Papa mendapat penyakit ini :
- Terdedah dengan persekitaran yang kotor seperti asap dari pembakaran terbuka atau habuk dari persekitaran yang tidak dibersihkan dengan betul.
- Terdedah kepada asap rokok yang sememangnya sangat berbahaya kepada kesihatan.
- Bulu haiwan peliharaan seperti bulu kucing akan sebabkan alahan.
- Terdedah kepada pencemaran yang dibawa udara seperti asap dari bahan kimia.
- Cuaca yang sejuk, berangin, berhabuk juga boleh menyebabkan lelah berlaku.
Cara Hilangkan Dan Mengelak Serangan Lelah/Asma
Namun Mama Papa jangan risau, ada beberapa cara untuk hilangkan dan mengelak anak-anak dari terkena serangan penyakit lelah atau asma ini. Antaranya adalah seperti berikut:
#1. Jangan Merokok Dekat dengan Anak
Kanak-kanak yang terhidu asap rokok akan lebih mudah mendapat penyakit kerana antibodi terhadap badan mereka masih lemah.
#2. Jauhkan daripada Haiwan Berbulu
Mama perlu menjauhkan anak-anak daripada haiwan berbulu seperti kucing. Ini kerana, kanak-kanak mudah tertarik dengan kecomelan haiwan peliharaan dan akan menggomolnya. Bulu haiwan ini tidak baik untuk kanak-kanak yang ada penyakit lelah, ia akan menyebabkan penyakit ini bertambah teruk.
#3. Jauhkan daripada Terkena Habuk
Semasa mengemas rumah, alihkan anak terlebih dahulu daripada tempat yang sedang dikemas. Selain itu, pastikan persekitaran anak Mama sentiasa bersih seperti mainan dan tempat tidurnya.
#4. Bawa Anak Berenang untuk Mengatasi Lelah
Mama Papa pernah dengar yang berenang mampu membantu masalah lelah? Ya! Berenang boleh membantu masalah penyakit lelah ini. Hal ini kerana, aktiviti berenang dapat membantu meningkatkan kekuatan paru-paru dan jantung.
Meskipun begitu, perlu dipastikan bahawa keselamatan anak di dalam kolam terjaga bagi mengelakkan terjadi perkara yang tak diingini.
#5. Mengamalkan Pemakanan yang Sihat
Mama dan Papa wajib mengajarkan anak-anak mengamalkan pemakanan yang sihat seperti makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sebelum itu, Mama dan Papa perlu ambil tahu makanan apakah yang tidak sesuai dan tidak baik untuk penghidap asma seperti kismis dan nanas.
#6. Bawa Anak Berjumpa Doktor jika Lelah Teruk
Jika asma anak Mama Papa semakin membimbangkan, berjumpa doktor adalah perkara paling tepat saat ini. Dapatkan bantuan doktor bagi mendapatkan rawatan yang sesuai.
#7. Mengekalkan Berat Badan yang Sihat
Tak dinafikan bahawa kanak-kanak yang berisi nampak comel. Namun, Mama tahu atau tidak bahawa berat badan juga mempengaruhi kesihatan anak-anak Mama. Berat badan yang berlebihan akan memberi banyak kesan kepada si kecil salah satunya ialah penyakit asma ini.
#8. Menyediakan Ubat Pelega
Selain itu, Mama dan Papa perlu sentiasa menyediakan ubat pencegah asma seperti reliever. Reliever inhaler ini perlu dibawa kemana saja memandangkan penyakit ini boleh menyerang bila-bila masa saja.
#9. Elakkan Anak dari Kesejukan
Sebaiknya, kanak-kanak yang menghidap lelah atau asma ini tidak dibiarkan tidur dengan berpakaian yang terlalu terdedah dengan kesejukan apatah lagi dalam bilik yang menggunakan penghawa dingin.
#10. Elakkan Anak-anak daripada Terkena Bahan Kimia
Bahan kimia juga boleh menyebabkan kanak-kanak mendapat penyakit ini. Seperti contoh, bahan kimia yang paling mudah didapati dalam rumah adalah spray racun serangga. Apabila Mama dan Papa mahu menggunakan spray ini, pastikan anak-anak berada jauh dari tempat tersebut.
Kesimpulannya, penyakit lelah atau asma ini boleh dicegah dari rumah sendiri. Akhir kata, sayangilah anak anda kerana anak adalah anugerah dan sumber rezeki pemberian Yang Maha Esa.
Semoga membantu dan selamat mencuba!
Selain perkongsian mengenai penyakit lelah di atas, Mama dan Papa boleh juga dapatkan pelbagai lagi info mengenai masalah kesihatan anak yang lain dan bagaimana cara merawatnya di SINI!