‘Alah anak saya dah besar, pandai lah dia jaga diri’
Tak boleh macam tu Mama, sebab malang tak berbau. Sebagai ibu bapa, memang sudah menjadi tanggungjawab kita pastikan persekitaran rumah selamat untuk anak-anak.
Mama Siti nak kongsi 12 langkah keselamatan yang Mama Papa perlu ajar anak di rumah.
12 Langkah Keselamatan di Rumah
#1 Wayar dan Palam Elektrik
Pastikan setiap palam atau soket elektrik dilindungi dengan pelindung keselamatan untuk mengelakkan anak-anak daripada memasukkan jari mereka ke dalamnya.
Wayar elektrik juga harus disusun dengan baik agar tidak berselirat di lantai. Langkah ini penting supaya ia tidak dapat dicapai oleh anak-anak kecil yang penuh dengan perasaan ingin tahu.
#2 Keselamatan Tingkap
Mama Siti kongsikan 6 faktor keselamatan tingkap di rumah. Kita mesti sentiasa pastikan semua tingkap:
- Bukaan tidak melebihi 12.5 cm.
- Dilengkapi dengan selak, kunci atau pengadang agar ia hanya boleh dibuka pada kadar 12.5 cm sahaja.
- Hanya boleh dibuka dari bahagian atas.
- Jauhkan perabot dan katil dari tingkap supaya anak tidak memanjat lalu menghampiri tingkap.
- Ajarkan anak-anak untuk bermain jauh dari tingkap.
- Sentiasa pantau anak-anak yang bermain berdekatan dengan tingkap.
Namun begitu, tips keselamatan tingkap ini boleh diolah mengikut kesesuaian rumah Mama masing-masing.
#3 Bilik Mandi Paling Penting
Kenapa Mama Siti kata penting?
Sebab anak kita akan mandi setiap hari dalam bilik mandi. Jadi, kebarangkalian kemalangan berlaku lebih tinggi berbanding faktor kemalangan lain.
Jangan biarkan anak Mama tanpa pengawasan di dalam tab mandi kerana air cetek yang bertakung itu pun berisiko menyebabkan lemas atau tergelincir.
Letakkan tikar getah di lantai bilik mandi terutamanya berdekatan pancuran mandian dan tab mandi. Langkah ini adalah untuk mengelakkan lantai daripada menjadi licin.
Pilih pemanas air dengan peranti perlindungan haba supaya kulit anak tidak melecur atau terkena dengan kepada air terlalu panas.
#4 Keselamatan Dapur
Perkara yang Mama paling risaukan ialah benda tajam seperti pisau. Langkah keselamatan di dapur bagi anak-anak adalah dengan menjauhkan pisau dan peralatan memasak lain dari capaian mereka.
Manakala pada dapur gas pula, periuk dan kuali yang ada pemegang hendaklah dialihkan ke belakang semasa memasak atau sedang panas di atas dapur.
#5 Pintu Balkoni Pastikan Kunci
Anak kita ni kalau benda tu dia tak dapat, sampai sudah dia buat sampai berjaya.
Takut kalau anak dah pandai nak belajar selak pintu gelangsar atau sliding door, dia berisiko jatuh dari tempat tinggi seperti balkoni.
Jadi, langkah keselamatannya adalah dengan pasang dua jenis pintu atau gunakan pintu yang memerlukan kunci untuk dibuka.
#6 Jarak Palang dan Tinggi Balkoni
Orang duduk bandar memang kerap jumpa rumah yang ada balkoni tapi kalau duduk kampung pula macam mana?
Sama saja Mama! Kalau Mama duduk rumah kampung yang ada tingkap bergerigi macam rumah tradisional tu pun nak kena pastikan jaraknya tidak terlalu besar.
Tak pun, Mama pasang jaring boleh laras (adjustable) nanti kalau ana dah besar, boleh tanggalkan.
Berapa jarak yang diperlukan? Mengikut pakar keselamatan kanak-kanak, tinggi pagar balkoni hendaklah sekurang-kurangnya satu meter.
#7 Bangku, Kerusi dan Meja di Pagar Balkoni
Mama Siti ada seorang anak saudara, bila kita cakap jangan berdiri dekat kerusi balkoni, dia jawab;
“Siapa suruh letak kerusi dekat sini?”
Aduh, nak marah pun tak boleh sebab betul juga cakap dia tu. Kita yang dewasa ni patut lebih tahu apa kemungkinan yang akan terjadi. Maunya anak panjat dan jatuh dari balkoni kan bahaya.
#8 Simpan Produk Pembersih dan Deterjen
Pasangkan kunci dan selak kalis kanak-kanak (kid-proof lock & latches) pada kabinet dan rak.
Lebih-lebih lagi jika rak itu menyimpan peralatan berbahaya atau produk pembersih seperti peluntur, deterjen atau semburan toksik.
Usahakan untuk tidak menyimpan bahan pembersih dalam bekas makanan kerana anak mungkin menganggap itu sebagai makanan.
#9 Kawasan Tidur Anak Pastikan Selamat
Anak yang sedang dalam buaian sepatutnya tidak perlu diletakkan bantal. Ini kerana bantal itu berisiko beralih tempat dan menutup pernafasan mereka.
Seboleh-bolehnya tiada benda lain dalam buaian selain bayi Mama sahaja.
Manakala bagi katil pula, Mama hendaklah selit alas tilam bayi ke bawah tilam dengan kemas dan dipastikan tidak akan tercabut. Risiko yang sama boleh berlaku kepada si anak.
#10 Barang atau Makanan Saiz Kecil Kena Berhati-hati
Anak-anak yang bermain dengan mainan kecil atau makanan seperti kekacang biasanya boleh terdedah kepada ririko tercekik.
Pastikan Mama potong makanan kepada bahagian bersaiz gigitan untuk ia tersangkut dalam tekak. Contoh makanan yang perlu dipotong kecil-kecil ialah anggur, gula-gula, lobak merah, kacang dan popcorn.
Namun begitu saiz hidangan ialah bergantung kepada usia anak . Pastikan Mama simpan butang, syiling, objek tajam, anting-anting, pin atau guli jauh dari capian anak-anak kerana ini juga boleh mencetuskan bahaya tercekik.
#11 Pasang Penggera Asap
Pasang penggera asap di rumah dan periksa secara berkala untuk memastikan ianya berfungsi dengan baik dari semasa ke semasa.
Dalam masa yang sama, ajar anak Mama tentang apa itu penggera kebakaran dan apa yang perlu dilakukan jika ianya berunyi.
Penggera kebakaran bertindak untuk mengesan kebocoran gas karbon monoksida yang boleh membawa maut kepada anak-anak Mama.
Nota: Gas monoksida ialah sejenis gas yang tidak mempunyai bau atau warna.
#12 Langkah Keselamatan Ketika Bermain Dengan Haiwan
Memang kebanyakan haiwan peliharaan jinak dengan tuannya. Lagipun, kebiasaannya orang Malaysia pelihara kucing yang memang diketahui sebagai haiwan mesra manusia.
Tapi, haiwan peliharaan boleh menyerang untuk melindungi diri daripada ancaman. Oleh itu, ajar anak Mama agar tidak menarik ekor kucing dan sentiasa bersikap ihsan kepadanya.
Beri amaran kepada anak Mama supaya menjauhi haiwan peliharaan apabila nampak ia menggeram atau menampakkan giginya kerana itu akan membahayakan mereka.
Bagi mendapatkan lebih banyak pendedahan tentang langkah keselamatan Mama juga boleh daftarkan anak Mama ke program “Super Kids“ oleh Motherhood.com.my yang menawarkan pelbagai bengkel dan aktiviti menarik.
Para peserta juga berpeluang untuk mendapatkan Super Kids Activity Box PERCUMA, akses tanpa had ke pelbagai bengkel dan juga antara yang pertama mendapatkan diskaun serta tawaran terkini daripada Motherhood.com.my.
Sertai Super Kids bersama Motherhood.com.my sekarang!
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta petua yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk pelbagai info dan tips mengenai kesihatan bayi, Mama boleh rujuk di SINI!