Kawasan di halaman rumah biasanya digunakan untuk meletakkan kereta dan ampaian kain. Tetapi jika dimanfaatkan dengan sebetulnya, Mama sebenarnya boleh buat landskap di halaman rumah tau.
Walaupun dengan ruang yang kecil, Mama masih boleh mempunyai landskap idaman tersendiri.
8 Idea Landskap Halaman Rumah
Kalau Mama merancang untuk bina landskap di halaman rumah, kenalah fikirkan dulu. Idea dan tema macam mana yang Mama nak?
1. Berkonsepkan Minimalis Scandinavian
Kalau Mama sukakan pokok dan tumbuhan di halaman rumah tetapi tidak terlalu banyak, konsep minimalis Scandinavian sesuai untuk Mama.
Kualiti dan cara penjagaan pokok lah yang penting, bukan kuantitinya. Tanaman di halaman rumah ini boleh dilengkapi dengan set meja dan kerusi kayu untuk minum petang. Wooden material begini boleh menaikkan lagi seri konsep ini.
2. Bina Air Terjun atau Pancuran Air
Kalau ada kolam ikan di halaman rumah pun cantik kan? Bergantung kepada Mama sama ada ingin penuhinya dengan ikan ataupun tumbuhan akuatik.
Ramai juga yang memilih untuk meletakkan hanya tumbuhan air seperti bunga teratai yang cantik dan mengeluarkan bau yang harum. Tak semestinya ada ikan dan haiwan air lain seperti labi-labi.
Ada juga yang lebih suka untuk bina pancuran air sahaja. Damai dan menenangkan je apabila mendengar dan melihatnya.
3. Guna Rumput Asli atau Rumput Tiruan
Untuk Mama yang tidak sukakan lantai berkonkrit di halaman, bolehlah tanam rumput asli ataupun letak rumput tiruan.
Bergantung kepada cara Mama, bolehlah pilih yang mana Mama lebih suka. Kalau rumput asli, anda perlu menyiram dan menjaganya sentiasa. Kalau rumput tiruan pula, kos penjagaan tu memang tiada tapi lama-kelamaan, ia boleh rosak jika selalu terkena panas dan cahaya matahari.
Yang pastinya, kedua-duanya akan mengindahkan suasana di halaman rumah Mama. Kehijauan dan menyegarkan mata.
4. Guna Barang Yang Sedia Ada
Banyak je kan tin, botol, tayar dan plastik yang sedia ada yang mempunyai bentuk yang menarik? Sayang nak buang kadang-kadang tu.
Apa kata Mama gunakan semula untuk bina landskap idaman Mama? Mama boleh cat atau guna spray paint, untuk dapatkan warna dan tema yang Mama mahukan.
Ada je yang guna tangki terpakai untuk bina kolam ikan. Jimat lah sikit, tak perlu keluarkan kos lebih kan?
5. Konsep Taman Zen
Kalau Mama sukakan gaya estetik Jepun, bolehlah bina landskap halaman rumah berkonsepkan Taman Zen. Ringkas dan penuh dengan unsur semula jadi seperti batu, pasir, kerikil dan tumbuhan.
6. Konsep Taman Kaktus
Macam mana pula kalau Mama ingin menanam di halaman tapi tiada masa untuk penjagaan rapi? Haa.. konsep taman kaktus mungkin sesuai untuk Mama.
Yelah.. tumbuhan kaktus ni tak perlu penjagaan yang rapi sangat. Siraman air pun perlu kadang-kadang je. Sesuailah untuk mereka yang sibuk bekerja.
7. Bercucuk Tanam
Selain itu, ramai je kan yang ingin manfaatkan hasil tanah di halaman mereka? Jika begitu, sesuailah untuk Mama bercucuk tanam di halaman rumah.
Tak semestinya dengan berkebun itu, halaman rumah Mama kelihatan bersepah dan serabut. Sebenarnya boleh je bercucuk tanam dengan rapi yang akan membuahkan hasil. Tanam sawi, kubis, cili padi, tomato dan banyak lagi.
Tanaman Mama inilah yang akan menghiasi halaman rumah, kelihatan seperti kebun kecil idaman.
8. Konsep Melayu Tradisional
Landskap yang dipenuhi dengan pokok bunga kertas, bunga raya dan tumbuhan tropika pun indah kan?
Dibina pula gazebo yang diperbuat daripada buluh atau kayu dan dikelilingi pasu dan tempayan tembikar, memang penuh dengan ciri kemelayuan tradisional.
Konsep begini pun sering menjadi pilihan di Malaysia. Lagi-lagi jika rumah itu bertemakan Melayu tradisional juga.
DIY Landskap Halaman Rumah Sendiri
Kalau nak cuba bina sendiri landskap halaman rumah pun boleh. Banyak kos yang dapat dijimatkan nanti. Asalkan Mama rajin je, jom cuba buat!
1. Pilih Tema
Yang pertama sekali, Mama perlu pilih tema yang Mama inginkan untuk bina landskap sendiri. Melayu tradisional, taman Bali, taman Zen, minimalis Scandinavian, dan banyak lagi.
Bila dah jelas dengan idea dan tema yang Mama mahukan, bolehlah teruskan dengan susun atur landskap halaman rumah Mama.
2. Buat Pasu Guna Barang Terpakai
Tak perlu pun beli pasu kalau Mama tau buatnya sendiri menggunakan barang yang sedia ada. Botol, plastik, tayar atau polistren terpakai, boleh je digubah menjadi pasu kan?
3. Bina Kolam Sendiri
Sekarang dah ada banyak tutorial online untuk buat kolam guna bancuhan simen, sebagai contohnya. Mama boleh je buat ikut bentuk yang Mama nak dan jika ada tong besar atau tangki terpakai, boleh juga digubah menjadi kolam ikan.
4. Guna Rumput Tiruan
Nak tanam rumput asli pun bukanlah susah. Tetapi jika Mama tidak suka atau tiada masa untuk menjaganya, boleh je beli rumput tiruan.
Sekarang, di kedai atau di atas talian, banyak je yang dijual pada harga yang berpatutan. Tak semestinya ia diguna untuk di lantai, ada je yang kreatif menghias dinding guna rumput tiruan, seakan-akan taman tergantung gitu.
5. Guna Batu Sungai
Boleh juga serikan landskap Mama dengan susunan batu-batu sungai di sekelilingnya. Banyak batu sungai yang dijual sekarang, pelbagai warna pula tu.
6. Tanam Pokok Dan Tumbuhan Yang Sesuai
Mengikut saiz dan tema landskap Mama, pilihlah jenis pokok dan tumbuhan untuk ditanam. Dalam pasu atau di atas tanah, itu bergantung kepada kreativiti Mama ya.
Idea Untuk Landskap Halaman Rumah Idaman
Mengikut citarasa dan kesesuaian, bolehlah bina landskap halaman rumah Mama mengikut idea-idea di atas.
Kalau nak buat sendiri pun apa salahnya. Sekarang ni, bahan-bahan binaan dan hiasan pun senang untuk didapati.
Semoga berjaya!