“Dekat Malaysia, orang panggil aku lada benggala, cili benggala atau lada besar. Di luar negara pula aku dikenali sebagai bell pepper.”
Walaupun begitu nama yang tak asing lagi kita dengar ialah capsicum. Keunikan lada benggala ini diperolehi dari warnanya.
Jenis-jenis lada benggala mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Begitu jugalah dengan tips memilihnya.
Jenis Lada Benggala di Malaysia dan di Dunia
#1 Lada Benggala Hijau
Jenis lada benggala berwarna hijau boleh didapati dengan dua cara. Pertama, dipetik dari dahan pokoknya semasa masih muda. Kedua, berasal dari baka berwarna hijau.
Lada benggala hijau mempunyai rasa sedikit pahit dan memiliki tekstur yang rangup apabila dimakan. Tambahan pula, ianya mengandungi kurang nutrien berbanding jenis lain disebabkan dipetik lebih awal dan belum matang.
Menu masakan yang dicadangkan ialah salad, sandwich, spageti dan nasi goreng.
#2 Lada Benggala Kuning/Oren
Kalau nak dibandingkan dengan lada benggala hijau, lada benggala kuning sebenarnya kurang pahit berbanding jenis warna hijau.
Dari segi kandungan khasiat pula, tentulah ia lebih bernutrisi kerana dituai dalam tempoh sederhana matang.
Uniknya ladi, jenis lada benggala ini nampaknya lebih menyerlah dan masih mengekalkan warnanya walaupun ketika dipanggang.
#3 Lada Benggala Merah
Sama seperti cili biasa, warna merah akan cepat busuk berbanding warna hijau dan kuning. Walaupun begitu, ianya tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia dalam masakan.
Rasanya lebih manis serta sesuai untuk dipanggang, ditumis atau dibakar. Lagipun, tak hairanlah cili benggala merah menjadi pilihan ramai kerana ianya mudah didapati di pasaran Malaysia.
#4 Lada Benggala Ungu
Agak jarang kita jumpa lada benggala berwarna ungu kan? Jenis lada benggala ini boleh dimakan begitu sahaja atau dimakan segar tanpa perlu dimasak atau dijadikan salad.
Selain dari warnanya yang menaikkan selera makan, rasanya pun kurang manis dan lebih sedap berbanding lada benggala berwarna hijau.
#5 Lada Benggala Putih
Bagi Mama Siti, warna lada benggala jenis ini antara yang paling unik dari banyak-banyak jenis bell pepper.
Kita mulakan dengan rasanya. Rasanya lebih kepada sederhana manis manakala warnanya pula bermula dari putih krim hingga ke putih cerah.
#6 Lada Benggala Coklat
Satu lagi jenis lada benggala yang amat jarang ditemukan dalam pasaran Malaysia ialah yang berwarna coklat.
Cara hidangannya sesuai dimakan segar ataupun dipanggang seperti hiasan di atas pizza. Dari segi rasa, ianya mempunyai rasa yang manis.
#7 Lada Benggala Hitam
“Oh ada juga yang warna hitam ya?”
Sebenarnya, Mama Siti pun baru tahu tentang jenis lada benggala warna hitam. Lain dari yang lain. Jenis ini memberikan rasa sederhana manis dalam hidangan.
Lada benggala hitam kebanyakannya dijual di luar negara kerana Malaysia tidak menanam pokok ini secara komersial.
Tips Pilih Lada Benggala
#1 Warna dan Rasa
Lada benggala hijau: Rasa Pahit di hujung lidah. Tekstur yang lebih rangup kerana masih belum masak ranum.
Lada benggala kuning: Rasa buah-buahan. Kurang pahit berbanding warna hijau.
Lada benggala merah: Rasa agak manis dan paling sedap dimasak barbeku (BBQ), panggang dan dibakar.
#2 Jantan atau Betina
Tahukah Mama, lada benggala pun ada jantina jantan dan betina tau. Cara menentukan jantina lada benggala adalah dengan melihat di bahagian bawah atau ‘punggung’.
Tiga belahan menandakan adanya jantan. Manakala empat belahan adalah untuk yang betina.
Lada benggala betina mempunyai rasa lebih manis dari yang jantan. Tambahan pula, ianya juga sering menjadi pilihan dalam hidangan salad.
#3 Merah Cepat Rosak
Lada benggala yang berwarna merah mempunyai risiko cepat rosak berbanding jenis-jenis yang lain.
Ini kerana kita tidak tahu sama ada ianya berasal dari pokok lada benggala yang berwarna-warni atau dari baka warna merah.
Jika dipetik dari pokok berwarna-warni, lada benggala merah akan cepat rosak kerana ianya dituai ketika usia telah matang.
Tuntasnya, warna merah ialah yang paling popular dan paling sedap sekali. Paling penting pastikan Mama pilih lada benggala yang sesuai dengan rasa dan teksturnya.
Sudahlah cantik, banyak khasiat ada pelbagai rasa lagi tu.
Ada lebih banyak informasi herba dan tips tanaman di SINI!