Penyakit kudis buta amatlah mudah untuk dikesan hanya dengan melihat dan meneliti corak ruam yang terbentuk pada permukaan kulit. Ruam penyakit skabies sangat tipikal dan hanya bercorak bintik-bintik dan berketul-ketulan merah. Bagaimanapun, ada kalanya ruam penyakit kudis buta ini dikelirukan dengan ruam penyakit kulit yang lain, mungkin disebabkan oleh pembentukan corak ruam yang tidak jelas. Dalam situasi begini, seseorang perlu mendapatkan konsultasi doktor pakar kulit. Biasanya doktor akan kikis permukaan kulit yang terjejas dan kemudian cebisan kulit tersebut akan dihantar ke makmal untuk diuji kaji bagi memastikan dan mengesahkan jangkitan kutu kudis.
Seseorang individu boleh dijangkiti penyakit kudis buta sekiranya terdedah kepada kutu kudis walaupun dalam tempoh masa yang singkat iaitu hanya dalam 15 hingga 20 minit. Jika terdapat bilangan kutu kudis yang banyak pada permukaan kulit individu yang terjejas, maka transmisi kutu kudis antara kulit juga boleh berlaku dalam jangka masa cepat. Ia boleh merebak melalui perkongsian barangan peribadi seperti tuala, cadar, selimut dan pakaian antara seseorang individu yang terjejas dengan yang lain malah, kutu kudis juga mampu merebak melalui patung-patung permainan kanak-kanak dan sesetengah alatan perabot. Semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur boleh terdedah kepada jangkitan ini.
Kumpulan yang berisiko termasuk kanak-kanak berumur kurang dua tahun, orang tua, pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah, pesakit yang tidak boleh bergerak atau lumpuh atau pesakit yang tinggal di pusat-pusat jagaan tertentu seperti rumah orang tua. Wabak jangkitan kudis buta biasanya berlaku di tempat-tempat awam seperti taska dan tadika, sekolah, asrama dan pusat-pusat penjagaan di mana orang ramai kerap berhubungan dan berinteraksi antara satu sama yang lain. Bagaimanapun, kutu kudis hanya mampu kekal dan terus hidup selama 24 hingga 36 jam setelah berpisah daripada makhluk yang ditumpangi.
KUTU BETINA PUNYA ANGKARA
Kudis buta ataupun lebih dikenali sebagai skabies sebenarnya berpunca daripada serangan sejenis kutu atau hama yang dikenali sebagai Sarcoptes Scabiei. Merupakan sejenis mahkluk parasit iaitu suatu organisma yang hidupnya menumpang pada mahkluk hidup lain, ia merugikan mahluk hidup yang ditumpangi. Kutu kudis ini bersaiz amat kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Menurut kajian, kutu kudis mempunyai badan berwarna krim yang berbulu dan berduri serta memiliki empat pasang kaki. Biasanya, spesies kutu kudis betina bersaiz lebih besar (sekurang-kurangnya 0.4 milimeter × 0.3 milimeter) jika dibandingkan dengan spesies jantan (0.2 milimeter × 0.15 milimeter).
Menurut Pakar Dermatologi Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Sabeera Begum Kader Ibrahim, kutu betina inilah yang akan menggorek lapisan kulit untuk membentuk laluan atau terowong di bawah lapisan luaran kulit dan kemudian ia akan bertelur di dalam lapisan luaran kulit tersebut. Kutu betina ini mampu bertelur sebanyak 40 hingga 50 biji telur dalam seumur hidup.
“Selepas tiga hingga empat hari, telur-telur kutu akan menetas dan membentuk larva. Kemudian ia membesar menjadi kutu dewasa dan matang hanya dalam jangka masa 10 hingga 15 hari. Secara purata, bilangan kutu kudis yang boleh menyerang seseorang adalah dalam lingkungan 10 hingga 12 ekor.“
Pakar Dermatologi Pediatrik HKL, Dr. Sabeera Begum Kader Ibrahim
“Kebanyakan simptom atau gejala jangkitan kudis buta adalah disebabkan oleh tindak balas sistem imun seseorang individu terhadap kutu kudis ataupun terhadap telur, najis dan bangkai kutu kudis tersebut. Oleh itu, ruam dan rasa kegatalan yang timbul pada permukaan kulit sebenarnya berpunca daripada reaksi alahan badan terhadap kutu kudis,”
Pakar Dermatologi Pediatrik HKL, Dr. Sabeera Begum Kader Ibrahim
RAWAT
Kutu kudis boleh hidup selama-lamanya pada permukaan kulit seseorang jika tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Mereka yang wajar mendapatkan rawatan penyakit kudis buta ialah sesiapa yang telah dikesan dan disahkan berpenyakit kudis buta malah semua ahli keluarga serumah tangga, kenalan-kenalan yang rapat seperti rakan sekolah dan rakan sepejabat – walaupun mereka tidak menunjukkan apa-apa simptom penyakit kudis buta.
Ini kerana kudis buta amat mudah berjangkit melalui sentuhan dan simptom-simptom kudis buta hanya akan muncul dua hingga enam minggu setelah dijangkiti kutu kudis. Oleh itu, ada kalanya mereka sudah pun dijangkiti kutu kudis tetapi belum menunjukkan simptomnya lagi. Mereka juga berupaya untuk menjangkitkan kutu kudis kepada individu-individu yang lain.
ia boleh dirawat melalui pengunaan krim-krim khas mengikut kondisi pesakit. Krim-krim ini merupakan sejenis racun yang bertindak untuk membunuh kutu kudis pada permukaan kulit. Sapuan krim ini merupakan bentuk rawatan yang terbaik dan amat berkesan jika digunakan secara konsisten dan dengan cara yang betul mengikut arahan doktor.
Rawatan adalah berbeza bagi bayi, kanak-kanak, ibu yang mengandung, dewasa dan warga tua. Mereka yang bergaul rapat dan tinggal bersama individu yang telah dijangkiti penyakit kudis buta haruslah dirawat pada masa yang sama. Krim anti-scabies adalah racun dan perlu digunakan dengan cara selamat dan cermat. Walaupun, krim-krim anti-scabies membasmi atau membunuh kutu dengan berkesan, kegatalan boleh berlanjutan untuk beberapa minggu. Kegatalan ini disebabkan oleh tindakbalas imun badan terhadap bangkai-bangkai kutu. Doktor anda boleh merawat kegatalan ini dengan ubatan yang berlainan.
SIMPTOM
- Kegatalan
Simptom utama penyakit kudis buta ialah rasa kegatalan yang keterlaluan pada kulit sehingga meyebabkan keadaan yang tidak selesa. Ia selalunya berlaku pada waktu malam dan ini akan mengganggu tidur orang yang dijangkiti. Pada mulanya, rasa kegatalan hanya wujud setempat, khususnya bahagian telapak tangan tetapi akan merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain. Ia semakin teruk pada waktu malam atau selepas bermandi air panas. Individu yang terjejas dengan penyakit kudis buta boleh berasa gatal di seluruh badan walaupun dijangkiti dengan bilangan kutu kudis yang kecil sahaja.
- Ruam
Ruam penyakit kudis buta ini akan terbentuk dengan serta-merta pada permukaan kulit setelah rasa kegatalan muncul. Biasanya, ruam akan kelihatan berbintik-bintik dan berketul-ketulan kemerahan dan boleh muncul di mana-mana bahagian badan. Bahagian badan di mana ruam kelihatan jelas adalah pada kawasan lipatan kulit seperti di tangan dan kaki terutamanya di celah-celah jari, bahagian dalam paha, pusat, abdomen, punggung dan celah-celah ketiak. Bahagian yang tersebut menjadi tumpuan kutu kudis disebabkan suhu yang lebih tinggi berbanding kawasan lain di tubuh badan.
- Laluan atau terowong kutu kudis
Terowong atau laluan yang dibentuk oleh kutu kudis betina dapat dilihat pada permukaan kulit. Biasanya, ia kelihatan seperti garisan-garisan yang nipis, halus dan berwarna gelap sekurang-kurangnya dua hingga 10 milimeter panjang.Garisan-garisan ini biasanya dapat dilihat pada bahagian kulit yang longgar antara jari, bahagian dalam pergelangan tangan dan telapak tangan. Garisan-garisan ini juga boleh muncul pada bahagian-bahagian lain badan tetapi hanya akan timbul selepas wujudnya rasa kegatalan dan ruam.
- Kesan-kesan calar
Kesan calar juga boleh diperhatikan pada permukaan kulit dan mungkin disebabkan oleh kegiatan menggaru secara agresif, mengakibatkan bahagian permukaan kulit tersebut cedera dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada kulit.Kerosakkan pada kulit pula boleh menjadi parah dan akan terdedah kepada bakteria dan kuman yang lain. Kulit yang dijangkiti bakteria pula akan kelihatan merah, dan berinflamasi.
- Mengganggu penyakit kulit lain yang sedia ada
Penyakit kudis buta boleh menyebabkan simptom-simptom keadaan kulit yang lain untuk bertambah teruk, khususnya penyakit kulit gatal seperti ekzema dan juga psoriasis. Penyakit kudis buta juga akan menjadi lebih sukar untuk dikesan dalam situasi ini.