Kita sebagai tuan kucing kena cakna dengan kesihatan kucing-kucing yang dipelihara. Makanan dan vaksin sahaja tidak mencukupi, jangkitan kutu pun perlu sentiasa diperhatikan agar tidak merebak ke kucing kesayangan kita.
Kutu kucing boleh datang dari banyak sebab dan jenis-jenis kutu pun berbeza-beza. Kalau kucing Mama sudah dijangkiti, segera buat langkah-langkah menghilangkan kutu kucing dengan tips yang Mama Siti kongsikan nanti.
Punca Kutu Kucing
#1 Dijangkiti Kucing Lain
Kalau kucing Mama dalam kategori kucing outdoor yang dilepaskan bebas di luar rumah, kebarangkalian untuk dijangkiti kutu lebih tinggi berbanding kucing indoor.
Ketika kucing bersosial dengan kucing-kucing lain seperti kucing liar, kutu boleh berpindah-randah dari satu perumah ke satu perumah.
#2 Dijangkiti Tikus
Hubungan kucing dan tikus sebagai mangsa dan pemangsa memang lazim kita jumpa. Apa yang Mama perlu tahu ialah tikus berpotensi menyebarkan jangkitan kutu kepada kucing apabila kedua-duanya bulu tikus dan kucing saling bersentuhan.
#3 Melalui Manusia
Situasi ini jarang ditemukan tetapi itu tidak mustahil bagi manusia menjadi perantara jangkiti kutu kepada kucing.
Mungkin ada kutu yang hinggap pada kulit Mama beberapa jam sebelumnya. Tanpa Mama sedar kutu itu telah melompat ke kucing sebelum sempat menghapuskannya.
Jenis Kutu Kucing
#1 Kutu Telinga (Ear Mites)
Tanda-tanda kucing Mama dijangkiti kutu jenis ini ialah apabila ia sering menggaru-garu telinganya.
Saiznya yang lebih kecil dari kutu Ctenocephalides Felis Siklus dan kelihatan seperti kotoran hitam pada bahagian dalam telinga kucing.
#2 Kutu Bulu (Lice)
Agak sukar untuk mengenal pasti kutu jenis ini kerana sifat fizikalnya yang berwarna putih dan bersaiz sangat kecil berbanding jenis kutu lain.
Kutu ini sering hinggap di bulu kucing dimana ramai yang salah sangka dan menganggap ianya sebagai habuk dan debu.
#3 Kutu Babi (Ticks)
Dalam banyak-banyak jenis kutu, kutu babi ialah yang paling bahaya sekali kerana menyebabkan banyak penyakit merebak.
Manusia juga ada risiko dijangkiti kutu babi kerana ia suka menghisap darah dan susah ditanggalkan seperti kutu-kutu lain.
#4 Hama Kudis (Scab Mites)
Kutu scabies hidup di bawah lapisan kulit kucing. Jadi cara untuk mengenal pasti ada jangkitan adalah jika ada kurap atau seakan kerak di permukaan kulit kucing.
Jika hama kudis ini tidak segera dirawat, ia boleh merebak ke seluruh bahagian kulit kucing dan juga menjangkiti manusia.
#5 Ctenocephalides Felis Siklus
Dari mata kasar, kutu ini mempunyai saiz seperti semut kecil. Kutu Ctenocephalides Felis Siklus boleh mencapai sehingga satu tahun.
Jika Mama selak bulu-bulu kucing, kutu ini boleh kelihatan pada permukaan kulit dan berwarna hitam.
7 Tips Hilangkan Kutu Kucing
#1 Syampu Kutu
Mama boleh dapatkan syampu kutu di mana-mana kedai haiwan dan klinik veterinar berdekatan. Tips syampu kutu adalah dengan memandikan kucing dengan air suam untuk kesan ketara.
Kelebihan syampu kutu ialah ia mampu mematikan kutu dan telur kutu kucing serta-merta.
#2 Ubat Anti-kutu
Usaha tambahan menghapuskan kutu kucing adalah dengan meletakkan ubat anti kutu pada bulu-bulu kucing.
Ubat anti kutu tersedia dalam tiga variasi iaitu dalam bentuk serbuk bedak, ubat titis dan semburan.
#3 Sikat Bulu Kucing
Dapatkan sikat yang bergigi halus dan sikat bulu kucing dimulakan dengan tempat paling banyak kutu dan ke seluruh bahagian badannya.
Sediakan tisu basah, kertas atau air panas supaya mudah menghilangkan kutu dari sikat.
#4 Asingkan Kucing
Jika Mama ada lebih dari satu kucing di rumah, pastikan kucing yang dijangkiti tidak bergaul dengan kucing lain.
Selain itu, Mama perlu pastikan kucing kekal di dalam sangkar hingga ianya benar-benar telah sembuh dari jangkitan kutu.
Tujuannya adalah supaya kutu tidak hinggap di mana-mana perabot, permaidani atau anak-anak kita juga.
#5 Bersihkan Tempat Tidur Kucing
Dalam masa yang sama, Mama juga perlu bersihkan juga tempat tidur seperti tilam dan selimut kucing.
Rugilah kalau kucing dah bebas kutu tapi tempat tidurnya masih terjangkiti. Oleh itu, pastikan kedua-dua tempat tidur dan kucing diproses semaksima mungkin.
#6 Kolar Anti-kutu
Alat ini mengandungi bahan kimia tidak berbahaya untuk menghalau kutu dari badan kucing kesayangan Mama.
Tambahan itu, kolar anti-kucing juga mencegah kucing menjilat ubat kutu yang diletakkan pada badannya.
#7 Diperiksa Doktor Haiwan
Lebih baik jika kita serahkan masalah kutu kucing ini kepada individu yang lebih layak seperti doktor haiwan.
Di klinik haiwan, doktor yang petugas akan periksa tahap jangkitan dan mencadangkan kaedah paling sesuai dan berkesan untuk kucing Mama.
Selalunya kucing outdoor akan lebih mudah dijangkiti kutu berbanding kutu indoor. Namun begitu, jangan bimbang, ianya masih boleh dikawal dan dirawat dengan cara-cara yang telah Mama Siti kongsikan tadi.
Harap-harap kucing Mama terhindar dari jangkitan parasit itu.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan panduan dan info berguna yang lain di SINI.