KelabMama

Mama Suka Kunyah Ais Ketika Hamil? Pakar Pemakanan Jelaskan Kesan Ais Pada Sel Darah Merah

“Kenapa saya suka sangat kunyah ais?”

Kebanyakan wanita mempunyai persoalan yang sama. Kadang-kadang, Mama Siti pun suka juga! Misteri betul. Tetapi tidak mengapa, Puan Syaza, seorang Pakar Pemakanan yang berdaftar berbesar hati untuk kongsikan ilmunya bersama Mama!

Melalui posting di akaun Facebooknya, Pakar Pemakanan yang bertauliah ini menerangkan kemungkinan kenapa Mama suka kunyah ais dan kenapa Mama demand makanan pelik-pelik daripada encik suami seperti nak makan sabun lah, tayar lah. Aduuui, macam-macam. Tapi itu normal semasa kehamilan.

Nak tahu lebih lanjut? Haa, jom kita baca dulu!

Kesan Gemar Kunyah Ais Ketika Hamil

Kredit gambar: Medical Health News

Ramai ibu mengandung saya jumpa suka makan ais. Ada juga anak anak yg suka kunyah ais mcm gula gula dibuatnya.

Pernah saya berjumpa satu client yg paras Hb (sel darah merah) rendah sangat.

Saya pun tanya ‘Boleh saya tahu puan makan apa kebiasaannya? Rendah sangat Hb puan ni.’

Beliau menjawab, sejak dua menjak ni saya takda selera makan nak muntah je Puan Syaza, saya lalu kunyah ais je, jawab beliau sambil sengih sengih. Saya dalam hati, patutlah.

Apa Kaitan Kunyah Ais Dengan Paras Sel Darah Merah?

Kredit gambar: Medical News Today

1) Mengidam Bahan Bukan Makanan (PICA)

American Pregnancy Association menyatakan,

Jika wanita mengandung mengidam bahan bukan makanan (ais, tanah, sabun, ubat gigi) dan memakannya, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bayi yang dikandungnya.

Bahan yang diambil berkemungkinan boleh menghalang penyerapan nutrien (vitamin dan mineral) dalam makanan yang diambil oleh wanita tersebut dan boleh menjadi punca berlakunya kekurangan zat yang berterusan.

Selalunya tabiat mengunyah ais (pagophagia) sering dikaitkan dengan ibu hamil yg mempunyai rendah haemoglobin dlm darah (anemia). Jadi sebaiknya pergi periksa ya jika ada kenalan yg suka mengunyah ais ni.

2) Kalau Mengidam Makanan Pula?

Sebenarnya, penyebab berlakunya mengidam atau penolakan sesuatu jenis makanan semasa mengandung masih tidak diketahui.

Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai punca berlakunya mengidam.

Kredit gambar: Cleveland Clinic

Menurut seorang pengkaji, Siobhan Dolan berpendapat

mengidam atau penolakan semasa kehamilan sebenarnya merupakan satu faktor perlindungan, walaupun tiada data saintifik yang mencukupi untuk menyokong teori ini.

Perkara seperti peningkatan keperluan kalori serta zat makanan (nutrien) semasa kehamilan dan keperluan untuk pertumbuhan atau pembentukan janin merupakan alasan mengapa keadaan ini berlaku.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah saintis atau penyelidik menyatakan

perubahan hormon semasa mengandung turut memberi kesan kepada deria bau. Ini secara tidak langsung memberi kesan dalam pemilihan dan pengambilan makanan.

Mengidam sesuatu jenis makanan semasa mengandung turut dikaitkan sebagai petanda berlakunya kekurangan zat makanan atau nutrien.

Sebagai contoh, seseorang wanita hamil yang mengidam susu atau produk tenusu seperti keju menunjukkan kekurangan kalsium. Manakala mengidam makanan manis seperti coklat menandakan peningkatan keperluan kalori atau kekurangan vitamin B.

Kredit gambar: Happy Family Organic

Jadi apakah yang perlu dilakukan jika anda mengidam semasa hamil?

Jadi Apa Mama Perlu Buat?

Berikut adalah 6 langkah yang boleh anda lakukan:

  1. Makan makanan yang seimbang dan pilih makanan yang kurang lemak serta tinggi serat seperti produk bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran serta kekacang. Sekiranya anda makan secara sihat setiap hari, sesekali anda mengidam makanan yang kurang berkhasiat dan diambil dalam jumlah yang sedikit tidak menjejaskan keperluan zat yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan.
  2. Makan secara kerap dan boleh makan enam kali dalam sehari dalam jumlah yang sedikit tetapi mengenyangkan. Ini bagi membantu mengelakkan penurunan paras gula dalam darah sehingga sukar untuk mengawal keinginan untuk makan.
  3. Alihkan perhatian dengan keluar berjalan, bersembang, membaca atau menjauhi dapur anda atau kedai.
  4. Beri tumpuan kepada makanan yang rendah kandungan kalorinya.
  5. Sekiranya ingin makan ais krim, pilih ais krim yang diperbuat daripada yogurt rendah lemak yang disejuk beku atau sorbet.
  6. Sekiranya mengidam untuk makan kerepek kentang (bergoreng), pilih yang dibakar atau dipanggang dan kurang garam.

Nasihat Untuk Kebaikan Mama

Kredit gambar: PruBSN

Sekali lagi dinyatakan, adalah tidak salah untuk anda mengidam semasa mengandung. Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil makanan tersebut secara berlebihan.

Pengambilan makanan yang tinggi kalori terutamanya yang tinggi kandungan gula dan lemak atau minyak boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang berlebihan secara mendadak.

Pertambahan berat badan yang berlebihan akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit diabetes semasa mengandung dan masalah tekanan darah tinggi.

Dan jika anda mengidam bahan bukan makanan sila maklumkan pada doktor anda dan sentiasa ketahui status Hb anda.

Ketika kita hamil, macam-macam kita nak makan kan? Mama Siti faham, tetapi cuba ambil dengan moderasi dan ia untuk kesihatan Mama dan juga si manja juga! Ayuh kita terapkan amalan sihat supaya perjalanan kehamilan Mama berjalan dengan lancar. InsyaAllah dengan izin-Nya.