KelabMama

Kudis Buta 101! Kenali Punca, Simptom dan Cara Rawatan ‘Scabies’ Pada Anak-Anak

kudis buta

Kudis buta atau scabies ialah kegatalan pada kulit yang disebabkan oleh kutu Sarcoptes Scabiei yang menjadi parasit dalam tubuh badan seseorang. 

Penyakit kulit ini sangat mudah berjangkit melalui sentuhan kulit dari orang yang dijangkiti kepada individu sihat. Bagi kanak-kanak, sekolah dan taman asuhan sering menjadi tempat scabies merebak disebabkan aktiviti sosial antara kanak-kanak. 

Kanak-kanak yang dijangkiti kudis buta akan mengalami kegatalan kulit yang keterlaluan dan benjolan bernanah. Disebabkan penularannya berlaku dengan sangat pantas maka pesakit scabies perlu diasingkan sehingga penyakitnya sembuh. 

Punca-punca Terjadinya Kudis Buta Kepada Anak-Anak

#1 Kitaran Hayat Kutu

Kredit gambar: eMedicineHealth

Seekor kutu mempunyai jangka hayat sehingga satu bulan apabila hinggap di badan manusia. Kutu yang juga parasit dalam kulit manusia akan merampas nutrisi dalam tubuh badan dan bertelur. 

Selepas tiga atau empat hari telur akan menetas dan komuniti kutu akan meningkat jika tidak diberikan rawatan yang sepatutnya. 

#2 Aktiviti Sosial

Interaksi antara kanak-kanak ketika bermain mempercepatkan lagi penyebaran kutu. Kutu hanya memerlukan 15 hingga 20 minit untuk menghinggapi perumah yang baru. 

#3 Alat Permainan Kotor

Kredit gambar: Berita Harian

Kutu boleh hidup tanpa makanan dari satu hingga tiga hari. Disebabkan itulah alat permainan boleh menjadi lokasi transit kutu sebelum menjangkiti kanak-kanak lain. 

#4 Mengabaikan Kebersihan 

Tidak menggunakan sabun dan bermain di tempat yang terdedah dengan najis dan kotoran antara faktor terjadinya scabies.

Amalkan cucian tangan dan mandian menggunakan sabun untuk mencegah kutu hidup dalam kulit anak-anak. 

#4 Perkongsian Barangan Peribadi

Boleh jadi anak-anak ada membuat kontak dengan barang-barang peribadi rakan-rakannya seperti tidur di tilam, menggunakan selimut atau bermain dengan patung-patung milik rakan mereka. 

Ia juga boleh menyebabkan penyebaran kutu dari barang peribadi kepada anak Mama. 

Macam Mana Nak Tahu Anak Ada Kudis Buta?

#1 Kegatalan

Rasa gatal pada anak-anak akan bermula dengan satu kawasan dan lama-kelamaan ia akan merebak ke bahagian kulit yang lain. Terutamanya anggota badan yang sering disentuh. 

Ada sesetengah kes, anak akan rasa gatal diseluruh badan walaupun hanya terdapat satu kawasan yang dijangkiti sahaja. 

#2 Ruam

Bintik-bintik dan ketul-ketul merah bakal muncul di mana-mana bahagian badan. Ruam lebih ketara terutamanya di kawasan:

Anggota badan tersebut menjadi kesukaan kutu Sarcoptes Scabiei kerana suhunya yang lebih tinggi berbanding kawasan tubuh badan lain. 

#3 Garisan Bernanah

Garisan bernanah, dan berwarna gelap biasa dijumpai di celah jari-jemari, pergelangan tangan dan tapak tangan. Ia hanya akan muncul selepas simptom kegatalan dan ruam wujud. 

#4 Kesan Calar

Disebabkan rasa gatal melampau itu, anak-anak cenderung menggaru secara agresif. Jika dibiarkan ia mengakibatkan luka dan terdedah kepada jangkitan kuman yang lebih serius. 

“Jadi macam mana nak sembuhkan kudis buta anak saya ni Mama Siti? “

Jangan risau, berikut merupakan cara untuk merawat kudis buta secara klinikal dan semula jadi.

Rawatan untuk Kudis Buta

#1 Ubat Kudis Buta Krim dan Losyen

Kredit gambar: Everyday Health

Ubat kudis buta klinikal ialah krim sapuan dan krim losyen. Ianya lebih mudah didapati di klinik dan farmasi kerana terbukti berkesan menyembuhkan kudis buta dan mencegah penularan kepada kanak-kanak lain. 

Berikut Mama Siti kongsikan jenis ubat losyen dan krim untuk rawatan kudis buta:

  1. Losyen permethrin
  2. Krim gamma benzene hexachloride
  3. Losyen benzyl benzoate
  4. Losyen malathion
  5. Losyen atau krim crotamiton

#2 Rawatan Kudis Buta Dengan Bahan Semulajadi

Kredit gambar: The Magic Onions

#i Minyak Pokok Teh

Sifat antibakteria, anti radang, anti gatal dan acaricide minyak pokok teh terbukti berkesan dalam mengawal pelbagai jangkitan parasit.

#ii Gel Lidah Buaya (Aloe Vera)

Tindak balas gel lidah buaya mempunyai kesan yang serupa dengan sapuan Benzyl Benzoate. Tambahan pula, aplikasi gel lidah buaya dikatakan tidak mendatangkan kesan sampingan berbahaya.   

#iii Lada Cayenne

Kredit gambar: Medicine Net

Nama lainnya ialah cili pedas merah ialah alternatif merawat penyakit kudis buta. Rempah ini boleh mengurangkan kesakitan kronik pada tisu lembut disebabkan kandungan capsaicin.

Namun begitu, perlu diingat ya Mama supaya tidak meletakkan lada cayenne terlalu banyak kerana akan menyebabkan rasa pijar. 

#iv Minyak Cengkih

Kredit gambar: Biaya.info

Sifat antioksidan, antimikrobial, anestetik dan racun serangga ialah kriteria yang mampu menyembuhkan masalah kudis buta. Minyak cengkih tidak sekadar membunuh kutu dewasa tetapi juga mencegah telur kutu daripada bertelur.  

#v Minyak Nimba

Rutin mengoleskan minyak nimba juga boleh diamalkan untuk mempercepatkan proses penyembuhan kudis buta. Minyak ini mengandungi kesan antiradang, antibakteria dan analgesik.

Tips Penjagaan Anak Yang Dijangkiti Kudis Buta

#1 Mandi Air Suam 

Kutu kudis boleh dibunuh atau dikurangkan dengan mandian air panas dengan suhu 40℃ hingga 45℃. Pastikan anak-anak menggunakan sabun ke seluruh badan dan keringkan badan sebelum menggunakan ubat. 

#2 Mengasingkan Pakaian

Kredit gambar: The Zuriat

Sebaik sahaja pulang dari taska atau tadika, terus asingkan semua pakaian yang telah dijangkiti dengan pakaian ahli keluarga yang lain. 

Kutu kudis buta boleh berpindah melalui pakaian. Oleh itu, sentiasa cuci dan simpan baju anak-anak yang dijangkiti kudis buta secara berasingan. 

#3 Simpan Barang Dalam Plastik

Barang-barang yang tidak boleh di cuci hendaklah disimpan di dalam plastik selama seminggu untuk mematikan kutu. Ini kerana kutu kudis buta hanya boleh hidup 48 hingga 73 jam tanpa perumah iaitu kulit manusia. 

#4 Bersihkan Perabot

Kredit gambar: Better Homes & Gardens

Perabot di dalam rumah hendaklah dibersihkan dengan pencuci hampagas (vacuum cleaner) secara keseluruhan termasuklah kawasan yang jarang dicapai. 

Sebagai langkah keselamatan, basuh sarung perabot dan lap perabot dengan pencuci antiseptik seperti Dettol.  

#5 Rutin Tukar Alas Tidur

Sebaiknya, Mama Siti cadangkan agar alas tidur yang dibawa ke pusat jagaan kanak-kanak ditukar setiap minggu. Kelengkapan yang terlibat termasuklah selimut dan bantal. 

Kudis buta lebih mudah menjangkiti anak-anak di taska dan tadika ketika mereka bermain bersama-sama dan berkongsi barang peribadi secara tidak sengaja.

Anak-anak yang dijangkiti ‘scabies‘ mempunyai simptom, rawatan dan penjagaan khusus agar mereka segera sembuh. Semoga artikel ini membantu Mama memahami lebih lanjut tentang scabies yang menjangkiti anak-anak.


Dapatkan lebih banyak lagi informasi kesihatan di SINI!