Kecederaan lutut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan bukan hanya atlet profesional. Sama ada anda seorang yang aktif berlari, gemar bermain bola sepak atau melakukan aktiviti lasak seperti mendaki, pergerakan yang salah atau pergerakan secara mengejut boleh menyebabkan kecederaan serius terutama bahagian lutut.

Pakar Bedah Ortopedik dan Perubatan Sukan
di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC)
Bahagian lutut yang paling kerap terjejas adalah Ligamen Krusiat Anterior (ACL) dan meniskus, iaitu lapisan tulang rawan berbentuk C yang bertindak sebagai penyerap hentakan antara tulang paha dan tulang kering.
Meskipun begitu, ramai yang cenderung mengabaikan sakit lutut dengan harapan ia akan sembuh sendiri. Namun, sikap ini boleh membawa kesan jangka panjang yang lebih serius.
“Mengabaikan kecederaan ACL atau meniskus boleh menyebabkan lutut menjadi tidak stabil, sakit berpanjangan dan meningkatkan risiko artritis awal,” kata Dr Abdul Razak Hussin, Pakar Bedah Ortopedik dan Perubatan Sukan di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC).
Jadi, bagaimana kecederaan ini boleh berlaku, dan apa yang perlu dilakukan jika anda mengalaminya?
Bagaimana Kecederaan Ini Berlaku?

Kecederaan lutut boleh berlaku semasa anda melakukan aktiviti bersukan atau melalui pergerakan tiba-tiba yang memberi tekanan yang kuat kepada kaki seperti berpusing semasa kaki masih berpijak di tanah.
Ramai pesakit memberitahu mereka terdengar bunyi “pop” di lutut, diikuti dengan bengkak, sakit serta rasa longgar di lutut yang menyebabkan pergerakan harian mereka terbatas.
Dr Abdul Razak menjelaskan, ada pesakit yang masih mampu berjalan selepas kecederaan ringan, namun tanpa rawatan yang betul, sakit dan ketidakstabilan akan bertambah buruk dari semasa ke semasa.
Adakah Anda Memerlukan Pembedahan?
Bagi kecederaan ringan, ianya mungkin boleh pulih dengan fisioterapi, namun kecederaan ACL dan meniskus yang serius selalunya memerlukan pembedahan. Pemeriksaan awal seperti X-ray dan MRI digunakan untuk menilai tahap kerosakan.
“Sinar-X diperlukan untuk mengenal pasti sebarang patah tulang, terutamanya patah avulsi ACL yang memerlukan pendekatan rawatan berbeza. MRI pula membantu jika diagnosis tidak jelas atau terdapat kecederaan ligamen berganda,” jelas Dr Abdul Razak.
Jika kecederaan tidak dirawat, lutut boleh menjadi semakin tidak stabil, menyebabkan kerosakan meniskus yang lebih teruk dan akhirnya mengakibatkan artritis awal.
Apa yang Berlaku Semasa Pembedahan?

Rekonstruksi ACL melibatkan penggantian ligamen koyak dengan tisu tendon dari hamstring atau patella. Untuk kecederaan meniskus, pendekatan pembedahan bergantung kepada kondisi kecederaanya. Doktor akan membaikinya terlebih dahulu, tetapi jika kecederaan itu lebih serius, sebahagian daripada meniskus mungkin perlu dibuang.
Selepas pembedahan, kebanyakkan pesakit boleh berjalan menggunakan tongkat. Bagi mereka yang menjalani pembaikan meniskus mungkin perlu menghadkan aktiviti menanggung berat badan untuk melindungi proses penyembuhan. Pendakap lutut (Knee braces) juga perlu digunakan selama enam minggu bagi memberi sokongan tambahan.
Berapa Lama Sehingga Anda Kembali Aktif?
Pemulihan adalah proses penting yang memerlukan masa. Kembali bersukan terlalu cepat boleh menyebabkan komplikasi atau kecederaan berulang. Dr Abdul Razak menasihatkan agar kembali kepada sukan berimpak tinggi hanya selepas setahun bagi memberi masa yang mencukupi untuk proses penyembuhan semula jadi dan pemulihan otot.

Beliau menekankan kepentingan pemulihan selepas pembedahan dengan menjelaskan bahawa kemajuan moden seperti perancah bioaktif dan plasma kaya platelet (PRP) telah meningkatkan hasil pemulihan dengan ketara.
“Inovasi ini membantu mempercepatkan proses penyembuhan dan meningkatkan pertumbuhan semula tisu,” tambahnya. “Kami juga melihat hasil yang memberangsangkan dengan terapi sel stem dan pemulihan menggunakan realiti maya, yang menjadikan sesi fisioterapi lebih berkesan dan menarik bagi pesakit.”
Apa yang Perlu Dilakukan Jika Anda Mengalami Kecederaan?
Tindakan awal adalah langkah penting untuk mengelakkan komplikasi jangka panjang. Dr Abdul Razak menasihatkan agar individu peka terhadap simptom seperti sakit lutut berterusan, bengkak, dan ketidakstabilan.
Jika tanda-tanda ini muncul, rawatan perubatan dengan segera boleh mempercepatkan proses pemulihan.
“Kecederaan lutut sering berlaku secara tidak sengaja dan sukar dielakkan. Namun, memahami punca kecederaan dan mengenal pasti simptom awal boleh membantu individu mendapatkan rawatan yang betul sebelum keadaan menjadi lebih teruk,” jelasnya.
Dengarkan Lutut Anda
Kecederaan lutut tidak seharusnya diabaikan. Jika anda mengalami sakit, bengkak atau rasa ketidakstabilan, segera berjumpa dengan pakar bagi memastikan rawatan awal dan mengelakkan komplikasi jangka panjang.
Dr Abdul Razak menekankan bahawa pemulihan yang berjaya bukan hanya bergantung kepada pembedahan, tetapi juga memahami kecederaan, mengikuti program pemulihan yang betul dan mengambil langkah yang tepat untuk proses penyembuhan. “Matlamat utama adalah untuk memulihkan fungsi, mencegah kerosakan lanjut dan memastikan pesakit kembali menjalani aktiviti harian tanpa rasa sakit,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari Pusat Perubatan Ara Damansara.
Dapatkan lebih banyak berita dan acara yang menarik dan terkini sekarang di SINI.