KelabMama

Perhatian Papa! Tolong Banyakkan Komunikasi Dengan Anak-anak Demi Perkembangan Mereka

Ibadah korban adalah bersempena dengan mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya. Mama dah faham ke erti sebenar pengorbanan ni? Bagaimana pula dengan suami dan anak-anak Mama?

Daripada kisah Nabi Ibrahim a.s tersebut, terdapat banyak pengajaran yang kita boleh belajar. Dan antara salah satunya adalah kesan komunikasi antara bapa dan anak.

Untuk lebih memahami hal ini, Dr Luqman yang sering kongsikan ilmu keibubapaan di media sosial turut kongsikan mengenai kepentingan komunikasi seorang bapa dan kesannya pada emosi serta tingkahlaku anak-anak.

Jom baca di bawah~

Dasyatnya Kesan Emosi Dan Tingkah Laku Anak

Rupa-rupanya kita bukan je boleh belajar tentang erti pengorbanan daripada kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Bahkan kita siap dapat lihat pentingnya kemahiran komunikasi seorang bapa dan betapa dasyatnya kesan pada emosi serta tingkahlaku anak.

“Ramai sebenarnya masih tak sedar yang skill komunikasi seorang ayah boleh beri efek yang sangat dasyat pada anaknya sendiri! Cubalah tengok cara Nabi Ibrahim berkomunikasi anaknya Nabi Ismail.”

Berputar ligat otak saya duk fikir masa mula-mula dengar perkataan ni keluar dari mulut seorang ustaz popular ni. Tapi lepas tu perasaan saya bertukar jadi teruja bila ustaz mula kisahkan tentang teknik yang Nabi Ibrahim terapkan masa nak besarkan Nabi Ismail.

Punyalah dasyat skill parenting Nabi tu, sampaikan anaknya betul-betul patuh dan hormat habis pada ayah dia. Hingga bila turun arahan nak disembelih pun, si anak sanggup untuk turuti perintah tu.

Salah satu teknik superb tu ada diceritakan dalam Surah As-Shaffat, ayat ke 102.

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata:

“Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

Anaknya menjawab:

“Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Penuh Dengan Ungkapan Kasih Sayang

Rupa-rupanya tiap kali bercakap dengan Nabi Ismail, baginda akan gunakan perkataan yang penuh dengan ungkapan kasih sayang.

Siap panggil “Ya Bunayya” atau “Wahai anakku sayang” lagi. Kemudian bila nak sampaikan perintah Tuhan untuk sembelih anaknya tu, Nabi tak lah terus lontarkan arahan tapi baginda mintak dulu pendapat si anak tentang perkara tersebut. Fuh!

Patutlah si anak mudah nak dengar kata dan respect pada orang tuanya. Memang kalau ikutkan kajian pun, ayah yang supportive, penyayang dan caring ni akan berikan kesan besar pada emosi, fungsi kognitif, pencapaian akademik dan jugak tahap keyakinan diri dalam diri anak.

Sebab tu kita kena ambil berat betul bab berkomunikasi dengan anak kita ni kalau nak si kecil tu membesar dengan akhlak yang hebat.

Elakkan lebih banyak screen contact dengan smartphone sebab nanti emosi anak kita akan rasa tercedera.

Barulah dia dapat lihat mimik muka dan pergerakan mulut parents. Dari situlah nanti dia belajar skill bertutur dengan lebih baik.

Banyak yang kita boleh pelajari daripada kisah Nabi Ibrahim dan anaknya bukan sahaja tentang pengorbanan, tentang kemahiran komunikasi dengan anak-anak pun ada. Bagaimana komunikasi Mama dan Papa dengan anak-anak?

Berdasarkan perkongsian Dr Luqman ini, penting untuk kita sebagai ibu bapa untuk sentiasa komunikasi dengan anak-anak. Bukan maknya sahaja tau! Papa pun kena mainkan peranan penting. Papa juga harus sentiasa berbual dan ‘berkenalan’ dengan anak-anak yang sedang membesar setiap hari kerana percayalah, tiap hari, ada benda baru tentang mereka.

Terima kasih Dr Luqman atas perkongsian petua untuk berkomunikasi dengan anak.

Pesan Mama Siti:

Pengorbanan ibu bapa memang tiada tandingannya. Kita sebagai ibu bapa perlu mengenali anak-anak kita lebih mendalam. Pastikan mereka selesa dan rasa selamat untuk kongsikan masalahnya mereka. Selamat maju jaya Mama!