Pemilihan warna bagi ruangan di dalam rumah memberikan impak berbeza kepada individu yang tinggal di rumah tersebut. Berbanding dengan menggunakan hanya satu warna cat sahaja, terdapat pilihan lain iaitu dengan menggabungkan dua warna untuk mengisi sesebuah ruangan.
Kombinasi dua warna yang sepadan menaikkan lagi seri di dalam rumah. Selain itu, ia memberikan perubahan dari segi pencahayaan, mood dan vibe.
Warna cat dinding juga mempengaruhi dekorasi serta perabot yang bakal diisi di kemudian hari. Kalau silap percaturan, Mama boleh pening nak susun atur perabot dan buat dekorasi.
Oleh itu kali ini, Mama Siti bawakan 13 idea kombinasi warna cat rumah terkini bagi tahun 2022.
Kombinasi Warna Cat Rumah Yang Menarik & Terkini
- Kombinasi Warna Neutral
Warna-warnanya terdiri dari putih, krim, emas dan perak. Kata lain dari kombinasi warna neutral ini ialah ‘earth colour’.
Gabungan warna ‘earth colour’ memberikan kesan mewah dan kasual pada satu masa. Sebaiknya, tema warna ini dipilih di ruangan yang mempunyai pencahayaan yang baik.
Cahaya yang masuk ke ruangan rumah akan dipantulkan kembali oleh perabot dan aksesori yang lain.
- Warna Dingin
Apakah contoh cat warna dingin ni?
Namanya di inspirasikan oleh laut, rumput dan langit. Senang kata, warna-warna berasaskan alam semula jadi lah.
Gabungan warna dingin ini terdiri dari warna hijau dan krim dan juga gabungan warna biru lembut dan ungu.
Kombinasi warna dingin sesuai dipilih untuk bilik tidur, ruang tamu serta di klinik dan hospital. Keistimewaan gabungan warna ini ialah dari segi hiasan dalamannya.
Memandangkan ianya mengetengahkan konsep minimalis, maka perabot untuk ruangan ini cukup sekadar yang perlu sahaja. Aksesori lain yang kurang berfungsi sebaiknya tidak dimasukkan ke dalam bilik.
Dari segi pencahayaan. Ini tip penting yang perlu dititikberatkan.
- Dengan pencahayaan yang mencukupi, ia dapat menonjolkan lagi kesegaran gabungan 2 warna tadi
- Manakala jika tiada cahaya semula jadi, bilik atau ruang tamu tadi boleh digantikan dengan lampu bunyi untuk mendapatkan nuansa yang lebih nyaman.
- Cherry dan Brass
Gabungan warna merah ceri dan kuning menampakkan kemewahan ruangan ini. Bagi Mama Siti, mereka yang memilih warna merah sebagai cat dinding ni seorang yang berani.
Bukan apa, kata orang warna merah ceri ni buat rumah kita jadi gelap.
Ternyata dengan susun atur yang sesuai dan pemilihan perabot, mampu memberikan suasana rileks dan cantik.
- Kuning Matahari dan Pic
Kalau anda nak cuba warna baru tetapi masih dalam tona warna yang sama, apa kata pilih dua warna dari skim warna cat dinding di bawah.
Walaupun terdapat dua warna berbeza, bilik Mama masih kelihatan kemas dan menaikkan mood apabila seharian penat bekerja.
Secara psikologinya, warna kuning memberikan kesan ceria dan bahagia. Warna seperti ini dicadangkan sebagai cat di bahagian dapur.
Memandangkan warnanya yang cerah, jadi ia perlu dilembutkan dengan warna pic. Warna kedua ini menstabilkan nuansa bilik atau ruangan Mama.
- Lime Green dan Pink
Kombinasi warna merah jambu dan hijau, tak lain tak bukan untuk anak-anak perempuan lah kan.
Kedua-dua warna ni memberikan aura positif kepada sesiapa sahaja yang masuk ke bilik ini. Gabungan dua warna lembut, seolah-olah membuatkan kita mengecas kembali tenaga.
Jadi memang padanlah kalau Mama pilih warna lime green dan pink untuk bilik anak-anak. Sebab padanan warnanya kalau diterjemahkan seperti memberitahu seseorang untuk menghargai nilai alam dan tidak melupakan arus kemodenan.
- Hijau dan Off-White
Perhatian kepada Mama yang sukakan tema alam semulajadi. Mama Siti rasa cat dinding kita kali ini mungkin menjadi pilihan teratas Mama dalam pembaharuan warna dinding nanti kan?
Kombinasi warna hijau dan off-white bebas digunakan di bahagian ruang tamu, bilik bacaan dan juga bilik tidur. Lihat sahaja perpaduan warnanya, sungguh menenangkan.
Oh ya, ada satu lagi perkara berkenaan warna off-white. Tahukah anda, ia menonjolkan kesan elegan dan minimalis.
Kalau ditanya pada Mama Siti, inilah gabungan warna yang dicari-cari selama ini. Maklumlah, Mama Siti kan ‘nature people’.
- Putih dan Kelabu
Ada yang beranggapan apabila dua warna ini disatukan, ia mungkin mengakibatkan bilik menjadi kusam. Lihat saja dalam gambar di atas. Buktinya ia masih lagi cantik jika kena dengan reka bentuk dinding.
Warna kelabu dan putih boleh membuatkan ruangan terlihat formal dan profesional. Selain digunakan sebagai hiasan dalaman rumah, kombinasi warna ini juga sesuai untuk restoran dan lobi hotel.
- Kuning dan Kelabu
Walaupun warna kuning ialah warna terang namun dengan gabungan warna kelabu, ia mampu melembutkan nuansa ruangan.
Kombinasi warna ini sesuai diaplikasikan di ruang tamu kerana kesan keceriaan yang dibawa oleh warna kuning tadi. Tambahan pula, ia boleh membawa seseorang ber awangan ke alam bebas yang menyamankan.
- Ungu dan Merah Jambu Gelap
Padanan warna yang satu ni pun Mama Siti berkenan juga. Warna ungu menyerlahkan aura semangat manakala warna merah jambu memberikan mood yang menenangkan.
Kalau Mama pilih kombinasi tona warna ini, ia memberikan nuansa yang lebih ramah. Sekaligus membuatkan tetamu merasa dekat dengan tuan rumah.
Apabila di bilik tidur, ia menaikkan mood romantis dan bahagia. Rekaan dalaman nya menjadi lebih minimalis dan ringkas.
- Putih dan Oren
Gabungan warna yang terkini dan trending. Warna oren menciptakan suasana ceria, lebih-lebih lagi bagi individu yang berkeluarga.
Ia boleh diaplikasikan di ruang tamu dimana keluarga menghabiskan masa bersama. Manakala ia mampu menaikkan mood seseorang.
- Biru dan Krim
Kombinasi warna yang sangat menarik di ruang makan. Menurut Livespace, warna biru dan krim sebagai simbol perkembangan kendiri seseorang.
Jadi, Mama Siti rasa gabungan warna ini sangat sesuai untuk Mama yang tinggal sendirian dan sedang berusaha membangunkan kehidupan.
Seperti istilah orang barat ‘independent woman’. Apa lagi, ayuhlah kita kobarkan semangat lagi dengan mendekorasi rumah idaman masing-masing.
- Emas dan Beige
Keistimewaan warnanya membuatkan kita rasa tenang dan segar. Selain itu, ia menambah suasana alam semula jadi terutamanya dibilik tidur.
Tambahan itu, ia juga memberikan kesan natural. Untuk menambahkan nuansa alam, Mama boleh letakkan tanaman hiasan di sudut bilik tidur.
- Hitam dan Ungu
Warna hitam sinonim dengan elemen elegan. Namun begitu dengan padanan dengan warna ungu, suasana di dalam bilik menjadi lebih damai.
Ini kerana warna ungu sering memberikan kesan yang lembut sekaligus mampu menurunkan warna gelap dan menjadikan ruangan lebih menenangkan.
Itulah tadi 13 idea kombinasi warna cat ruangan rumah khas untuk rumah anda. Apa-pun, pilihan di tangan Mama. Pilihlah mengikut citarasa. Asalkan itu membahagiakan Mama, apa salahnya. Selamat berdekorasi. Okay, jom kita belajar tips memilih warna cat rumah pula!