Bila dah tak dapat makan macam-macam, barulah teringin nak makanan barat lah, makanan arab. Lauk kampung pun tak dilupakan. Kali ini Mama Siti nak kongsikan resepi lauk kampung yang sedap dan mudah untuk disediakan.
Bahan-bahannya pula agak serupa dengan menu kampung yang lain. Jadi, tak adalah rugi dan ambil masa setiap kali nak siapkan bahan masakan.
Lagipun Mama Siti tahu, ada antara pembaca dekat sini seorang ibu dan pengurus keluarga yang sangat sibuk. Mana nak uruskan anak, nak kerja lagi, kalau masih ada orang tua, lagilah kena uruskan mereka pula.
Baik, tema kita kali ini adalah berasaskan ikan, sayur dan daging. Kalau ahli keluarga Mama suka ketiga-tiganya, mudahlah kerja kan. Tak perlu nak fikir masak lauk berasingan lagi.
Ayuh kita mulakan dengan resepi yang pertama.
Menu 1: Ikan Jenahak Masak Cuka
Resepi oleh: Cempaka Iris Yaya
BAHAN-BAHAN
- Ikan Jenahak
- Bawang Besar
- Bawang Kecil
- Bawang Putih
- Cili
- Halia
- Kunyit
- Garam
- Asam Keping
- Cuka
CARA-CARA
- Cuci bersih hingga bersih dan gaulkan dengan kunyit dan garam.
- Goreng ikan sehingga masak. Angkat ikan dan ketepikan.
- Sediakan bahan-bahan untuk memasak seperti bawang besar, bawang kecil, bawang putih dan cili.
- Tumiskan bahan-bahan tadi diatas minyak panas hingga naik bau.
5. Tambahkan kunyit, sedikit air dan asam keping. Kacau merata.
6. Tiba masa untuk elemen utama kita, cuka. Kacau sebentar dan siap untuk dihidangkan.
Tips
- Kalau anda sukakan ikan yang garing, biarkan ianya dalam kuali sehingga garing.
- Selain tunggu hingga bahan tumisan naik bau, boleh juga tambahkan air apabila bawang sudah layu dan sedikit garing.
Menu 2: Ikan Singgang
Resepi oleh: Mohd Rozmie
BAHAN-BAHAN
- Ikan Curut/ Ikan Kembung
- Bawang Putih
- Bawang Merah
- Kunyit
- Halia
- Asam Keping
- Cili Padi
- Cili Merah
- Serai
- Kacang Bendi
CARA-CARA
- Sediakan bahan-bahan seperti di bawah untuk memudahkan proses memasak.
- Tambahkan air secukupnya mengikut citarasa anda. Kalau sukakan masakan berkuah, boleh tambah banyak air. Seterusnya, masukkan semua bahan hirisan seperti bawang putih, bawang merah, kunyit dan halia. Masukkan serai dan asam keping.
- Gunakan api perlahan. Tutupkan periuk, dan tunggu hingga kuah mendidih.
- Setelah mendidih, tambahkan gula, garam dan penambah rasa secukupnya.
- Mesti tak perasan kan, kita tak bubuh pun lagi ikan dalam masakan kita ni. Selepas itu, barulah kita masukkan ikan tadi.
- Biarkan ikan masak terlebih dahulu dan masukkan bendi.
- Lauk ikan singgang kita siap untuk dihidangkan.
Tips
- Boleh hidupkan api semasa air dituang atau selepas bahan-bahan dimasukkan.
- Kenapa masuk bendi lambat? Sebab tak nak bendi layu sangat. Tak sedap nanti.
- Boleh gantikan bendi dengan timun.
Menu 3: Daging Masak Hitam
Resepi oleh: Rusfaniza Abu Yazid
BAHAN-BAHAN
- Daging
- Kicap Manis
- Kicap Pekat
- Cili Kering
- Bawang Besar
- Bawang Putih
- Halia
- Serai
- Buah Keras
- Kismis
- Jintan Manis
- Lada Hitam
CARA-CARA
- Daging yang telah dipotong kecil akan diperap dengan mencampurkan kicap manis dan kicap pekat serta cili kering selama 2-3 jam.
- Kisarkan bahan ini kepada 2 bahagian. Kisarkan bawang besar, bawang putih dan halia. Bahagian kedua, kisarkan serai, kismis, buah keras, jintan manis, lada hitam.
- Panaskan minyak dan tumis 4 sekawan dan masukkan bahan kisar yang pertama tadi.
- Setelah naik bau dan sedikit garing masukkan bahan kisar yang kedua pula.
- Setelah pecah minyak, masukkan daging. Peringatan! Jangan tambahkan air, daging akan keluarkan air. Nanti air terlalu banyak.
- Masak hingga kering. Jangan lupa tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya. Dah siap dah lauk kenduri kita.
Tips
- Kalau nak daging cepat masak potong kepada bahagian kecil.
- Cara kedua, rebus dulu daging kemudian baru perap dengan kicap.
Menu 4: Masak Lemak Labu Udang
Resepi oleh: Maryam Hussain
BAHAN-BAHAN
- Labu
- Bawang Kecil
- Bawang Putih
- Kunyit Hidup
- Serai
- Udang
- Cili Besar
- Santan Segar
- Lada Hitam
CARA-CARA
- Tumbuk kasar bawang kecil, bawang putih dan kunyit hidup.
- Rebuskan labu dan udang hingga labu separuh masak.
- Selepas itu, masukkan serai dan bahan yang telah ditumbuk tadi dan kacau sekata.
- Tiba masanya untuk masukkan santan. Anda boleh ikut citarasa masing-masing sama ada nak pekat atau sedikit cair.
- Tambahkan lada hitam dan cili besar. Apabila sedikit mendidih, tutup api dan siap untuk dihidangkan.
- Masak lemak labu kita dah sedia untuk dihidangkan.
Tips
- Jangan sampai labu terlebih masak, jadi terlalu lembik nanti.
Menu 5: Kerabu Pucuk Paku
Resepi oleh: Bahiah Saripuddin
BAHAN-BAHAN
- Pucuk Paku
- Kelapa Parut Dimayang
- Santan
- Bawang Merah
- Lada Hitam
- Ikan Selayang
- Garam
- Gula
CARA-CARA
- Celurkan pucuk paku dalam air yang mendidih. Kacaukan hingga pucuk paku bertukar warna dan saringkan.
- Untuk kelapa. 1 bahagian kita akan kisarkan dengan 1 cawan air untuk dibuat santan manakala 1 bahagian lagi kita goreng tanpa minyak (dimayang) hingga kekuningan.
- Tumbukkan lada hitam, bawang merah dan isi ikan selayang.
- Masukkan kelapa yang dimayang ke dalam mangkuk dan gaulkan bersama bahan tumbuk diatas. Tambahkan perasa seperti garam dan gula.
- Tiba masa untuk masukkan pucuk paku dan gaulkan hingga sebati. Apabila telah sebati, boleh tambahkan santan.
- Kerabu pucuk paku kita dah siap dihidangkan. Selamat mencuba.
Tips
- Nak tahu kelapa dan siap digoreng atau belum, bila kita pegang dia akan senang dihancurkan dan teksturnya pun rangup.
Alhamdulillah, kali ini kita dapat 5 resepi masakan kampung. Kalau tanya Mama Siti mana yang paling mengiurkan mestilah ikan singgang tu sebab Mama Siti suka masakan berkuah. Lagi banyak kuah lagi sedap. Mama jangan lupa cuba ya.