Lebih kurang beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Ramadan, namun adakah Mama Papa sudah menggantikan puasa yang tertinggal? Bagaimana pula dengan kadar bayaran fidyah sekiranya belum sempat menggantikannya?
Mungkin ada Mama Papa yang sudah biasa dengan konsep fidyah, dan ada juga yang baru mengenalinya. Bagi yang masih keliru tentang cara pengiraannya, Mama Siti akan terangkan dengan lebih jelas.
Jom kita lihat cara pengiraan fidyah yang tepat agar Mama Papa dapat melaksanakannya dengan mudah dan betul.
Hukum Fidyah
Hukum membayar fidyah adalah WAJIB. Jumlah bayaran perlu mengikut bilangan hari puasa yang telah ditinggalkan. Jika kewajipan ini diabaikan, ia dianggap sebagai hutang kepada Allah SWT.
Jumlah fidyah perlu dibayar mengikut bilangan hari yang tidak berpuasa, dan jika kewajipan ini diabaikan, ia dianggap sebagai hutang kepada Allah SWT.
Lebih lama fidyah tidak dibayar, jumlah bayarannya akan berganda mengikut bilangan tahun yang tertangguh.
Jadi, penting untuk Mama Papa memastikan kiraan fidyah dilakukan dengan teliti supaya pembayaran yang dibuat menepati jumlah sebenar serta dapat menyelesaikan tanggungan yang ada tanpa sebarang keraguan.
Bagaimana Bayaran Fidyah Dilakukan?
Bayaran fidyah perlu dibuat berdasarkan harga semasa beras serta kadar yang ditetapkan di kawasan tempat tinggal Mama Papa.
Fidyah ini hendaklah diberikan dalam bentuk beras kepada golongan fakir dan miskin, bukan dalam bentuk wang tunai, pakaian, atau barangan lain. Kadar bayaran fidyah bergantung pada jenis beras yang dimakan, iaitu RM2, RM4, atau RM6 sehari.
Sekiranya Mama Papa biasa makan beras putih import, beras perang, beras pulut, atau beras wangi, kadar bayarannya adalah RM4 sehari.
Manakala bagi Mama Papa yang memakan beras basmathi, beras Jepun, atau beras merah, kadar bayarannya pula RM6 sehari.
Namun, kadar ini mungkin berbeza mengikut negeri. Jadi, Mama Siti sarankan Mama Papa untuk merujuk pusat zakat negeri masing-masing bagi mendapatkan nilai fidyah yang tepat.
Bagi Mama Papa yang tinggal di Selangor, Mama Papa boleh menggunakan kalkulator fidyah Selangor untuk memudahkan proses pengiraan dengan lebih mudah.
Golongan yang Wajib Membayar Fidyah
1. Mama Mengandung atau Menyusu
Bagi Mama mengandung atau sedang menyusu, kewajipan membayar fidyah perlu dilakukan mengikut jumlah hari puasa yang Mama tinggalkan.
Kadang-kadang, disebabkan oleh alahan semasa mengandung atau kurang tenaga akibat menyusukan bayi, ada situasi di mana Mama terpaksa berbuka atau hanya dapat berpuasa separuh hari.
Dalam kes seperti ini, walaupun tidak dapat berpuasa sepenuhnya, Mama tetap perlu membayar fidyah untuk menggantikan puasa yang tidak dapat dilaksanakan.
Contohnya, Mama mengandung hanya dapat berpuasa selama 15 hari daripada 30 hari dalam sebulan. Mama perlu membayar fidyah bagi 15 hari yang ditinggalkan.
Contoh Pengiraan
Bilangan Hari tidak berpuasa x Kadar Fidyah |
15 hari x RM6.00 Jumlah Fidyah: RM90.00 |
2. Uzur untuk Berpuasa Wajib
Fidyah adalah jalan penyelesaian yang diberikan kepada mereka yang tidak lagi mampu menunaikan ibadah puasa atas sebab-sebab tertentu, seperti mengalami masalah kesihatan serius atau faktor usia yang menyebabkan mereka lemah.
Termasuklah warga emas yang sudah nyanyuk dan tidak lagi sedar tentang kewajipan berpuasa. Dalam keadaan ini, fidyah perlu dibayar tanpa perlu menggantikan qada puasa yang ditinggalkan.
Bagi mereka yang berada dalam situasi ini, Allah memberikan kelonggaran dengan hanya perlu membayar fidyah tanpa perlu menggantikan puasa qada.
Sebagai contoh, sekiranya ibu ayah kepada Mama Papa telah nyanyuk dan tidak lagi sedar akan tanggungjawab berpuasa, jadi Mama Papa perlu membayar fidyah untuk setiap hari yang tidak dapat berpuasa untuk mereka.
Contoh Pengiraan
Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah |
30 hari × RM6.00 Jumlah Fidyah: RM180.00 |
3. Orang yang Sengaja Meninggalkan Puasa Ramadan
Bagi mereka yang masih belum menggantikan puasa sehingga masuk Ramadan berikutnya, fidyah perlu dibayar sebagai denda selain wajib menggantikan qada puasa yang ditinggalkan.
Perlu diingat, jumlah fidyah tersebut akan berganda sekiranya puasa terus tertangguh dari tahun ke tahun.
Sebagai contoh, kalau Mama Papa ada lima hari puasa tertinggal pada Ramadan tahun lepas tetapi Mama Papa terlupa nak ganti sebelum Ramadan seterusnya, Mama Papa perlu bayar fidyah untuk lima hari itu dan tetap wajib qada’ puasa tersebut.
Kalau Mama Papa tangguh lagi sampai tahun berikutnya, fidyahnya akan berganda—dua kali lipat daripada jumlah asal.
Contoh Pengiraan
Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah |
5 hari × RM4.00 Jumlah Fidyah: RM20.00 |
Mama Papa boleh berikan fidyah ini kepada keluarga Mama Papa yang bukan dibawah tanggunggan seperti adik-beradik, ibu dan bapa saudara dan yang selayaknya boleh diberikan fidyah.
4. Orang yang Telah Meninggal Dunia
Mama Papa boleh menunaikan fidyah bagi ahli keluarga yang telah meninggal dunia sekiranya Mama Papa tahu jumlah hari puasa yang ditinggalkan.
Mama Siti nak ingatkan, fidyah ini perlu dilunaskan terlebih dahulu sebelum proses pembahagian harta pusaka dilakukan.
Sebagai contoh, jika arwah ibu meninggalkan puasa selama 20 hari kerana sakit sebelum meninggal dunia, waris perlu membayar fidyah bagi setiap hari yang tidak digantikan.
Kadar fidyah biasanya bergantung pada tempat tinggal dan ketetapan pihak berkuasa agama setempat. Langkah ini penting untuk membantu melunaskan tanggungjawab ibadah si arwah dan memberi pahala yang berterusan buat mereka.
Contoh Pengiraan
Bilangan Hari Tidak Berpuasa × Kadar Fidyah |
20 hari × RM4.00 Jumlah Fidyah: RM80.00 |
Membayar fidyah ini adalah cara untuk memastikan kewajipan ibadah tetap terlaksana walaupun ada batasan fizikal.
Selain itu, bayaran fidyah juga memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan kerana ia biasanya disalurkan kepada golongan asnaf yang berhak.
Walaupun Mama Papa sudah membayar fidyah, perlu diingat bahawa qada puasa tetap perlu dilakukan seperti biasa. Bayar fidyah dan qada puasa adalah dua perkara yang berbeza.
Jadi, pastikan kedua-duanya, fidyah dan qada puasa dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Bagaimana untuk kenali tanda-tanda waqaf untuk bacaan Al-Quran? Klik di SINI.