“Orang dulu-dulu memang kuat, bertenaga sebab selalu amalkan minuman Tongkat Ali.” Mesti biasa dengar ayat ni kan? Mama Siti percaya herba tradisional Tongkat Ali bukanlah suatu tumbuhan asing dikalangan kita.
Malah, jika disebut bahawa akar kayu ini mempunyai 1,001 khasiat kepada manusia, maklumat itu juga tidak akan disangkal sama sekali. Kebaikannya sememangnya diakui.
Tapi bila ditanya, masih adakah lagi kaum Adam yang sehingga kini masih mengamalkan minuman berkenaan secara tradisional? Mama Siti juga yakin jumlahnya mungkin sangatlah rendah lebih-lebih lagi di zaman millenia ini.
Tapi tahukah anda para lelaki khususnya yang mempunyai masalah berkaitan tenaga batin, ini adalah berita baik kerana tumbuhan herba ajaib itu sangat berkesan merawat atau mengatasi masalah kesuburan lelaki.
Tongkat Ali atau nama saintifiknya Eurycoma Longifolia (EL) mempunyai pelbagai fungsi dari pelbagai bahagian tumbuhan termasuk daun, batang dan juga akar.
Tumbuhan kecil Tongkat Ali biasanya dijumpai di hutan tropika, hutan berpasir ke kawasan pergunungan sekitar satu kilometer. Tongkat Ali telah dipercayai mempunyai fungsi yang pelbagai kepada kesihatan manusia termasuklah sebagai anti-bakteria, anti-malaria, mencegah pereputan tulang dan sebagainya.
Menurut portal Root Of Science, Tongkat Ali mengandungi anti-oksidan yang tinggi yang mampu mencegah pelbagai jenis kanser. Selain itu, Tongkat Ali juga mengandungi alkaloid. Alkaloid dikatakan terdiri daripada quinine, iaitu sejenis komponen yang bersifat anti-malaria.
Tongkat Ali juga mengandungi kandungan mineral yang tinggi seperti kalsium, magnesium dan potassium di mana komponen-komponen ini terlibat dalam mencegah jangkitan bakteria dan meningkatkan metabolisma badan.
Khasiat Tongkat Ali Untuk Tubuh Manusia
1. Meningkatkan Kesuburan Lelaki
Pasti ramai yang tahu mengenai khasiat tongkat ali yang ini bukan?
Berdasarkan sebuah kajian yang diterbitkan secara online pada tahun 2010, pengambilan tongkat ali dalam kalangan peserta lelaki berjaya meningkatkan jumlah air mani, kepekatan sperma, mobiliti sperma, dan juga peratusan sperma morfologi normal pada lelaki dengan ketidaksuburan idiopatik.
Papa tidak percaya? Cuba mengambilnya secara konsisten bermula hari ini dan lihat hasilnya. Tetapi, jangan lupa untuk mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu.
2. Mengelakkan Tulang Reput (Osteoporosis)
Ramai yang tidak tahu bahawa antara khasiat tongkat ali adalah kepada tulang kita.
Osteoporosis merupakan satu keadaan di mana tulang kepadatan tulang berkurangan dan menjadi rapuh. Keadaan ini menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah.
Keadaan ini kerap dialami oleh golongan warga emas terutama wanita selepas menopous, apabila badan tidak dapat lagi menggantikan tisu-tisu tulang yang lama dengan tisu baru yang lebih sihat.
Tongkat Ali atau Eurycoma longifolia (EL) telah menunjukkan kesan yang berbeza apabila pada dos 25µg/mL, sel-sel lebih aktif membesar atau membahagi berbanding sel-sel yang tidak dirawat.
3. Khasiat Tongkat Ali Kepada Stres dan Tekanan
Stres dan tekanan sering dialami oleh golongan dewasa oleh sebab pelbagai tanggungjawab dan tugasan harian. Oleh itu pelbagai cara telah ditemui untuk mengurangkan tekanan, termasuklah berikhtiar dengan minuman ekstrak Tongkat Ali.
Seramai 63 peserta (32 lelaki dan 31 perempuan) telah menjalani analisis hormon stres sebelum dan selepas uji kaji. Hasil kajian mendapati, peningkatan yang signifikan telah ditemui dengan Tekanan (-11%), Kemarahan (-12%) dan Kekeliruan (-15%).
Setelah peserta-peserta kajian mengambil minuman ekstrak Tongkat Ali ini juga mendapati, status hormon testosteron juga meningkat, dan berkurang hormon stress, cortisol.
4. Boleh Meningkatkan Saiz dan Kekuatan Otot
Tongkat Ali sering dikaitkan dengan kemampuannya yang mampu meransang penghasilan hormon testosteron. Hormon testosteron yang tinggi dikaitkan dengan fizikal yang tegap dan maskulin.
Oleh itu, pengambilan ekstrak minuman Tongkat Ali yang konsisten mampu membantu meningkatkan jisim otot dan mengurangkan penghasilan lemak dalam badan.
5. Mempunyai kesan Anti-Malaria
Malaria adalah penyakit berjangkit yang tersebar melalui jangkitan nyamuk. Di Malaysia, prevalens penyakit malaria amat rendah tetapi di peringkat global telah mencatatkan hampir setengah juta kematian akibat penyakit Malaria pada tahun 2018.
Tongkat Ali dipercayai mempunyai sebatian eurycomnone dan asid 7-methoxy-beta-carboline-1-propionic yang mempunyai kesan anti-malaria.
6. Mencegah Jangkitan Bakteria
Daun Tongkat Ali telah terbukti mampu mencegah dari jangkitan bakteria seperti Salmonella Typhi, Escherichia Coli (E.Coli), Staphylococcus aureus dan Serratia marscesens. Bakteria -bakteria ini mampu menyebabkan jangkitan pada kulit, paru-paru dan darah.
7. Meningkatkan Prestasi Seks Lelaki
Golongan dewasa lelaki sering dikaitkan dengan ‘mati pucuk’ atau kualiti hidup terganggu. Satu minuman tambahan mengandungi ekstrak Tongkat Ali atau ‘Physta’ telah diberikan kepada peserta kajian yang berusia 40-45 tahun. Setelah 12 minggu, peserta kajian melaporkan peningkatan pada prestasi seks, dan juga kualiti hidup mereka.
8. Membaiki/Menambah Baik Metabolisma Badan
Kadar metabolisma badan yang baik akan mempercepatkan proses pembakaran lemak dan pembebasan tenaga dalam badan. Tongkat Ali dipercayai mampu mempercepatkan fungsi hormon Thyroxine yang berfungsi meransang pengambilan oksigen lalu mempercepatkan proses pembebasan tenaga dari badan.
9. Melambatkan Kenaikan Paras Gula dalam Darah
Bagi pesakit kencing manis, kenaikan paras gula mendadak merupakan ‘red flag’ yang patut diawasi sepanjang masa. Jika tiada pengawalan pada paras gula, pelbagai komplikasi yang lebih buruk mungkin berlaku kepada tubuh badan.
Kajian telah dilakukan ke atas pelbagai tumbuhan herba dan mendapati Tongkat Ali antara 13 tumbuhan yang menunjukkan kemampuan dalam meningkatkan pengambilan glukos atau gula dalam darah di sel lemak 3T3-L1 selepas suntikan insulin dilakukan.
10. Khasiat Tongkat Ali Kepada Kanser
Satu kajian telah dijalankan ke atas pelbagai bahagian Tongkat Ali meliputi daun, batang dan akar. Hasil dapatan menunjukkan 16 dari bahagian tersebut menunjukkan kesan anti-kanser dan mampu menghalang perebakan sel-sel kanser dalam badan.
Antara kanser yang dikesan mampu dihalang adalah kanser payudara dan kanser paru-paru. Secara ringkasnya, Tongkat ali boleh dianggap sebagai terapi tambahan untuk rawatan pelbagai jenis kanser pada manusia.
Kesan Sampingan Tongkat Ali Sekiranya Diambil Berlebihan
Meskipun ia diperakui sebagai tumbuhan herba terbaik untuk kesihatan, namun kesan sampingannya tetap wujud sekiranya diambil berlebihan atau individu yang mempunyai allergi dengan bahan tersebut.
Berdasarkan sebuah kajian dikongsikan portal Hello Doktor, Eurycoma longifolia adalah selamat apabila diambil melalui mulut dalam jumlah perubatan sehingga sembilan bulan.
Pun begitu, ia tidak selamat apabila diambil melalui mulut dalam jumlah atau kuantiti yang besar.
Selain itu, Tongkat Ali yang diproses sebagai makanan tambahan atau suplemen khususnya buatan negara ini didapati mengandungi merkuri atau plumbum. Ia adalah sejenis dadah yang digunakan untuk merawat disfungsi ereksi yang dikenali sebagai sildenafil (Viagra).
Justeru, pengambilan berlebihan boleh menyebabkan keracunan merkuri atau plumbum atau kesan sampingan yang lain.
Malah, satu kajian terhadap kandungan merkuri 100 suplemen Tongkat Ali dari Malaysia mendapati bahawa 26 peratus mempunyai tahap merkuri yang lebih tinggi daripada had disyorkan.
Jadi, adakah lebih baik sekiranya Tongkat Ali ini tidak diamalkan? Mengambil herba tradisional ini tetap berkhasiat dengan memantau pengambilannya sebanyak 300 mg ekstrak Tongkat Ali setiap hari.
Malah, kajian-kajian lain menunjukkan bahawa dengan mengambil hingga 1.2 gram ekstrak Tongkat Ali setiap hari adalah selamat untuk orang dewasa.
Cuma, jumlah ini tidak digunakan dalam penyelidikan. Tambahan pula, tiada kajian mengkaji penggunaan jangka panjangnya, menjadikannya tidak jelas sama ada suplemen tersebut selamat pada tempoh yang lebih lama.
Bagaimanapun, khasiat dan kebaikannya tidak boleh disangkal. Jadi, rugi jika tumbuhan herba ini tidak diambil langsung. Sebaiknya amalkan dalam jumlah yang selamat dan kecil untuk saban hari. Itu sudah memadai untuk kesihatan.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk pelbagai info dan tips tentang Kesihatan, Papa bolehlah klik di SINI!