Masih ramai yang tidak mengamalkan pemakanan lobak putih dalam kehidupan seharian. Biasanya, lobak merahlah yang menjadi pilihan untuk dimasak dan dibuat jus.
Tetapi tahukah anda, lobak putih sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan kita? Dengan harga yang murah, anda boleh dapat banyak manfaat darinya.
15 Khasiat Lobak Putih Untuk Kesihatan Dan Ibu Berpantang
1. Banyakkan susu badan ibu menyusu
Ini memang selalu disebut-sebut dalam masyarakat kita kan? Bila ibu berpantang mengadu kurang susu badan, tentu orang tua-tua akan menyarankan untuk makan lobak putih. Tidak kiralah dijadikan sup ataupun jus, mereka berpendapat bahawa pengambilannya dapat membantu membanyakkan susu badan.
Sudah ramai yang mengamalkannya dan setuju bahawa ia memang berkesan. Namun ibu mestilah berpada-pada juga kerana menurut Bunny Mom, ada bidan yang menegah pengambilannya untuk 44 hari pertama selepas bersalin kerana risau ia mengganggu proses pemulihan peranakan.
Apa pun, lihat kesesuaiannya dengan badan anda ya?
2. Turunkan suhu badan
Selain itu, lobak putih juga dipercayai dapat menurunkan suhu badan. Berdasarkan perkongsian Wan Nur Ashikin Razali, anda haruslah minum air rebusan lobak putih bersama kulitnya.
Bukan sahaja untuk orang dewasa, kanak-kanak pun sesuai tau!
3. Ubati penyakit jantung
Dalam Indonesia Dokumen, pengambilan lobak putih dengan cara yang tertentu dikatakan dapat mengubati penyakit jantung.
Apa yang perlu anda lakukan ialah:
- Rebus 250 gram lobak putih bersama 30 gram daun dewa segar dalam 800 ml air.
- Apabila air tinggal separuh, tutup api dan tapis.
- Minum air ini sebanyak 2 kali sehari sebanyak 200 ml setiap kali.
4. Atasi kembung perut
Jika anda ingin mengatasi kembung perut secara semulajadi, bolehlah cuba minum air rebusan lobak putih bersama beberapa bahan yang lain ini ya:
- 150 gram lobak putih
- 5 gram jeruk kulit limau kering
- 3 biji cengkih
- Seputung kayu manis
- 5 gram biji pala
- 3 biji buah pelaga
Rebus kesemua bahan ini dalam air sebanyak 500 ml dan tutup api apabila ia tinggal 200 ml. Kemudian, tapis dan minum airnya.
5. Kurangkan selera makan
Tak salah mencuba kan? Anda hanya perlu kisarkan 200 gram lobak putih bersama 200 gram lobak merah. Minum air jusnya, sebaiknya tanpa dicampurkan pemanis tambahan.
Serat di dalamnya akan membantu untuk melambatkan pencernaan dan seterusnya membuatkan anda lebih cepat kenyang.
6. Ubati ekzema
Lobak putih juga boleh digunakan untuk mengubati ekzema. Caranya mudah sahaja. Campurkan air halia bersama parutan lobak putih, gaul sebati dan sapu di kawasan yang sakit.
Untuk pertama kali percubaan, buat patch test dulu ya. Jika kaedah ini sesuai ddan berkesan untuk anda, bolehlah teruskan.
7. Redakan luka melecur terkena air panas
Parutan lobak putih juga dikatakan boleh meredakan luka yang melecur akibat terkena air panas. Untuk mereka yang mahu mencuba, parutkan 100 gram lobak putih dan oleskan di bahagian luka ya.
8. Bantu kurangkan berat badan
Menurut Jillian Kubala, pengambilan lobak putih dapat membantu untuk mengurangkan berat badan. Ini kerana ia adalah sayur yang rendah kalori dan kaya dengan serat.
Terutamanya untuk ibu berpantang, ini sudah tentu berita baik untuk anda kan? Maklumlah, berat badan ibu sedikit bertambah selepas mengandung dan bersalin. Maka selepas bersalin, ibu-ibu akan usaha untuk turunkan berat badan.
Ia juga rendah karbohidrat yang akan membantu anda untuk dapatkan berat badan yang sihat.
9. Tingkatkan kesihatan badan
Sebatian di dalam lobak putih dipercayai dapat meningkatkan tahap kesihatan dan melindungi anda daripada penyakit dengan menguatkan sistem imun anda.
Ferulic acid dan quercetin sebagai contohnya, merupakan antioksida yang bersifat anti-radang dan anti-kanser. Lobak putih kaya dengan kedua-dua sebatian ini.
10. Lindungi dari penyakit kanser
Ia sudah terbukti melalui kajian bahawa lobak putih kaya dengan sebatian yang bersifat anti-kanser yang kuat. Pengambilannya dalam kehidupan seharian dapat melindungi badan daripada beberapa jenis kanser seperti kanser paru-paru dan kanser usus.
11. Kurangkan risiko untuk dapat penyakit kronik
Pengambilan lobak putih juga dapat lindungi diri anda dari terkena penyakit berbahaya seperti sakitjantung dan diabetes.
Malah ada kajian yang membuktikan bahawa pengambilan sayur seperti lobak putih dapat membantu kita untuk hidup lebih sihat dan lama.
12. Kaya dengan vitamin dan mineral
Bukan itu je, lobak putih juga dapat membantu badan anda untuk lawan penyakit secara menyeluruh dengan kandungannya yang kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang diperlukan badan.
13. Turunkan tekanan darah tinggi
Memang terdapat banyak sayur dan buah yang dipercayai dapat menurunkan tekanan darah dan lobak putih adalah salah satu daripadanya.
Kaedah pengambilan yang disarankan untuk tujuan ini sangatlah mudah. Anda hanya perlu buat jus daripada 100 gram isi lobak putih dan amalkan meminumnya 2 kali sehari.
Mudah je kan? Bolehlah cuba ya.
14. Rawat masalah pencernaan
Jika anda menghadapi masalah pencernaan, bolehlah cuba cara ini:
- Masak 200 gram isi lobak putih bersama buah kurma merah sehingga menjadi kuah.
- Minumnya 1 atau 2 kali sehari.
Moga kaedah ini dapat membantu melawas dan melancarkan penghadaman anda.
15. Cantikkan kulit
Lobak putih juga bermanfaat untuk kecantikan kulit kita tau. Hanya parutkan isi lobak putih sebanyak yang diperlukan dan tampalkan di wajah sebagai masker.
Selain itu, anda juga boleh oleskan air parutannya sahaja untuk menyegarkan kulit dan menaikkan seri wajah.
Amalkan Pengambilan Lobak Putih Dalam Kehidupan
Dengan pelbagai khasiat lobak putih yang dinyatakan di atas, ternyata rugilah jika kita tidak mengamalkan pengambilan lobak putih dalam kehidupan seharian kan? Banyak cara dan resepi yang anda boleh usahakan seperti buat sup dan jus lobak putih segar.
Selamat mencuba semua!