Bunga telang yang rata-rata masyarakat Melayu ketahui ialah sejenis tumbuhan herba menjalar yang bunganya digunakan sebagai pewarna semula jadi nasi kerabu.
Rupa-rupanya hampir setiap bahagian bunga telang mempunyai khasiatnya masing-masing. Khasiat bunga telang merangkumi kesihatan dalaman dan luaran serta mempunyai kelebihan dalam kecantikan juga.
Jom, Mama Siti kongsikan lebih banyak lagi tentang khasiat bunga telang.
Bunga Telang 101! Apakah Khasiat Bunga Ini?
Pokok bunga telang asalnya datang dari negara Asia. Lama-kelamaan ia mula tersebar ke Amerika Tengah, China dan India.
Di negara lain, tumbuhan ini dikenali dengan nama Butterfly Pea, Asian Pigeonwings, Darwin Pea dan Blue Pea. Manakala nama saintifiknya ialah Clitoria Ternatea.
7 Khasiat Bunga Telang, Baik Untuk Lelaki Mahupun Wanita
#1 Mengurangkan Bacaan Kencing Manis
Kajian perubatan mendapati ekstrak bunga telang dapat merencatkan enzim penghadam karbohidrat.
Maknanya, apabila seseorang mengamalkan bunga telang dalam pemakanan, paras gula dalam darah akan dikawal supaya tidak meningkat secara mendadak.
Ibu mengandung pun boleh amalkan juga untuk kurangkan risiko kencing manis semasa hamil.
#2 Merangsang Ingatan
Kajian moden pernah melakukan ujikaji dan mendapati ekstrak bunga telang mampu meningkatkan memori otak.
Ada satu lagi kajian melaporkan daun bunga telang berupaya melindungi otak dari kemerosotan kognitif yang disebabkan penyakit kencing manis.
Namun begitu, ujian tersebut masih belum sepenuhnya dipastikan lagi kerana ia hanya diuji pada haiwan dan bukan manusia.
#3 Cegah Bakteria Pada Kulit, Tulang dan Jantung
Selain bunga, pokok ini juga menghasilkan sesuatu yang seperti kantung kekacang. Di dalamnya ada biji benih yang berkesan menghalang jangkitan kulat.
Jangkitan yis pada faraj wanita, pneumonia dan jangkitan bakteria pada injap jantung boleh dicegah dengan biji benih bunga telang.
#4 Mengurangkan Sakit Kepala
Daun dan bunga telang boleh dimanfaatkan ketika Mama atau Papa mengalami sakit kepala ringan dan sederhana.
Caranya adalah dengan menjadikannya sebagai alas tidur. Petik daun dan bunga telang, kemudian masukkan ke dalam kain dan letakkan di atas bantal semasa tidur.
Tetapi kalau Mama ada banyak daun dan bunga telang, lebih baik isikan banyak-banyak dalam sarung dan jadikan sebagai bantal.
#5 Merawat Masalah Mata
Ketika mata terkena jangkitan atau keradangan, salah satu ikhtiar yang boleh dilakukan ialah melalui cucian mata dengan bunga dan daun bunga telang.
Pertama sekali, rendam bunga dan daunnya dalam segelas air. Selepas itu, basuh mata Mama dengan air dengan air rendaman tadi.
#6 Mengubati Asma
Petua orang dulu-dulu, mereka akan merebus akar bunga telang dan dijadikan teh sebagai usaha merawat penyakit asma.
Pada tahun 2018, kajian terhadap haiwan mendapati bunga telang boleh mengurangkan simptom asma seperti sesak nafas, sakit dada dan batuk.
#7 Melebatkan Rambut
Khasiat bunga telang tidak terhad kepada kesihatan dalaman kerana ia juga menyumbang kepada kecantikan luaran.
Rambut yang dianggap sebagai mahkota seorang wanita memerlukan rawatan terbaik agar kekal sihat, lebat dan bersinar.
Caranya adalah dengan meramaskan bunga telang dalam gayung yang berisi air. Kemudian, cuci rambut dengan syampu dan air ramasan itu.
Amalan pengambilan bunga telang telah lama dipraktikkan sebagai perubatan tradisional. Kini, banyak kajian dijalankan kerana melihat potensi tumbuhan herba yang satu ini.
Keindahan bunga telang memang seiring dengan kelebihan yang dikurniakan tuhan dalam membantu kesihatan dan kecantikan kita semua.
Semoga kita semua beroleh khasiat bunga telang ketika mengamalkannya.
Dapatkan tips dan panduan kesihatan Mama dan Papa yang lain DI SINI.