Mesti kita biasa dengar golongan penjual minuman kesihatan atau jamu dan seumpamanya sering menyebut kandungan bahan-bahan semulajadi dalam produk mereka kan? Selain daripada buah delima, madu dan kurma, perasan tak buah markisa juga antara yang sering digunakan sebagai ramuan produk kesihatan?
Apa yang Mama Siti faham adalah, sekiranya penjual produk berlumba-lumba menekankan bahan-bahan terkandung dalam jus atau supplement tersebut, pastinya bahan semulajadi itu adalah antara yang terbaik.
Jangan salah faham, bukan Mama Siti maksudkan produk tersebut dijamin bagus dan selamat, namun secara logiknya, bahan-bahan natural digunakan penjual ini guarantee makanan yang baik untuk manusia.
Dalam erti kata lain, buah delima, kurma dan madu memang tidak asing sebagai antara makanan sunnah umat Islam. Justeru, ia menjadi rebutan para penjual untuk menghasilkan produk kesihatan masing-masing.
Tidak terkecuali juga buah markisa atau lebih dikenali sebagai passion fruit. Namun, mungkin ramai belum mengetahui khasiat buah yang satu ini sehinggakan ia turut menjadi antara bahan semulajadi popular kepada usahawan produk.
Namun, dalam usaha memperoleh kebaikan kepada tubuh, adalah lebih jika ia dimakan terus tanpa proses-proses yang dicipta manusia bagi memastikan khasiat buah markisa ini sampai terus kepada tubuh.
Info Mengenai Buah Markisa
Di dunia, dilaporkan terdapat lebih daripada 500 jenis buah markisa dengan ciri yang berbeza-beza. Dari segi warna, ia biasanya berwarna kuning atau gelap dan bentuknya kelihatan agak seperti limau gedang.
Di dalamnya mempunyai isi yang penuh dan pejal, berair dan banyak benih. Di Malaysia, isi buah markisa yang terhasil adalah berwarna kuning. Kebiasaannya masayarakat di negara ini menikmati buah tersebut seperti jus atau isinya dimakan terus selepas dikopek.
Namun, buah bersifat manis dan sedikit masam dikatakan di iklim panas iaitu di selatan Brazil melalui Paraguay dan utara Argentina.
Bagaimanapun, selepas berkembang ke seluruh dunia, masyarakat Eropah umumnya turut menikmati buah markisa sebagai sapuan jem bersama roti atau pie.
Menurut portal Root of Science, 100 gram buah markisa mampu membekalkan sebanyak 97 kcal tenaga, 23.38 g karbohidrat, 10.4 g serat, 2.2 g protein dan 0.7 lemak.
Bagi kandungan mikronutrisi pula, setiap 100 g buah markisa mengandungi 12 mg kalsium, 1.6 mg zat besi, 28 mg natrium, 348 mg kalium, 68 mg fosforus, 30 mg vitamin C, 64 mg vitamin A dan 14 µg folat.
Selain itu, beberapa komponen penting juga turut terkandung dalam sebiji buah markisa iaitu flavonoid dan triterpenoid. Untuk pengetahuan, triterpenoid merupakan sebuah komponen yang bersifat anti bakteria, anti tumor dan pelbagai lagi manfaat untuk kesihatan.
10 Khasiat Buah Markisa Kepada Kesihatan
1. Mencegah sembelit
Buah markisa mempunyai kandungan serat yang tinggi di mana setiap 100 g buah markisa mampu memenuhi hampir satu per tiga keperluan serat harian yang diperlukan oleh badan.
Serat adalah salah satu komponen yang dapat mencegah sembelit. Pengambilan serat dapat merangsang pergerakkan bahan di usus dan menggalakkan pembuangan air besar.
2. Bersifat anti-oksida
Buah markisa mempunyai sifat anti-oksida di mana ianya mampu untuk mencegah kerosakkan sel dan radikal bebas.
Hal ini kerana buah markisa mempunyai pelbagai kandungan flavonoid dan mikronutrisi seperti vitamin C. Ianya juga mempunyai kandungan anti oksida yang tinggi berbanding pisang, nenas dan manga.
3. Anti hipertensi
Di dalam satu kajian yang dijalankan ke atas haiwan, didapati bahawa ekstrak buah markisa dapat menurunkan tekanan darah haiwan tersebut.
Hal ini boleh dijelaskan melalui kandungan kaliumnya yang tinggi di mana kalium bersifat untuk menurunkan tekanan darah. Selain itu, buah markisa turut kaya dengan polifenol.
4. Khasiat buah markisa kepada hati
Pengambilan ekstrak buah markisa yang berwarna ungu dilihat mempunyai sifat melindungi hati.
Satu kajian yang dijalankan ke atas haiwan mendapati bahawa pengambilan ekstrak ini mencegah kecederaan hati haiwan tersebut.
5. Melindungi jantung
Satu kajian telah dijalankan ke atas haiwan yang mempunyai masalah fibrosis hati. Didapati pengambilan ekstrak buah markisa mengurangkan kadar kematian dan mencegah penurunan berat badan haiwan tersebut. Selain itu, ianya juga turut menurunkan bilangan inflamatori sel di dalam haiwan tersebut.
6. Mencegah hiperlipidemia
Di dalam satu kajian yang dijalankan ke atas haiwan, didapati bahawa pengambilan buah markisa dapat menurunkan paras kolesterol.
Di dalam kajian ini, pengambilan jus buah markisa pada 580 mg sehari sekali pada tempoh masa 30 hari dapat menurunkan paras kolesterol tidak baik dan meningkatkan paras kolesterol baik.
7. Mencegah skurvi
Skurvi adalah sejenis penyakit di mana badan kekurangan vitamin C. pesakit akan mengalami masalah seperti lemah badan dan pendarah gusi.
Buah markisa mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi di mana setiap 100 g buah markisa mempunyai 30 mg vitamin C. Jumlah vitamin C ini sudah cukup untuk memenuhi hampir separuh keperluan vitamin C harian kita.
8. Mengurangkan paras gula di dalam darah
Di dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan, didapati bahawa pengambilan jus buah markisa dapat mengurangkan paras gula di dalam haiwan tersebut.
Pemberian pektin dari buah markisa turut mengurangkan paras gula di dalam darah.
9. Melegakan batuk
Di dalam satu kajian percubaan klinikal, didapati bahawa pengambilan buah markisa dapat mengurangkan simptom batuk dan sesak nafas bagi individu yang menghidap asma.
Selain itu, tiada sebarang kesan sampingan yang ditemui pada para peserta kajian ini.
10. Khasiat buah markisa kepada osteoarthritis
Di dalam satu kajian percubaan klinikal, didapati bahawa pengambilan buah markisa secara oral selama 56 hari mengurangkan simptom yang berkaitan dengan osteoarthritis. Hal ini boleh dijelaskan dengan pelbagai komponen yang bersifat anti radang yang terdapat dalam buah markisa.
Kesimpulannya terdapat pelbagai khasiat yang ditawarkan oleh buah markisa terhadap kesihatan. Namun begitu, pengambilannya haruslah secara terkawal dan bersederhana.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Untuk ketahui pelbagai lagi info dan tips pemakanan yang dikongsikan di platform Kelab Mama, boleh klik di SINI!