Pernah tak Mama campurkan buah keras dalam masakan? Ha, bagi yang belum tahu, buah keras sangat enak jika dimasak dalam pelbagai aneka masakan!
Antara lauk yang sesuai dicampurkan biasanya dalam tumisan sambal, sup, kari, masak merah, rendang, sayuran dan sebagainya.
Selain itu, buah keras juga berfungsi sebagai pemekat kuah dalam masakan serta mengharumkan juadah.
Wah, macam rugi pula selama ni tak manfaatkan buah yang satu ini dalam masakan ya?
Namun, bukan sebagai penyedap rasa jerr Mama, buah keras turut mengandungi khasiat kepada kita.
Tapi, sebelum ketahui khasiatnya, jom kita kenali lebih dekat info mengenai buah kecil ini yang memberikan 1,001 kebaikan kepada manusia.
Info Mengenai Buah Keras
Memetik laporan daripada laman web Hello Doktor, buah keras atau nama saintifiknya Aleurites moluccanus adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari keluarga Euphorbiaceae. Perkataan aleurites itu sendiri sebenarnya berasal dari Greek membawa maksud ‘penuh dengan tepung’, sesuai dengan penampilannya yang seakan-akan bertepung pada bahagian permukaannya.
Tumbuhan ini merupakan natif kepada hutan hujan tropika di Malaysia, Indonesia, Australia, Kepulauan Maluku serta banyak lagi pulau di kawasan Lautan Pasifik Selatan. Ia banyak digunakan di dalam industri pembuatan cat, varnis, sabun atau diekstrak sebagai minyak lampu.
Selain itu, ia juga merupakan sumber makanan ruji untuk masyarakat Australia dan individu dari negara Pasifik yang lain.
Pokok buah keras mampu tumbuh setinggi 15 hingga 25 meter. Buah tumbuhan ini berwarna seakan-akan krim, lembut, berminyak serta mempunyai kulit yang keras, sesuai dengan namanya.
Berbanding dengan rasa kekacang lain, buah ini sering diungkap sebagai buah yang kuat, tahan lasak dan seumpamanya kerana sifatnya yang utuh. Bagaimanapun, ia mengandungi toksik ketika masih mentah dan hanya akan hilang toksiknya apabila dimasak.
Kandungan Nutrisi Buah Keras
Ya, mungkin tumbuhan ini mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan dan kecantikan kita, namun apakah kandungan nutrisinya sehingga ia diangkat sebagai salah satu tumbuhan paling berguna buat kita?
Berikut merupakan kandungan nutrisi tumbuhan ini bagi setiap 100 gram:
tenaga (kj) | 1,979.0 kJ |
tenaga (cal) | 473.0 cal |
air | 24.4 mL |
lemak | 49.9 g |
protein | 7.8 g |
karbohidrat | 0.0 g |
karbohidrat kompleks | 0.0 g |
potasium | 876.0 mg |
sodium | 14.0 mg |
fosforus | 1,060.0 mg |
kalsium | 140.0 mg |
magnesium | 410.0 mg |
zink | 2.7 mg |
zat besi | 2.7 mg |
zat tembaga | 6.9 mg |
kadnium | 0.1 ug |
vitamin b1 | 4.2 mg |
vitamin b2 | 0.0 mg |
vitamin b3 | 1.3 mg |
Khasiat Buah Keras Terhadap Tubuh
Berikut adalah kebaikan buah keras untuk tubuh badan manusia yang dikongsikan oleh portal Hello Doktor:
1. Membantu mengurangkan risiko sakit jantung
Tumbuhan ini adalah sangat bermanfaat buat individu yang mempunyai kadar kolesterol tinggi kerana ia mampu membantu meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL) dan sangat bagus untuk membantu menurunkan kadar kolesterol jahat (LDL).
Mama juga perlu tahu bahawa tumbuhan ini sangat kaya dengan potasium, yang sangat terkenal dengan keupayaannya untuk merendahkan tekanan darah.
Cara ia berfungsi adalah ia akan menyebabkan dinding pada saluran darah relaks sekali gus membenarkan darah untuk mengalir dengan lebih mudah dan bebas ke sistem. Ini dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap organ jantung.
2. Membantu melancarkan sistem penghadaman
Tumbuhan ini adalah sangat kaya dengan serat yang sangat penting di dalam diet untuk fungsi saluran pencernaan anda. Pengambilannya yang kerap mampu melancarkan sistem penghadaman kerana ia mampu membantu pergerakan usus anda ekoran kandungannya yang sangat kaya dengan minyak, yang boleh berfungsi sebagai “julap” semula jadi.
Perubatan tradisonal kita juga percaya ia sangat bermanfaat buat individu yang mengalami cirit-birit kerana kandungan seratnya yang tinggi boleh membantu menstabilkan amaun najis, sekali gus menyelesaikan masalah cirit-birit.
Sifatnya yang kaya dengan komponen antimikrobia juga boleh membantu membunuh kuman yang terdapat di dalam makanan atau minuman, yang merupakan punca cirit-birit.
Selain itu, pengambilannya juga dikatakan boleh membantu merawat penyakit disentri, iaitu sejenis penyakit usus.
3. Membantu melegakan sembelit
Tumbuhan ini sangat kaya dengan serat dan seperti mana yang kita tahu sembelit adalah disebabkan oleh kekurangan pengambilan serat. Jadi, pengambilannya boleh menyelesaikan masalah ini.
Cadangan pengambilannya adalah mencampurkan 1 biji buah keras, 2 biji bawang, 5 gram pulasari, 10 gram kulit kayu manis, 30 gram urang-aring, separuh sudu kecil garam, separuh sudu kecil jintan manis dan campurkan kesemua bahan ini ke dalam 800 cc air putih serta kacaukan sehingga sebati.
Kemudian, rebuskan air ini sehingga 400 cc. Selepas itu, tapiskan dan hidangkannya. Ambil sekurang-kurangnya 2 kali sehari untuk kesan yang lebih efektif.
4. Membantu melawan jangkitan kuman
Tumbuhan ini dikatakan sangat berkesan melawan jangkitan kuman. Meskipun jangkitan kuman tidak begitu berbahaya, ia masih boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada anda.
Jadi, cuba ambil bahagian minyaknya dan gunakannya di bahagian tubuh badan yang dijangkiti. Gunakan ia selalu untuk mendapatkan keputusan yang optimum.
5. Membantu membina otot dan mengawal berat badan
Tumbuhan ini adalah sangat kaya dengan protein. Jadi, ia sangat berkesan untuk membantu membina otot. Selain itu, ia juga sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam usaha menurunkan berat badan.
Ini kerana, lebih besar otot, lebih cepat kadar metabolisma. Sebagai tambahan, protein juga adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh tubuh badan untuk membantu tubuh badan membakar kalori anda.
6. Membantu menguatkan tulang dan sendi
Tumbuhan ini mempunyai kandungan fosforus yang sangat tinggi. Ini sekali gus menjadikannya sebagai sumber makanan yang sangat sesuai untuk menguatkan sendi.
Ia berfungsi dengan membantu mengelakkan sendi daripada bengkak dan sakit akibat kekoyakan. Dalam pada itu, kandungan kalsiumnya yang tinggi juga sudah tentu membantu dalam menguatkan tulang kita.
7. Membantu merawat insomnia
Tumbuhan ini terbukti mengandungi melatonin yang akan membantu anda untuk lebih relaks sekali gus membuat anda lebih lekas tidur.
Insomnia yang mungkin disebabkan oleh depresi, terlalu banyak berfikir, terlalu takut akan sesuatu dan lain-lain mungkin akan dapat dirawat dengan pengambilan tumbuhan ini.
8. Membantu merawat ulser
Tumbuhan ini dikatakan mampu merawat ulser secara tradisional. Caranya, ambil getahnya kemudian campurkannya sedikit dengan santan. Kemudian, sapukan sahaja secara terus kepada bahagian dalam mulut yang mengalami ulser.
9. Membantu merawat sakit gigi
Tumbuhan ini juga boleh membantu merawat sakit oral. Sama seperti cara tradisional merawat ulser, gunakan getahnya yang telah dicampur dengan santan. Kemudian, sapukannya pada gigi yang mengalami kesakitan. Lakukannya dengan kerap untuk lebih mujarab.
10. Membantu melegakan demam dalam kalangan kanak-kanak
Tumbuhan ini juga sebenarnya merupakan penawar semula jadi untuk demam. Caranya, ambil minyaknya dan campurkannya dengan air putih. Rebuskannya sehingga ia mengeluarkan aroma.
Selepas itu tapiskan dan hidangkan di dalam gelas kosong. Beri kepada anak anda yang sedang demam. Pun begitu, ini hanyalah sekadar rawatan tradisional yang tidak terjamin keberkesanannya.
Adalah lebih baik untuk anda membawa anak anda berjumpa doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang lebih lanjut.
11. Membantu merawat gigitan serangga
Tumbuhan ini juga dikatakan mampu membantu merawat gigitan serangga seperti nyamuk, semut atau lebah. Jadi, jika anda digigit oleh serangga-serangga ini, sapukan ia dengan tumbuhan ini bersama serbuk kunyit.
Namun sebelum itu, masak ramuan ini kemudian gaulkan dan hancurkannya sehingga sebati. Pun begitu, anda diingatkan bahawa ada serangga atau haiwan yang mempunyai bisa berbahaya serta mampu membunuh seperti lipan, kala jengking atau labah-labah dan ini tidak boleh dirawat dengan tumbuhan ini.
Sebaiknya, berjumpa doktor adalah pilihan yang lebih baik.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan pelbagai info dan tips kesihatan Mama sekeluarga di SINI!