Kerisauan dan sering tertanya-tanya tentang warna air kencing atau najis anak memang perkara yang tidak asing bagi mereka yang bergelar ibu dan ayah. Normalkah warna air kencing bayi? Kenapa warna najisnya begini? Kenapa bayi kerang kencing? Semua persoalan itu berkait rapat dengan keprihatinan si ibu akan kesihatan bayi mereka. Tambahan lagi bila ada kesan darah pada lampin yang sudah tentu mengundang panik di kalangan ibu baru dan kurang berpengalaman. Ibu tidak perlu khuatir dengan situasi tersebut. Sebaliknya, mereka hanya perlu memantau kekerapan bayi kencing dalam sehari dan apakah warna najisnya.
- Pada hari pertama kelahiran bayi, kencingnya berwarna jingga kemerahan.
- Bagi hari kedua pula, ibu perlu memastikan air kencing bayi berwarna jingga cair dan sedikit merah jambu.
- Manakala pada hari ketiga warnanya kuning kejinggaan.
- Masuk hari keempat berwarna kuning lemon dan hari kelima warnanya kuning cair. Kesemua keadaan itu adalah normal bagi bayi.
AIR KENCING BAYI
- Bayi yang baru lahir memang kerap kencing dan ia bukan sesuatu yang pelik. Namun pada hari pertama kelahiran, bayi akan kencing sekali sahaja.
- Selepas hari keenam kadar kencing antara enam hingga lapan kali sehari.
- Kencing awal bayi memang akan disertai sedikit darah. Warna kencing jingga pula bermaksud ia mengandungi nitrat salah satu komponen bilirubin, ini bermakna bayi anda memerlukan lebih cecair.
- Untuk mengembalikan keseimbangan cecair dalam badan bayi, susukan mereka lebih lebih kerap.
- Jika pada hari kelima bayi tidak membuang air kecil setiap empat jam, pastikan anda maklumkan kepada doktor.
KENALI NAJIS BAYI BARU LAHIR
- Najis bayi tidak sama dengan orang dewasa. Kekerapan dan konsistensi najis juga berbeza antara seorang bayi dengan yang lain. Ia bergantung pada apa yang diminum.
- Najis pertama bayi mengandungi meconium, sejenis komponen yang mengandungi air ketuban, mukus, sel kulit dan beberapa bahan yang ada dalam rahim ibu.
- Pengeluaran ‘meconium’ adalah tanda bahawa usus bayi anda berfungsi dan secaranya normalnya dikeluarkan dalam tempoh 24 jam untuk bayi yang mencapai tempoh matang dalam kandungan dan 48 jam untuk bayi pramatang. Sekiranya ‘meconium’ dikeluarkan hanya selepas tempoh ini, ia adalah petanda bahawa kemungkinan terdapat masalah yang berkaitan dengan usus.
- Najis ini tidak berbau busuk hinggakan ibu tidak sedar sudah tiba masanya menyalin lampin. Najis pertama bayi ini bersifat agak melekit dan berwarna hijau kehitaman.
- Pada hari kedua hingga keenam, bayi akan mengeluarkan najis yang mengandungi meconium dan susu yang diminum dari ibu mereka.
- Untuk mengetahui sama ada perut bayi menghadamkan apa yang mereka minum, najisnya berwarna hijau bayam atau kekuningan.
- Selepas hari keenam, najis bayi normal akan berwarna kekuningan, kehijauan dan mula ada bentuk fizikal atau cair sahaja.
- Para ibu yang melihat najis bayi warna hijau sering panik. Sebenarnya tidak ada yang perlu dirisaukan. Jika bayi minum susu seperti biasa dan berat badan mereka naik. Begitu juga najis yang warna kekuningan dan kejinggaan juga normal.
- Najis berwarna hitam atau hijau gelap adalah normal untuk tiga hari pertama kelahiran. Namun jika ia berlanjutan hingga hari keempat dan kelima sebaiknya rujuk bayi ke pakar kanak-kanak.
WARNA NAJIS BAYI NORMAL
- NAJIS PERTAMA BAYI: HIJAU KEHITAMAN
Apabila bayi baru lahir, najis mereka dikenali sebagai meconium. Najis ini mengandungi semua benda yang ditelan oleh bayi di dalam plasenta ibu sebelum dilahirkan. Teksturnya sangat melekit. Jika bayi tidak mengeluarkan najis ini dalam masa 48 jam selepas dilahirkan, anda patut memberitahu doktor atau misi yang datang memantau anda.
- WARNA KUNING KECOKLATAN
Dalam masa seminggu selepas dilahirkan, bayi yang menyusu badan biasanya akan berak sebanyak 3-4 kali sehari. Ketika ini, teksturnya lembut dan sedikit berbiji. Selepas seminggu, mungkin corak kekerapannya membuang air besar akan berubah. Mungkin sehari sekali atau seminggu sekali. Menurut ClevelandClinic.org, selalunya, tiada apa yang anda patut risaukan sekiranya mereka menyusu badan secara normal dan aktif.
- WARNA COKLAT
Bayi yang diberi susu formula akan mendapat najis yang berwarna sedikit gelap atau perang berbanding bayi yang menyusu badan. Ia selalunya diiringi dengan bau yang agak kuat berbanding bayi menyusu. Kepekatannya dan teksturnya adalah seperti mentega kacang. Walaubagaimanapun, adalah normal juga untuk mereka membuang najis berwarna kekuningan atau kehijauan.
- WARNA COKLAT KEHIJAUAN, HIJAU GELAP
Ramai ibu yang berasa pelik dan mungkin sedikit panik apabila najis bayi mereka berwarna hijau. Biasanya, warna hijau ini disebabkan oleh sumber zat besi dalam dietnya. Kadangkala, buah-buahan yang dimakan atau diminum sebagai jus juga boleh menyebabkan warna hijau atau tona hijau gelap yang seangkatan dengannya.
- WARNA HIJAU CERAH
Adakah anda selalu meggilirkan payudara anda sebelum bayi benar-benar ‘mengosongkannya’? Apabila anda berbuat demikian, bayi kurang mendapat susu penuh lemak yang terkandung dalam payudara ketika ia hampir kosong. Oleh itu, cuba pastikan bayi anda ‘mengosongkan’ sebelah payudara sebelum mula menyusu pada sebelah lagi dan lihat perubahan najisnya.
WARNA NAJIS BAYI YANG TIDAK NORMAL – HARUS JUMPA DOKTOR!
- WARNA MERAH DARAH
Warna merah pada najis bayi mungkin saja disebabkan oleh beberapa makanan seperti ubi keledek yang dilenyek, buah naga, atau apa saja makanan yang mengandungi pewarna. Dalam kes yang biasa, sedikit tompokan atau celetan darah yang kelihatan pada najis biasanya adalah tanda-tanda bayi sembelit. Walaubagaimanapun, sekiranya darah kelihatan dengan banyak, anda patut menghubungi doktor dengan segera kerana ia mungkin disebabkan oleh luka dalaman yang lebih serius.
- WARNA PUTIH KAPUR, KELABU KEPUTIHAN
Warna putih menandakan bayi anda kekurangan bilirubilin. Mengikut pengalaman, bayi saya juga menghasilkan najis berwarna putih apabila memakan ubat antibiotik ketika demam. Jelas sekali, ia menyebabkan cirit-birit dan tidak sesuai dengan badannya. Selain itu, ia juga boleh berpunca daripada masalah pada pundi hempedu dan hati.
- WARNA HITAM GELAP, LIKAT
Najis berwarna hitam ini hanyalah normal bagi bayi yang baru lahir. Sekiranya ia berterusan atau berlaku selepas 3 hari dilahirkan, segeralah rujuk kepada doktor. Darah dalam saluran usus mungkin menjadi penyebab kepada warna najis jenis ini. Secara saintifiknya, ia dikenali sebagai melena.
- TERLALU CAIR
Terlalu banyak minum jus, alergik, kesan antibiotik, atau keradangan usus mungkin salah satu punca najis begini. Jangan abaikan tanda-tanda ini kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi dan jangkitan pada bayi. Merbahaya sekiranya dibiarkan berterusan tanpa pantauan jika melebihi 24 jam. Dalam kebanyakan kes, ia akan kembali normal selepas 2-3 hari.
- TERLALU KERAS
Sembelit adalah punca yang paling biasa terjadi kepada bayi yang mempunyai najis keras dan berketul. Kadangkala, ia juga mungkin disebabkan oleh alergik atau dehidrasi. Antara punca yang serius, tetapi jarang berlaku ialah masalah tiroid, atau sejenis penyakit yang dinamakan Hirshprung’s disease.
Sumber: Pakar kanak-kanak dari Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Khoo Phaik Choo & Utusan / ClevelandClinic.org/