Perceraian bukan sahaja melibatkan pasangan suami isteri, tetapi kesan penceraian turut memberi kesan kepada anak-anak, terutamanya anak kecil yang masih belum mampu memahami sepenuhnya apa yang sedang berlaku.
Kesan negatif daripada kesan perceraian ini boleh dirasai dalam pelbagai aspek kehidupan anak kecil, termasuk dari segi mental, emosi, serta dari sudut pandang agama seperti dalam Islam.
Kesan Perceraian kepada Anak-anak
1. Kesan Mental dan Emosi kepada Anak-anak
Apabila Mama Papa bercerai, si kecil sering terperangkap dalam situasi yang mereka tidak dapat kawal. Mereka mungkin mengalami rasa kehilangan dan kekeliruan, terutamanya apabila keluarga yang mereka kenal selama ini berubah dengan drastik.
Rasa selamat dan kasih sayang yang mereka peroleh daripada kedua Mama Papa kini terganggu. Perubahan ini boleh mengakibatkan beberapa kesan mental dan emosi kepada mereka seperti:
- Rasa rendah diri dan rasa tidak disayangi: mereka mungkin merasakan bahawa perceraian ini berlaku kerana mereka tidak cukup baik atau kerana mereka tidak disayangi.
- Kebimbangan dan ketidakstabilan emosi: mereka merasa bimbang tentang masa depan mereka, terutama jika ada perubahan dalam rutin harian, seperti peralihan tempat tinggal atau perubahan sekolah.
- Kesukaran dalam pembelajaran: Tekanan mental yang dialami boleh menjejaskan fokus mereka di sekolah, menyebabkan prestasi akademik merosot.
2. Kesan Perceraian dalam Islam kepada Anak-anak
Dalam Islam, perceraian dibenarkan tetapi amat tidak digalakkan kerana ia boleh memberi kesan kepada institusi kekeluargaan, terutamanya anak-anak. Ia hanya dilakukan sekiranya sudah tidak ada lagi jalan penyelesaian untuk memperbaiki hubungan Mama Papa.
Perceraian bukan sahaja menyebabkan ketidakseimbangan emosi, tetapi juga boleh menimbulkan konflik dari segi hak penjagaan anak, nafkah, dan pendidikan agama anak-anak.
- Pemisahan Mama Papa: Islam menekankan kepentingan Mama Papa dalam membentuk anak-anak. Apabila Mama Papa bercerai, anak-anak mungkin mengalami kehilangan bimbingan dan didikan agama yang seimbang dari kedua belah pihak.
- Kekurangan bimbingan agama: Jika tidak diurus dengan baik, perceraian boleh menyebabkan kurangnya perhatian dalam pembelajaran agama anak-anak. Ini boleh mempengaruhi pembentukan peribadi dan moral anak kecil dalam jangka masa panjang.
Peranan Orang Sekeliling dalam Membantu Anak-anak yang Terkesan Akibat Perceraian
Apabila berhadapan dengan anak kecil yang terjejas oleh perceraian, orang sekeliling termasuk keluarga, guru, dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memberi sokongan kepada mereka.
1. Menghormati Privasi Anak-anak
Anak-anak yang sedang berdepan dengan perceraian memerlukan ruang untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Kita perlu elakkan daripada bertanya soalan-soalan sensitif atau memberi komen yang boleh menambahkan tekanan kepada mereka.
Beri ruang kepada mereka untuk memahami dan menerima situasi baru tanpa perlu memaksa mereka berkongsi perasaan mereka jika mereka belum bersedia.
2. Memberi Sokongan Mental dan Fizikal
Sokongan dari segi emosi dan fizikal amat penting bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas perceraian. Boleh cuba melakukannya dengan:
- Mendengar dan memberi perhatian: Kadang-kadang, anak kecil hanya memerlukan seseorang untuk mendengar tanpa memberi penghakiman. Beri peluang kepada mereka untuk meluahkan perasaan mereka dalam suasana yang selesa dan selamat.
- Menyediakan sokongan fizikal: Pastikan mereka mempunyai akses kepada keperluan harian seperti makanan, tempat tinggal, dan pendidikan yang mencukupi. Kehidupan yang stabil dari segi fizikal akan membantu mereka menghadapi perubahan emosi yang lebih baik.
3. Menyediakan Bimbingan dan Aktiviti yang Positif
Anak-anak yang terjejas oleh perceraian mungkin memerlukan bimbingan tambahan untuk mengekalkan kehidupan yang normal.
Ini boleh termasuk mengajak mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti positif seperti sukan, kelas seni, atau aktiviti luar. Aktiviti ini dapat membantu mereka melepaskan tekanan dan membina semula keyakinan diri.
4. Memberikan Persekitaran yang Stabil
Stabiliti dalam kehidupan seharian adalah kunci kepada kesejahteraan mental anak kecil.
Kita sebagai orang dewasa di sekeliling mereka perlu cuba mengekalkan rutin harian yang tetap, seperti waktu makan, tidur, dan aktiviti lain, untuk memberikan rasa normal kepada mereka.
Rutin yang stabil akan membantu anak kecil menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam tempoh perceraian ini. Perceraian memberi kesan yang mendalam kepada anak kecil, terutamanya dari segi mental, emosi, dan spiritual.
Walaupun perceraian tidak dapat dielakkan dalam beberapa keadaan, penting bagi orang sekeliling untuk memainkan peranan dalam membantu anak kecil menyesuaikan diri dan meneruskan kehidupan dengan sebaik mungkin dan kesan penceraian ini tidak begitu membebankan kepada mereka.
Dengan memberikan sokongan yang sewajarnya dari segi fizikal, emosi, dan bimbingan, kita dapat membantu mereka melalui fasa sukar ini dengan lebih baik dan mengurangkan kesan negatif jangka panjang.
Dapatkan lebih banyak lagi tips keibubapaan yang Mama Papa perlu tahu di SINI.