KelabMama

Awas! Lagi Kes Kanak-kanak Tertelan Air Kolam/Lemas Sehingga Terlantar di Hospital

kes budak lemas

Air kolam, sungai, atau laut sering menjadi tarikan untuk anak-anak kecil. Namun, tanpa pengawasan yang rapi, ia boleh membawa kepada tragedi lemas yang menyayat hati.

Kebanyakan Mama Papa tidak sedar akan bahaya air yang tersembunyi, termasuk risiko tertelan air kolam sehingga menyebabkan komplikasi serius seperti Acute Disseminated Encephalomyelitis (ADEM).

Tertelan Air Kolam, Anak Diagnosis ADEM

@noniey_ann

Replying to @noniey_ann ni keadaan anak sy time tu. luluh rasa hati seorang ibu bila anak dr sihat tiba² sakit mcm ni. rasa bersalah sgt² time ni. dh serik bwk ank² g swimming pool. 1st time plk tu bwk. dh nekad ni last sy bwk anak² pegi main swimming pool public.

♬ suara asli – A M I L – A M I L
Kredit video: TikTok @noniey_ann

Selain itu, terdapat juga perkongsian dari seorang Mama, Puan @noniey_ann, mengenai anaknya yang tertelan air kolam dan didiagnosis dengan ADEM (Acute Disseminated Encephalomyelitis).

Kejadian itu membawa perubahan besar dalam hidup mereka apabila, dalam masa hanya dua minggu, anaknya menghidap dsytonia.

Puan @noniey_ann meluahkan rasa serba salah, memandangkan ini adalah kali pertama dia membawa anaknya mandi kolam, namun kegembiraan yang sepatutnya dirasai hanya sekejap.

Ia bertukar menjadi penderitaan apabila anaknya terpaksa menanggung sakit yang tidak diduga. Alhamdullilah, anaknya sudah kembali sihat seperti sedia kala sekarang.

Kisah ini mengingatkan kita semua tentang bahaya yang tersembunyi di balik keseronokan mandi kolam, yang boleh membawa risiko kesihatan yang serius.

Anak Lemas Mandi Kolam, Sekarang Terlantar Sakit

@adikcik_94

hari demi hari ibu menanti…insyaallah berkat kesabaran ibu,Allah turunkan keajaiban buat awak sayang…Awak anak yang kuat

♬ original sound – adikcik_94 – adikcik_94
Kredit Video: TikTok adikcik_94

Mama Siti turut tersentuh hati melihat perkongsian daripada Puan @adikcik_94 tentang tragedi yang menimpa anak lelakinya, Che Umar Rais, yang kini terlantar koma selepas insiden lemas di kolam renang.

Seperti yang dimuat naik oleh Mamanya di laman TikTok, beliau meluahkan rasa pilu apabila melihat perubahan mendalam pada keadaan anaknya yang dahulunya sihat.

Kejadian tragis ini berlaku pada September tahun lalu, namun sehingga kini, keadaan Che Umar Rais yang berusia empat tahun itu masih belum menunjukkan perubahan positif.

Video yang tular di media sosial menunjukkan anak kecil itu kini bergantung kepada bantuan tiub untuk bernafas dan makan, sambil menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

Hantaran tersebut menyentuh hati ramai dengan kisah pilu ini, mengingatkan kita betapa pentingnya keselamatan anak-anak, terutamanya di kawasan kolam.

Telinga & Hidung Anak Dijangkiti Kuman Selepas Aktiviti Air

@wmnh__

Sedih, sbb anak kita suka aktiviti air. Back to back dari pantai, waterpark, swimming pools, sungai. It’s okay, Allah selamatkan dr sakit yg lg teruk

get well soon arief ♬ suara asli – A M I L – A M I L
Kredit Video: TikTok @wmnh__

Mama Siti juga terjumpa perkongsian daripada Puan @wmnh__ yang meluahkan kebimbangan mengenai keadaan anaknya selepas mengalami aktiviti air yang berturut-turut seperti di pantai, taman tema air, kolam renang, dan sungai.

Pada mulanya, Mama itu menyangka ada serangga yang masuk, tetapi selepas pemeriksaan menggunakan kamera, doktor mendapati bengkak besar di dalam telinga, hampir menyebabkan anaknya tidak dapat mendengar.

Doktor juga menjelaskan bahawa saluran hidung berkait rapat dengan telinga, dan disebabkan itu, jangkitan pada hidung turut memberi kesan pada telinga.

Aktiviti air yang tidak bersih dan tekanan dari air yang masuk ke hidung dan telinga menjadi punca utama jangkitan ini.

Kini, anaknya perlu menjalani rawatan untuk pemulihan. Jika keadaan anaknya masih belum pulih, terpaksa menjalani pembedahan untuk mengatasi masalah adenoid ini.

Kisah ini memberi pengajarankepada Mama Papa tentang pentingnya menjaga kebersihan semasa aktiviti air dan segera mendapatkan rawatan apabila ada tanda-tanda jangkitan.

Bahaya Air Kolam/Sungai yang Sering Diabaikan

1. Air Tercemar

Air yang tercemar adalah salah satu masalah yang paling diabaikan apabila kita berenang di kolam atau sungai.

Walaupun kolam renang awam sering diawasi, ia masih boleh tercemar jika tidak diselenggara dengan betul. Begitu juga, sungai yang berada di kawasan yang kurang dijaga lebih berisiko tercemar.

Kolam renang yang tidak dijaga dengan baik boleh mengandungi bakteria dan parasit seperti Cryptosporidium yang berbahaya jika tertelan.

Air tercemar mengandungi mikroorganisma berbahaya seperti bakteria, virus, dan parasit. Kanak-kanak yang terdedah berisiko mengalami jangkitan kulit seperti ruam, gatal-gatal, atau luka, selain penyakit seperti cirit-birit, muntah, demam, dan giardiasis yang menyebabkan kembung serta sakit perut.

2. Kedalaman Air yang Tidak Konsisten

Kolam dan sungai semula jadi mempunyai dasar yang tidak rata, dengan bahagian cetek yang tiba-tiba menjadi dalam. Ini boleh menyebabkan panik dan risiko lemas, terutama bagi kanak-kanak yang tidak tahu berenang.

Dasar sungai yang berpasir atau berlumpur juga licin dan tidak stabil, mudah menyebabkan tergelincir atau terperangkap.

Kedalaman sungai dan kolam sering berubah-ubah akibat aliran air, hujan lebat, atau struktur dasar.

Kanak-kanak mungkin bermain di kawasan cetek tetapi tiba-tiba jatuh ke kawasan lebih dalam tanpa disedari, meningkatkan risiko tenggelam. Selain itu, kecederaan boleh berlaku jika mereka terlanggar batu atau objek tersembunyi di dasar air.

2. Lemas Senyap (Silent Drowning)

Lemas senyap adalah bentuk lemas yang sukar dikesan kerana kanak-kanak tenggelam tanpa tanda-tanda seperti menjerit atau mengangkat tangan meminta bantuan. Ia sering berlaku apabila mereka cuba bernafas dan berenang tanpa mampu memberikan isyarat kecemasan.

Lemas senyap ini berlaku secara senyap dan pantas. Mereka biasanya berusaha keras untuk bernafas tetapi tidak dapat mengangkat kepala untuk mendapatkan udara.

Tanda-tanda seperti gelisah, badan yang tenggelam, atau pergerakan lemah sering tidak disedari oleh orang di sekitar.

Kanak-kanak, terutamanya yang baru belajar berenang atau bergantung pada pelampung, mungkin tidak menyedari bahaya. Mereka boleh tenggelam tanpa sebarang tanda amaran.

Oleh itu, Mama Papa perlu berikan pengawasan yang ketat dan berterusan bagi memastikan keselamatan anak-anak ketika berada di dalam air.

3. Dry Drowning dan Secondary Drowning

Dry drowning dan secondary drowning adalah dua keadaan berbahaya yang boleh berlaku selepas hampir lemas.

Kedua-duanya melibatkan kemasukan air ke dalam sistem pernafasan tetapi dengan cara yang berbeza, dan boleh menyebabkan komplikasi serius beberapa jam selepas kejadian.

Dry drowning berlaku apabila air memasuki saluran pernafasan tetapi tidak sampai ke paru-paru. Air ini menyebabkan saluran pernafasan mengecut akibat kekejangan, menghalang pengaliran oksigen ke seluruh tubuh.

Gejala termasuk kesukaran bernafas, batuk berterusan, dan rasa letih luar biasa beberapa jam selepas kejadian.

Secondary drowning pula berlaku apabila air masuk ke dalam paru-paru dan menyebabkan keradangan.

Mangsa mungkin kelihatan baik pada awalnya tetapi kemudian menunjukkan tanda-tanda seperti kesukaran bernafas atau keletihan melampau. Jika tidak dirawat segera, ia boleh membawa kepada komplikasi serius.

Pemantauan rapi sangat penting selepas kejadian hampir lemas untuk mengelakkan risiko ini.

Apa Itu ADEM dan Bagaimana Ia Berlaku?

Acute Disseminated Encephalomyelitis (ADEM) adalah penyakit neurologi jarang berlaku yang melibatkan keradangan akut pada otak dan saraf tunjang. Ia menyebabkan kerosakan pada myelin, iaitu lapisan pelindung saraf.

Penyakit ini berlaku apabila sistem imun secara salah menyerang tisu saraf, menyebabkan keradangan pada otak dan saraf tunjang. Keadaan ini boleh mencetuskan gejala seperti:

ADEM lebih kerap menyerang kanak-kanak dan biasanya berlaku sebagai serangan tunggal, berbeza dengan penyakit seperti multiple sclerosis.

Rawatan ADEM memerlukan pemantauan rapi di hospital, dan dalam kes tertentu, ia boleh meninggalkan kesan jangka panjang.

Langkah-langkah Penjagaan Anak Ketika Bermain Air

  1. Gunakan jaket keselamatan: pastikan anak memakai jaket keselamatan yang sesuai.
  2. Pantau sentiasa: jangan biarkan kanak-kanak bermain air tanpa pengawasan, walaupun hanya di kolam cetek.
  3. Ajarkan kemahiran renang: hantar anak ke kelas renang untuk memahami teknik asas dan keselamatan air.
  4. Elakkan kolam yang tidak dijaga: pastikan air kolam bersih dan bebas daripada bahan kimia atau bakteria berbahaya.
  5. Perhatikan gejala: jika anak tertelan air, segera dapatkan bantuan perubatan jika ada tanda-tanda seperti batuk berpanjangan, sesak nafas, atau demam.

Sebagai Mama Papa, keselamatan anak-anak semasa aktiviti air memang perlu jadi keutamaan. Bahaya seperti lemas dan risiko lain boleh berlaku dengan cepat kalau kita leka.

Jadi, pastikan mata sentiasa memerhati si kecil dan pastikan mereka bermain di kawasan yang selamat.

Dengan pengawasan yang baik, kita sama-sama boleh menggelakkan perkara yang tidak diingini dan jadikan setiap detik bersama anak-anak penuh kegembiraan dan ketenangan.

Mama Siti doakan semoga anak-anak ini kembali sihat seperti sebelum ini, diberikan kesihatan seperti kanak-kanak yang lain, agar mereka dapat aktif dan terus ceria seperti biasa.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Kenapa pemakaian yang sesuai penting semasa aktiviti air? Klik di SINI.