KelabMama

Puas Cuba Pelbagai Tips Sampai Stres, Rupa-rupanya Prolonged Jaundice Tu Normal

Pernahkah Mama dengar istilah kes prolonged jaundice? Atau ada tak diantara Mama yang berpengalaman menghadapinya?

Bagi mereka yang pertama kali mendengar istilah ini, mungkin kurang mengerti apakah maksudnya. Namun kalau Mama Siti katakan simptom bayi kuning sejurus lahir, pasti ramai Mama yang arif dan berpengalaman mengatasi masalah tersebut kan?

Bagaimanapun, kes prolonged jaundice adalah berbeza dengan jaundice biasa. Pengalaman dihadapi Mama Siti ketika kelahiran anak pertama pada tahun 2021 memberikan tekanan yang tinggi ekoran masalah kuning bayi yang tidak pulih.

Rasa stress sebab pelbagai petua dikongsikan orang sekeliling yang mana sebahagian daripadanya dirasakan mengarut.

Tekanan makin bertambah apabila orang-orang tua yang datang laju menyoal apa yang dimakan si ibu sampai anak kuning lebih lama daripada bayi biasa?

Walhal, Mama Siti tidak mengambil sebarang jamu atau supplement sepanjang berpantang. Namun, tak kurang juga menganggap itulah penyebab anak Mama Siti tak turun bacaan jaundice ekoran Mama Siti tak amalkan pengambilan bahan-bahan tradisional tadi.

Sedangkan, doktor dan jururawat telah cegah daripada awal agar elakkan sebarang pengambilan jamu atau ubat-ubatan yang tidak berkaitan kerana Mama Siti menyusukan anak dengan susu badan semata-mata. Segala jamu dan herba yang diambil boleh berisiko mengubah kualiti susu badan yang mana dibimbangi menjadi punca jaundice itu lebih teruk.

Tapi, sebahagian orang-orang lama terus perlekeh cara berpantang Mama Siti sambil menyindir “Kalau tak makan jamu, kenapa kuning masih tak turun walaupun dah sebulan?”

Aish, stress bukan? Nak hadap anak yang masih tak sihat, dalam masa sama terpaksa mendengar tohmahan orang sekeliling menyalahkan si ibu.

Selain itu, rutin setiap hari berulang-alik ke klinik kesihatan untuk checkup bacaan kuning bayi Juga sedikit sebanyak menyebabkan Mama Siti rasa teramat letih dengan journey sebagai ibu baharu ini.

Memandangkan rumah Mama Siti pula di tingkat atas, tak ada lif, maka rutin harian membawa si kecil ke KK perlu naik dan turun tangga.

Lepas dua minggu, checkup bacaan jaundice diselang-selikan harinya dan Mama Siti menghadapi senario sama selama dua bulan iaitu ulang alik ke klinik dan hospital.

Tiada Petua Berkesan

Tak amalkan petua? Pelbagai petua selamat dicuba namun tidak berhasil. Antaranya rendam bayi dalam air daun kaduk, jemur di bawah matahari, rendam dengan daun-daun lain dan macam-macam lagi.

Walaupun kedengaran mengarut, tapi Mama Siti akur jerr dengan mana-mana petua lama asalkan selamat berbanding petua berbahaya seperti minta berikan anak susu kambing, susu formula, beri minum air masak serta disuruh Mama Siti makan jamu. Ini lagi berisiko bukan.

Kadang-kala, kita akur dengan petua sedemikian bukan sebab percaya, namun kerana letih dan tawakal. Mana lah tahu mungkin ada kebenarannya.

Berbalik kepada cerita Mama Siti tadi, selepas lebih dua minggu bacaan jaundice anak masih sama iaitu sekitar 11 ke 12, sample darahnya diambil untuk pemeriksaan lanjut.

Doktor kanak-kanak memaklumkan bayi menghidap prolonged jaundice dan mereka perlu mengambil darah untuk melihat punca hal ini. Mesipun bacaan kuning tidak begitu serius, namun tempoh masa kuning yang lama perlu diketahui sebabnya.

Ketika inilah Mama Siti terus buat carian mengenai kes prolonged jaundice dan masa tu barulah Mama Siti tahu ia bukan keadaan yang boleh dihilangkan dengan segera.

Prolonged jaundice bukan berlaku disebabkan kegagalan usaha Mama menurunkan bacaan kuning yang biasa dialami sebaik bayi dilahirkan. Namun sesetengah bayi memang menghidap prolonged jaundice sejak daripada awal kelahiran yang mana maksudnya adalah, kuning ini tak akan hilang sehingga bayi mencapai usia dua bulan meskipun pelbagai kaedah Mama lakukan.

Bagaimanapun, masih ramai tak tahu mengenai kes prolonged jaundice tersebut. Ketika Mama Siti maklumkan keputusan doktor, ibu masih sangsi kerana pertama kali dengar. Namun tak kurang juga tekanan orang-orang tua lain disekeliling yang masih mengaitkan kuning lama sebab tak pantang betullah, tak amalkan petua yang disuruh dan macam-macam lagi.

Menurut Pakar Kanak-kanak, Avisena Specialist Hospital, Shah Alam, Selangor, Dr Roliza Ibrahim, tiada rawatan yang perlu dilakukan kerana ia akan hilang dengan sendiri sehingga bayi berusia dua bulan.

Kata beliau, setelah semuanya diperiksa melalui ujian darah dan air kencing dan keputusannya adalah normal, maka diagnosis utama adalah breast milk jaundice.

Bagaimanapun, bagi keputusan yang membimbangkan, doktor akan meneruskan rawatan bersesuaian kerana kes prolonged jaundice boleh jadi berlaku disebabkan penyekatan aliran hempedu dari hati ke usus yang akhirnya menyebabkan najis menjadi pucat dan air kencing berwarna pekat.

Selain itu, masalah kekurangan hormon ataupun masalah kelenjar tiroid turut mengakibatkan si kecil mendapat prolonged jaundice.

Antara faktor lain bagi penyakit serius adalah jangkitan kuman pada saluran air kencing dan organ hati mempunyai masalah kesihatan ataupun komplikasi seperti biliary atresia, neonatal hepatitis dan choledochal cyts.

Namun, semua ini boleh dikesan oleh doktor berdasarkan result darah si kecil. Bagi kes Mama Siti tadi, doktor telah sahkan ini semua tidak berkaitan dengan penyebab anak jaundice lama. Justeru, doktor mengesahkan akibat breast milk jaundice.

Apa Itu Breast Milk Jaundice?

Breast milk jaundice adalah berbeza dengan breastfeeding jaundice. Breastfeeding jaundice merujuk kepada situasi apabila bayi tidak mendapat  susu ibu yang cukup. Bila bayi kurang mendapat susu ibu, maka proses pembuangan najis juga kurang berlaku menyebabkan kuning bayi tadi sukar diturunkan.

Namun, breast milk jaundice pula terjadi disebabkan si kecil yang minum susu badan ibu semata-mata. Sesetengah pendapat mengatakan ini disebabkan bahan yang terhasil dalam susu ibu menghalang penyingkiran bilirubin melalui usus.

Kerana itu sesetengah petua menyarankan agar anak diberikan susu formula jika mahu bacaan jaundice turun dengan segera.

Bagaimanapun, bagi Mama yang konsisten mahukan anak mendapat susu badan, tak perlu khuatir pun sebenarnya Mama.

Pakar Perubatan Keluarga dan Perunding Laktasi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ezura Madiana Md. Monoto berkata, sekiranya bayi mempunyai kenaikan berat badan yang memberangsangkan dengan penyusuan susu ibu sahaja, membuang air besar dengan kerap iaitu sebanyak lapan hingga 10 kali sehari serta membuang air kecil yang jernih dengan banyak, penyusuan susu ibu harus diteruskan meskipun bayi memerlukan rawatan fototerapi.

Ujar beliau, selagi bayi menyusu dengan baik dan paras bilirubin dipantau, ia jarang membawa kepada komplikasi yang serius.

Rawatan Yang Disyorkan Sekiranya Bacaan Jaundis Tinggi

Untuk kes bacaann jaundice yang tinggi melebihi paras selamat, doktor akan menahan bayi di hospital untuk rawatan fototerapi.

Tujuan rawatan fototerapi ialah untuk mengawal kenaikan bilirubin agar ia tidak mencapai pada tahap merbahaya dan menjejaskan otak bayi. Jangka masa rawatan fototerapi bergantung kepada paras bilirubin dalam darah bayi.

Sekiranya paras bilirubin dalam darah terlalu tinggi, darah bayi mungkin perlu ditukar dengan darah penderma yang bersesuaian (exchange transfusion). Ketika rawatan fototerapi bayi akan ditanggalkan pakaiannya dan mata bayi akan ditutup bagi melindungi mata bayi daripada cahaya yang berlebihan.

Rawatan untuk penyakit kuning yang berpanjangan bergantung pada apa yang menyebabkan penyakit kuning. Sekiranya penyusuan adalah penyebab penyakit kuning bayi anda berpanjangan maka bayi anda tidak akan memerlukan rawatan dan penyakit kuning mereka akan hilang seiring berjalannya waktu.

Sekiranya masalah hati atau tiroid adalah penyebab penyakit kuning bayi anda berpanjangan maka dia perlu berjumpa pakar untuk rawatan.

Alhamdulillah, anak Mama Siti tidak sampai ditahan di hospital. Meskipun prolonged jaundice, namun si kecil tetap aktif menyusu, membuang najis dan bacaan kuningnya di paras yang masih lagi selamat, maka anak Mama Siti hanya dipantau oleh petugas klinik saban hari.

Tak dapat bayangkan kalau si kecil ditinggalkan di hospital dengan keadaan Mama Siti masih lemah dan dihujani dengan desakan macam-macam. Rasanya mungkin bertambah lagi tohmahan negatif untuk si ibu.

Bagi kes prolonged jaundice yang berlaku akibat breast milk jaundice, Mama hanya perlu pantau tahap aktif bayi, tempoh penyusuan dan kekerapan pembuangan najis.

Walaupun dah berusia sebulan dan bayi masih kuning, ia tidak merbahaya Mama selagi tiga benda yang Mama pantau di atas ini masih normal.

Jangan terlalu stress jika kuning bayi masih tak turun. Asalkan bacaannya dalam fasa selamat dan doktor juga tidak mengesahkan sebarang benda yang serious.

Dalam tempoh berpantang, adalah penting untuk Mama elakkan tekanan. Banyakkan berehat dan fokus kepada keperluan bayi dan rawatan Mama selepas bersalin.

Yang penting, apa jua kaedah atau petua yang Mama mahu amalkan, sebaiknya rujuk doktor atau petugas kesihatan terlebih dahulu bagi memastikan ianya selamat.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk pelbagai info dan tips tentang kesihatan bayi, Mama dan Papa bolehlah rujuk di SINI!