Kerja rumah bukanlah tugasan ibu seorang diri. Setiap ahli keluarga perlu bertanggungjawab mengurus rumah mengikut kemampuan masing-masing dengan pantauan si ibu. Bermula seawal 2 tahun, anak sebenarnya sudah boleh mula dilatih dengan kerja rumah yang ringan dan mudah. Tujuan pada peringkat ini bukanlah untuk mereka mahir membuat sesuatu kerja, tetapi untuk memperkenalkan dan membiasakan mereka dengan kerja rumah.
Apa kepentingan melatih anak melakukan kerja rumah seawal usia?
Jika dilatih dari kecil, anak akan rasa lebih diperlukan dan penting dalam keluarga. Selain itu, untuk mendidik rasa tanggungjawab terhadap urusan rumah. Ia juga amat berguna untuk masa depan mereka, baik anak lelaki atau perempuan. Kita mahu lahirkan generasi yang bertanggungjawab, pembersih dan berdisiplin supaya mudah bila mereka meningkat dewasa dan berkahwin kelak. Sekarang waktunya kita mengajar mereka memancing ikan, bukan sekadar disuapkan ikan sahaja. Anak-anak kecil boleh dilatih melakukan satu kerja satu hari dan kemudian sesuaikan dengan keupayaannya dan penerimaannya.
Untuk lebih menyeronokkan, ibu bapa boleh tuliskan kerja rumah di atas nota-nota kecil, kemudian dimasukkan ke dalam bakul. Setiap hari, minta anak buat cabutan dan lakukan kerja mengikut apa yang tertulis pada nota. Boleh bezakan bakul nota kerja rumah pada hari biasa dengan hujung minggu. Apa pun kerja rumah yang diberikan pada anak, bukanlah untuk mendera atau mengerah tenaga, tetapi mahu mereka belajar dan bersedia menjadi dewasa dan berdikari.
KERJA RUMAH YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH ANAK BERUSIA 2 KE 3 TAHUN:
- Memasukkan baju kotor ke dalam bakul
- Mengutip sampah di dalam bilik
- Mengemas permainan
- Mengemas katil
- Mengumpul baju kotor
- Menyapu di laman rumah
- Menyusun bantal atau kusyen
KERJA RUMAH YANG SESUAI BAGI ANAK BERUSIA 4 KE 6 TAHUN:
- Semua yang di atas
- Menyapu lantai dalam rumah
- Mengemop lantai (dengan menggunakan mop yang kecil dan sesuai)
- Menyiram pokok
- Membersihkan laman rumah (mengutip daun, ranting kering)
- Mengangkat pinggan mangkuk sendiri ke sinki sesudah makan
- Mengelap perabot
- Bantu ibu padankan stoking
- Membuang sampah ke dalam tong sampah
- Memvakum (dengan pengawasan ibu bapa)
- Mengemas barang-barang di bawah katil
KERJA RUMAH YANG BOLEH DILATIH PADA ANAK BERUSIA 6 KE 8 TAHUN:
- Semua yang di atas
- Mencuci lantai dan dinding bilik air
- Mencuci tandas
- Menyapu ruang tamu dan di bahagian bawah perabot di ruang tamu (sofa, meja, kerusi)
- Membuang sampah ke tempat sampah (di depan atau belakang rumah)
Apakah kesan mendidik anak melakukan kerja rumah sejak kecil?
Setiap anak akan mempunyai rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing. Bila sudah terbiasa, mereka akan melakukannya dengan mudah dan tidak rasa terbeban kerana alah bisa tegal biasa. Ini juga melatih diri mereka bila terpaksa berjauhan dari keluarga seperti belajar di sekolah berasrama atau belajar di luar negara di kemudian hari. Di samping itu, ibu bapa juga sedang menyiapkan anak sebagai seorang pasangan yang bertimbang rasa dan bertanggung jawab apabila sudah berkahwin nanti. Jadi, galakkan anak-anak lakukan kerja rumah bersama-sama. Biarpun tidak sempurna, yang penting kita mahu mereka faham konsep membuat kerja rumah dan sebab setiap ahli keluarga perlu lakukannya.
Sumber: TheVocket