Keputihan berdarah adalah salah satu tanda yang mungkin menimbulkan kebimbangan bagi wanita. Ia merujuk kepada pengeluaran lendir dari faraj yang bercampur dengan darah.
Walaupun ada kalanya ia normal, terutamanya semasa kitaran haid atau selepas hubungan seksual, keputihan berdarah juga boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang lebih serius.
Penting untuk memahami punca dan mendapatkan nasihat perubatan jika berlaku.
Kali ni Mama Siti bawakan Dr Edawati Dahrawi Edrus yang merupakan Perunding Obstetrik & Ginekologi, Pakar Kesuburan daripada Sunway Fertility Centre Kuching untuk memjawab persoalan Mama tentang keputihan berdarah ini.
1. Apakah yang dimaksudkan dengan keputihan berdarah, dan bagaimana ia berbeza daripada keputihan biasa?
Keputihan berdarah merujuk kepada pengeluaran cecair dari vagina yang mengandungi darah atau kesan darah. Keputihan ini boleh berwarna merah terang, merah jambu, atau coklat, bergantung pada sama ada darah itu segar atau lama.
Keputihan biasa, sebaliknya, adalah rembesan yang normal dari vagina yang biasanya tidak berwarna atau berwarna putih, dan tidak sepatutnya mengandungi darah. Keputihan biasa membantu menjaga kebersihan vagina dengan mengeluarkan sel-sel mati dan bakteria.
2. Apakah punca utama yang menyebabkan terjadinya masalah ini dan adakah ia menandakan masalah kesihatan yang serius?
Punca keputihan berdarah boleh berbeza-beza. Ia mungkin disebabkan oleh:
- Ovulasi: sesetengah wanita mengalami pendarahan ringan atau keputihan berdarah semasa ovulasi.
- Penggunaan alat kontraseptif: seperti pil perancang atau IUD (Intrauterine Device) yang boleh menyebabkan pendarahan antara haid.
- Jangkitan: jangkitan seperti vaginitis atau servisitis boleh menyebabkan keputihan berdarah.
- Polip atau fibroid: tumor benign ini pada serviks atau rahim boleh menyebabkan pendarahan.
- Kanser: kanser serviks atau rahim, walaupun jarang, boleh menyebabkan keputihan berdarah.
Keputihan berdarah boleh menandakan masalah kesihatan yang serius, terutama jika disertai dengan gejala lain seperti sakit pelvis, demam, atau pendarahan berat. Rundingan dengan doktor adalah penting untuk menentukan punca sebenar.
3. Bolehkah keputihan berdarah berlaku pada mana-mana peringkat kehamilan, dan ketika Mama dalam fasa subur?
Ya, masalah keputihan tersebut boleh berlaku pada mana-mana peringkat kehamilan. Pada trimester pertama, ia mungkin disebabkan oleh proses implantasi embrio.
Walau bagaimanapun, keputihan berdarah semasa kehamilan juga boleh menunjukkan masalah seperti keguguran atau kehamilan ektopik (mengandung luar rahim), terutamanya jika disertai dengan sakit atau kekejangan.
Dalam fasa subur (ovulasi), keputihan berdarah boleh berlaku kerana perubahan hormon yang menyebabkan lapisan uterus menipis dan berdarah sedikit.
4. Apakah keadaan atau faktor yang boleh menyebabkan keputihan tersebut: seperti jangkitan, ketidakseimbangan hormon, atau keadaan lain?
Jangkitan seperti jangkitan bakteria, virus, atau kulat pada vagina atau serviks boleh menyebabkan keputihan berdarah.
Ketidakseimbangan hormon yang mengganggu kitaran haid normal boleh menyebabkan pendarahan antara tempoh haid.
Polip serviks atau rahim yang merupakan pertumbuhan benign pada lapisan dalam rahim atau serviks boleh menyebabkan pendarahan tidak normal.
Endometriosis atau keadaan di mana tisu endometrium tumbuh di luar rahim juga boleh menyebabkan keputihan berdarah.
5. Adakah keputihan berdarah semasa hamil sesuatu yang perlu dibimbangkan oleh Mama?
Keputihan berdarah semasa hamil, terutama pada trimester pertama, perlu diberikan perhatian serius.
Ia boleh menjadi normal (seperti dalam kes implantasi), tetapi juga boleh menjadi tanda keguguran, kehamilan ektopik, atau jangkitan.
Oleh itu, Mama perlu segera mendapatkan nasihat perubatan jika mengalami keputihan berdarah semasa hamil.
6. Adakah normal juga untuk Mama mengalami keputihan berdarah selepas melakukan hubungan intim, dan apakah punca yang mungkin menyebabkan keadaan ini?
Keputihan berdarah selepas hubungan intim boleh berlaku dan kadang-kadang normal, terutama jika terdapat iritasi pada serviks.
Ini boleh disebabkan oleh geseran semasa hubungan seks, terutama jika serviks sensitif atau mempunyai polip. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menunjukkan jangkitan, polip, atau perubahan pada sel serviks yang perlu diperiksa oleh doktor.
7. Apakah risiko keputihan berdarah yang dikaitkan dengan penggunaan alat kontraseptif seperti IUD?
Penggunaan IUD, terutamanya IUD hormon (MIRENA) , boleh menyebabkan keputihan berdarah dalam beberapa bulan pertama selepas pemasangan.
Ini disebabkan oleh perubahan hormon yang mempengaruhi lapisan endometrium.
Pendarahan kecil dan tidak teratur mungkin berlaku, tetapi jika ia berterusan atau berat, rundingan dengan doktor diperlukan untuk memastikan IUD diletakkan dengan betul dan tidak menyebabkan komplikasi.
8. Bagaimana ujian diagnostik seperti ujian Pap smear atau ultrasound boleh membantu mengenalpasti punca keputihan berdarah?
Pap smear adalah ujian saringan yang penting untuk mengesan perubahan sel pada serviks yang boleh menjadi prakanser atau kanser. Ia juga boleh membantu mengesan jangkitan yang menyebabkan keputihan berdarah.
Ultrasound boleh digunakan untuk memeriksa keadaan dalaman rahim, serviks, dan ovari. Ia boleh membantu mengenalpasti kehadiran polip, fibroid, atau keadaan lain seperti hiperplasia endometrium yang mungkin menyebabkan keputihan berdarah.
9. Apakah rawatan yang disarankan jika keputihan berdarah disebabkan oleh masalah seperti jangkitan atau polip?
- Jangkitan: jika keputihan berdarah disebabkan oleh jangkitan, rawatan mungkin termasuk antibiotik (untuk jangkitan bakteria) atau antikulat (untuk jangkitan kulat).
- Polip: polip serviks atau rahim yang menyebabkan keputihan berdarah biasanya dikeluarkan melalui prosedur pembedahan kecil seperti polipektomi.
- Ketidakseimbangan hormon: rawatan hormon mungkin diperlukan jika keputihan berdarah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon.
10. Adakah terdapat perubahan dalam gaya hidup atau kebersihan diri yang boleh membantu mencegah keputihan berdarah ini?
Menjaga kebersihan vagina dengan betul tanpa menggunakan produk yang boleh mengganggu keseimbangan pH semulajadi, seperti douching, adalah penting.
Mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengekalkan berat badan yang ideal boleh membantu mengekalkan keseimbangan hormon.
Pemeriksaan kesihatan berkala termasuk Pap smear dan pemeriksaan pelvis boleh membantu mencegah atau mengesan masalah lebih awal.
11. Apakah penggunaan produk kebersihan feminin, seperti douching, menyebabkan keputihan berdarah?
Douching boleh mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam vagina dan menyebabkan iritasi, jangkitan, atau pendarahan.
Penggunaan produk kebersihan feminin yang keras (Ph tinggi) atau mengandungi bahan kimia kuat juga boleh menyebabkan kerosakan pada tisu vagina dan mengakibatkan keputihan berdarah.
12. Sekiranya seorang wanita ingin mendapatkan konsultasi mengenai masalah keputihan yang dialami, apakah dia perlu mengambil gambar keputihan tersebut untuk ditunjukkan kepada doktor atau apakah langkah utama untuk mendapatkan konsultasi pakar?
Tidak perlu mengambil gambar keputihan tersebut. Sebaliknya, mereka harus menyediakan maklumat terperinci mengenai gejala yang dialami, termasuk warna, kuantiti, dan bila ia berlaku.
Pemeriksaan fizikal dan ujian makmal biasanya diperlukan untuk mendiagnosis punca keputihan berdarah.
13. Untuk soalan terakhir, bagaimana Mama yang mengalami situasi untuk solat? Adakah boleh solat seperti biasa atau Mama perlu tunggu sehingga ia hilang?
Dalam aspek agama, keputihan berdarah yang bukan darah haid (seperti istihadah) tidak menghalang wanita daripada bersolat.
Walau bagaimanapun, wanita tersebut perlu membersihkan diri dan mengganti pakaian atau tuala wanita sebelum bersolat. Rundingan dengan ustaz atau ustazah boleh memberikan panduan yang lebih jelas berdasarkan situasi individu.
Maklumat yang lebih terperinci mengenai keputihan berdarah dan penting untuk setiap wanita berjumpa dengan doktor pakar untuk diagnosis dan rawatan yang tepat.
Apa jenis pendarahan yang akan Mama lalui ketika mengandung? Klik di SINI.