KelabMama

Jangan Abaikan! Ini Kepentingan Ujian Pap Smear Untuk Wanita

Adakah Mama menyedari kepentingan untuk melakukan ujian pap smear? Sekiranya tidak, jangan bertangguh lagi Mama! Ujian ini penting tau dengan saranan agar ia dilakukan bagi tempoh setiap tiga tahun sekali.

“Tapi, saya tak ada tanda ganjil atau rasa sakit kat mana-mana anggota pun.”

Meskipun tanpa sebarang gejala, Mama tetap boleh melakukan ujian ini di beberapa fasiliti kesihatan sama ada kerajaan ataupun swasta.

Ujian pap smear adalah berbeza dengan beberapa simptom kanser lain yang mana kes berkenaan biasanya memerlukan pemeriksaan terperinci apabila wujudnya simptom atau kehadiran benda ganjil di organ terlibat.

Namun ujian pap smear pula bertujuan mengesan penyakit kanser serviks dan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa menunggu sebarang masalah kesihatan pun.

Jadi, bukankah Mama patut ambil peluang ini untuk melakukan ujian pap smear bagi setiap tempoh tiga tahun dalam usaha mengesan penyakit ini sekiranya ia masih di peringkat awal.

Penting ke buat ujian papsmear?

Untuk pengetahuan Mama, laporan Harian Metro mendedahkan bahawa kanser serviks adalah kanser kedua paling lazim dalam kalangan wanita Malaysia yang berusia di bawah umur 45 tahun.

Manakala, sebanyak satu pertiga atau 29 peratus daripada jumlah pesakit ini dilaporkan meninggal dunia.

Justeru, ujian pap smear adalah kaedah terbaik dalam mengesan kehadiran kanser berkenaan. Kanser serviks hanya berisiko kepada wanita yang pernah terlibat dengan hubungan seksual dan ancamannya lebih tinggi kepada mereka yang disahkan menghidap virus ‘Human Papilloma’ (HPV).

Bagaimanapun, ujian ini boleh dihentikan sebaik Mama mencecah usia 65 tahun.

#Proses Ujian

Perkongsian di laman web Hello Doktor memaklumkan, proses ujian hanya mengambil masa sekitar lima minit dan ia tidak menyakitkan.

Spekulum dimasukkan ke dalam faraj untuk membuka faraj supaya serviks lebih mudah diakses. Kemudian, sel permukaan serviks akan diambil menggunakan spatula atau berus serviks. Sel tersebut seterusnya dihantar ke makmal untuk pemeriksaan.

Harus diingatkan bahawa wanita yang ingin menjalani ujian pap smear perlu elak daripada melakukan hubungan seksual selama 24 jam sebelum ujian.

Selain itu, anda juga dilarang menggunakan gel spermisid sehari sebelum ujian. Ujian ini juga tidak terpakai kepada wanita yang sedang dalam tempoh haid atau nifas.

Keputusan ujian selalunya mengambil masa kira-kira tiga minggu yang mungkin memaklumkan ia adalah normal atau sebaliknya. Jika tidak normal, anda akan dirujuk untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

#Dimana Ujian Pap Smear Boleh Dilakukan?

Ujian ini boleh dilakukan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan serta di Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan harga serendah RM 20 bagi semua warganegara Malaysia.

Namun di klinik dan hospital swasta, kebanyakkan daripadanya juga turut menyediakan perkhidmatan sama dan caj dikenakan adalah berbeza.

Selain itu, Mama juga boleh memantau perkembangan aktiviti beberapa NGO yang melakukan service sama di luar sana. Ye, terdapat beberapa NGO khususnya persatuan yang membabitkan wanita aktif melakukan program kesihatan di lokasi-lokasi berbeza. Mereka biasanya turut membawakan pemeriksaan ujian pap smear secara percuma.

Untuk ketahui lebih lanjut, Mama boleh buat carian di internet. Namun, pastikan ia adalah program kesihatan yang diiktiraf dan tidak meragukan tau Mama!

#Manfaat Melakukan Pemeriksaan

Melalui ujian pap smear, kita boleh mengetahui kewujudan kanser di pangkal rahim dengan lebih awal berbanding menunggu pelbagai simptom dan masalah yang timbul. Mama harus ingat kanser serviks antara penyakit yang mencapai populasi tinggi bagi penyakit dikalangan wanita.

Justeru, ujian pap smear dapat menghindarkan risiko ketumbuhan abnormal semakin parah. Jika dikesan lebih awal, kejayaan untuk rawatan penyakit ini juga adalah lebih tinggi.

Selain itu, ia juga bagi membantu mengesan virus HPV. Sebarang keganjilan pada sampel tersebut merupakan indikasi kehadiran HPV yang mana adalah faktor risiko sangat tinggi dalam pertumbuhan kanser servik.

HPV biasanya boleh dijangkiti melalui hubungan kelamin dengan individu yang dijangkiti virus HPV. Virus ini akan dihapuskan oleh sistem imunisasi dalam masa setahun ke dua tahun.

Dalam keadaan yang tertentu, HPV boleh menyebabkan ketuat pada kemaluan atau kanser servik.

Melalui ujian pap smear juga, ia turut mampu mengesan pelbagai jangkitan kuman. Kebiasaanya jangkitan kuman pada peringkat awal boleh berlaku tanpa ada sebarang tanda.

Rawatan yang diberikan pada peringkat awal mampu mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan kuman yang lebih serius.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk pelbagai info dan tips kesihatan Mama, boleh lihat di SINI!