KelabMama

KEPENTINGAN AIR GULA SEMASA CHECK UP YANG MAMA HARUS TAHU

Bagi sesetengah ibu mengandung, prosedur ujian minum air gula atau MGTT adalah antara yang paling ‘digeruni’. Aduhai, rasa tak larat nak menghadap air gula yang tersangatlah manis. Ada yang minum separuh jalan dan separuhnya dibuang, ada pula yang termuntah tapi mengelat tak beritahu nurse sebab takut kena ulang semula ujian air gula ni.

Semua taktik seperti ini akan mempengaruhi keputusan yang bakal didapati daripada ujian darah anda nanti. Jadi, setiap ibu mengandung kenalah minumlah sampai habis dengan kuantiti yang ditetapkan.

Mari fahamkan kenapa ujian air gula itu sangat penting bagi ibu mengandung.

4 KEPENTINGAN UJIAN AIR GULA KETIKA HAMIL (MGTT)

MGTT (modified glucose tolerance test) ialah ujian untuk mengenal pasti kadar gula atau glukosa dalam tubuh.

Kencing manis (diabetes) terjadi apabila badan kita tidak dapat memproses gula berlebihan. Dalam keadaan normal gula akan dicerna menjadi glukosa. Sebaliknya, apabila tubuh tidak dapat menampung kehadiran gula ini, anda mungkin tergolong antara 14% wanita yang menghidap diabetes gestasi.

Tujuan air gula perlu diminum sebab sebenarnya nak uji kemampuan insulin dalam tubuh, nak tengok sama ada ia boleh berfungsi ataupun tidak. Jika insulin berfungsi dengan baik, selepas 2 jam minum air gula paras gula dalam darah masih akan normal, sebaliknya jika insulin bermasalah, paras gula akan naik selepas minum air gula dan anda mungkin mempunyai kencing manis ketika hamil (diabetes gestasi).

Biasanya diabetes gestasi boleh dikawal melalui diet dan pengambilan makanan yang disarankan oleh doktor. Dalam kira-kira 10-20% kes, ibu mengandung terpaksa menyuntik diri mereka dengan insulin untuk mengawal paras gula daripada naik secara mendadak hingga membahayakan kandungan.

Jika diabetes dapat dikesan seawal mungkin, cara kawalan yang optimum dapat dilakukan bagi melancarkan lagi proses kehamilan.

Ibu perlu memastikan paras glukosa di dalam darah terkawal kerana ia boleh memberi kesan secara langsung kepada kehamilan.

Menurut Dr Izzat menerusi The Malaysian Medical Gazette, seandainya paras gula dalam darah ibu kekal tinggi hingga tidak terkawal, bayi akan menghasilkan lebih banyak insulin sebagai respon terhadap paras gula tersebut. Akibatnya, bayi dalam kandungan akan membesar secara berlebihan di dalam rahim.

Risiko kematian bayi di dalam rahim (in utero death) secara mengejut juga meningkat jika paras gula di dalam darah tidak dikawal.

Risiko bayi besar boleh menjadi salah satu punca ibu tidak dapat melahirkan bayi secara normal dan diminta untuk bersalin lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin (induction). Kelahiran bayi juga mungkin memerlukan pembedahan Caesar jika berlakunya kegagalan proses induksi.

Dalam sesetengah kes di mana ibu boleh bersalin normal, saiz bayi yang terlalu besar, mendedahkan bayi kepada risiko bahu bayi tersangkut ketika kelahiran. Saiz bayi yang tidak dipantau sejak awal turut membimbangkan kerana ia boleh menjadi faktor kecacatan saraf.

Bayi yang menghasilkan lebihan hormon insulin semasa dalam kandungan akan mengalami paras gula rendah pula selepas kelahiran. Disebabkan masalah ini, mereka perlu dimasukkan dalam wad rawatan rapi bayi (NICU) untuk pemerhatian oleh pakar paediatrik.

Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai kencing manis juga mempunyai risiko menghidap kencing manis dan masalah kegemukan bila ianya meningkat dewasa kelak.

SIAPA YANG KENA MINUM AIR GULA?

Hampir semua wanita perlu minum air gula semasa mengandung pada awal peringkat kandungan. Jika tergolong dalam kategori berisiko, ia akan diulang pada usia kandungan sekitar 24 hingga 28 minggu.

Antara faktor risikonya adalah:

JANGAN RISAU, IA TAK MENYEBABKAN KENCING MANIS!

Ada yang menganggap proses minum air gula ini sebagai satu yang remeh. Malah, ada pula sebahagian lagi mendakwa ia boleh menjadi punca penyakit diabetes itu sendiri. Penting untuk anda faham bahawa ujian MGTT ini sama sekali tidak akan menyebabkan anda mendapat kencing manis. Sebaliknya, ia adalah penting bagi menguji sama ada badan anda mampu memproses gula dengan baik.

Sekiranya ada yang cuba mengelat, ingatlah bahawa tindakan ini hanya akan meletakkan diri dan bayi anda kepada 4 risiko di atas. Ada beberapa tips yang boleh anda lakukan untuk memastikan anda dapat meminum air gula dengan cepat tanpa termuntah. Cuba set minda untuk meminumnya dengan cepat tanpa berfikir banyak. Tutup hidung kalau terasa loya dengan baunya. Kalau terasa nak muntah, berhenti sekejap dan tarik nafas. Kemudian minum semula tanpa berlengah. Dengan cara ini, air gula dapat dihabiskan dengan mudah dan cepat.

Jadi, jangan ‘mengelat’ ya!