Kenduri kahwin tanggungjawab siapa? Tiap kali nak adakan kenduri kahwin inilah antara perbalahan yang selalu timbul.
Selalu kita dengar, “kahwin hanya sekali”. Sambutan perkahwinan, kos kenduri memainkan peranan penting dalam menentukan tanggungjawab kewangan.
Namun, terdapat perdebatan berterusan mengenai siapa sepatutnya menanggung kos kenduri kahwin ini – adakah ia adalah tanggungjawab 100% lelaki sahaja sehingga nilai hantaran disekalikan bersama “wang hangus” iaitu wang belanja kenduri kahwin pihak perempuan. Atau adakah ia sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama-sama?
Persoalan ini membangkitkan perbincangan yang meluas, mendorong perbincangan malah ada yang sampai bergaduh pasal isu ni tau!
Sebelum adik-adik ingin meletakkan apa-apa ekspektasi kepada pasangan, mari kita sama-sama educate diri dulu.
Kenduri kahwin tanggungjawab siapa dalam islam?
Dalil
Kenduri kahwin ataupun sering juga dikenali sebagai walimatul urus merupakan salah satu sambutan yang dianjurkan dalam islam.
Al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.
Riwayat Muslim (1427)
Sumber rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Hukum
Ada dua pandangan tentang kenduri kahwin, yang pertama mengatakan wajib, kerana ia mengikut arahan langsung “Lakukanlah walimah”. Jadi, kalau ikut kaedah “kata perintah, hukum wajib”.
Yang kedua, menurut fuqaha’, walimah atau kenduri kahwin ini sebenarnya sunat muakkad, dan bukan wajib. Jadi, mengadakan walimah itu, ada yang kata wajib, ada yang kata lebih kepada sunat muakkad.
Siapa yang bertanggungjawab?
Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri.
Lalu beliau menyatakan: ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.
Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).
Hukumnya sunnah bagi pihak lelaki, tetapi sekiranya pihak perempuan ingin mengadakan majlis, maka hukumnya harus selagi tidak berlaku pembaziran, dan tanggungjawab tidak sepatutnya jatuh ke atas pihak lelaki.
MELAINKAN pihak lelaki membuat keputusan untuk tidak mengadakan walimah sebanyak dua kali, dan hanya diadakan bagi pihak perempuan, maka hukum sunah itu juga telah terlaksana.
Kenduri Kahwin Dalam Budaya Setempat
Budaya perkahwinan di Malaysia semakin mencerminkan kemegahan dan keistimewaan, dan sering kali turut disertai dengan kos yang tinggi.
Alasannya “Kahwin kan sekali seumur hidup” namun keran alasan ini, perkara yang sepatutnya sekali seumur hidup inilah yang mampu menyebabkan rumah tangga yang tidak harmoni.
Budaya perkahwinan yang mewah ini dapat mencerminkan status sosial dan kebahagiaan, dan ia pasti juga boleh menimbulkan tekanan kewangan kepada pasangan dan juga keluarga.
Tambahan pula, ada yang ke tahap berhutang! Iyalah,bagaimana seorang lelaki yang baru memulakan kehidupan dan ingin berkahwin, mencari wang perkahwinan sehingga berpuluh-puluh ribu ingin menunaikan hajatnya tanpa hutang?
Pesanan Mama Siti
Ukur baju di badan sendiri. Ringkas dan tepat. Nasihat Mama Siti janganlah terlampau meletakkan beban kepada pasangan.
Jadilah pasangan yang meringankan beban dan bukan menambahnya. Tetapi kalau dah payah sangat, ingat pesan Mama Siti!
Bunga tak hanya sekuntum, kumbang tak hanya seekor. Sekiranya pasangan adik-adik menuntut pelbagai permintaan atau tidak masuk akal dan tidak boleh memahami keadaan, ada bagusnya adik-adik angkat kaki sebelum terjebak.
Lebih maklumat dan tips Mama Siti kongsikan di SINI.